Semuanya Dicatat

SETIAP hari adalah waktu untuk bermuhasabah diri supaya kita selalu dapat memperbaiki diri menjadi mukmin yang soleh yang diredhai Allah SWT. Andainya hari kita tidak ceria barangkali kerana kita banyak berbuat dosa. Andainya hari kita penuh kekurangan barangkali kerana kita kurang memberi. Andai hari kita penuh kemarahan barangkali kerana kita kurang memberi kemaafan. Andainya hari kita tiada ketenangan, barangkali kerana kita kurang berzikir dan mengingati Allah SWT dan Andai hari kita penuh kebimbangan barangkali kerana kita kurang berdoa kepadaNya. Justeru dalam menjalani hidup ini kita hendaklah banyak berbuat amal, taat kepada Allah, banyak berbuat baik sesama manusia dan selalu menghisab kekurangan diri kerana dengan cara itu kita akan mendapat ketenangan, keceriaan dan kebahagiaan di dunia ini.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah di radio IKIMfm yang bersiaran setiap hari Rabu jam 10 pagi, tetamu tetap Ustaz Pahrol Mohamad Juoi berkata tiada apa yang paling indah dan nikmatnya hidup ini selain mendapat rahmat Allah SWT melalui ketaatan kita terhadap segala perintahNya. Syurga Allah itu ada pelbagai tingkat dan apabila seseorang itu masuk ke dalam syurga, dia merasakan syurga itulah tempat yang paling tinggi nikmat kehebatannya, bahkan apabila ahli syurga pergi ke syurga yang paling tinggi tingkatannya, maka saat itu lahirlah kekesalan kerana semasa di dunia, mukmin itu tidak mahu memperbanyakkan amalan ketaatan kepada Allah untuk menghuni syurga yang tinggi nikmat kehebatannya itu.

Bagaimanapun bagi orang yang berdosa, lalai, derhaka dan tidak taat kepada perintahNya, Allah SWT yang penuh dengan kasih sayang masih juga mengurniakan usia yang panjang buat hambanya agar dengan peluang hidup itu dimanfaatkan untuk hambaNya bertaubat. Justeru sepertimana kata Imam al-Ghazali, ketika seorang hamba itu diberi kurniaan usia yang panjang untuk bertaubat dia atas segala dosa dan khilafnya, namun ada juga hambanya tetap juga melakukan perbuatan dosa. Dalam satu riwayat yang yang disebutkan bahawa Allah SWT sebenarnya merasa malu untuk menyeksa hambaNya yang lalai dengan dosa, tetapi malangnya manusia tidak merasa malu untuk melanggar segala perintah Allah SWT.

Sifat Allah yang maha pengasih dan maha penyayang sentiasa memberi rahmat kepada setiap hambaNya. Malah seseorang mukmin yang masuk ke syurga bukan kerana amalan yang sempurna tetapi kerana rahmat Allah SWT terhadap hambaNya. Sebagai hamba yang sangat fakir dan sentiasa berhutang dengan Allah, jangan sesekali kita mengurangi amalan kita supaya kelak kita dapat menghuni syurga Allah di tingkat yang paling tinggi.

Bagaimanapun seseorang hamba di dunia ini pastnya mendambakan untuk menghuni syurga Allah. Apa yang pasti syurga Allah itu bukan murah, nilainya cukup tinggi dan mahal. Seseorang mukmin yang mahu menghuni syurga Allah semestinya perlu memenuhi keperluannya dari pelbagai sudut amalan, keikhlasan, akhlak dan ketaatannya terhadap perintah Allah SWT.

Justeru, setiap perbuatan kita di dunia ini dirakam oleh malaikat Allah iaitu Raqip dan Atid. Oleh itu, jangan sesekali kita memandang remeh terhadap satu dosa dan jangan sesekali kita memandang ringan terhadap satu perbuatan yang boleh memberikan pahala. Begitu juga jangan sesekali kita memandang remeh terdapat kederhakaan dan jangan pula kita memandang ringan terhadap satu ketaatan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “sesungguhnya jika seseorang hamba mengucapkan satu kalimat yang mengundang kemurkaan Allah SWT, namun dia menganggap ringan dan kerana perkataan itu, dia dicampak di neraka”. Oleh itu jangan sesekali memandang remeh setiap perbuatan kerana sama ada kebaikan dan kejahatan semuanya akan dicatat dan diperhitungkan di hari akhirat kelak. Malah ada seorang lelaki yang dikurniakan syurga oleh Allah SWT hanya kerana membuang duri di tepi jalan, tetapi dengan kebaikan yang kecil itu Allah memandang dengan pandangan yang tinggi lalu Allah SWT memasukkannya di dalam syurga Allah.  

Dalam kita leka menjalani kehidupan di dunia ini jangan kita lupa bahawa setiap perbuatan yang kita lakukan dicatat oleh malaikat yang akhirnya nanti apa sahaja yang kita lakukan akan dipertontonkan semula dan dihisab oleh Allah SWT. Jangan nanti di akhirat kita akan menyesal di atas perbuatan walaupun ianya hanya sekecil-kecil dosa yang kita buat tetapi mendapat azab yang pedih. Begitu juga perkara yang membahagiakan kita iaitu dengan amalan ringan yang kecil tetapi mendapat rahmat dan kasih sayang Allah, lalu kita dapat menghuni syurga Allah yang kekal abadi. Justeru, hendaklah kita sentiasa beringat dalam melalukan apa juga perbuatan kerana kelak kita akan dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan yang kita lakukan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 11 Oktober 2017
\"\"
Scroll to Top