Selesaikan Masalah dengan Sedekah

SETIAP perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT pasti ada hikmah dan mafaatnya. Begitu juga dengan masalah dan cabaran dalam kehidupan ini tidak akan terjadi secara sia-sia melainkan untuk mengambil natijah dari apa yang berlaku dalam kehidupan yang sementara ini.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi berkata keindahan Islam itu akan dapat dicapai bagi mereka yang dapat mengamal dan merasai manisnya nikmat hidup secara beragama. Justeru, apa sahaja yang dilakukan dalam kehidupan ini mestilah berlandaskan kepada pedoman ajaran agama Islam.

Dalam hidup ini orang memberi pelbagai intepretasi terhadap definisi masalah atau ujian. Ada yang melihat masalah itu sebagai ujian, justeru terbinalah satu kata-kata bahawa ‘ hidup ini adalah tempat untuk menerima ujian’, dan ada juga yang mengatakan ‘hidup ini adalah tempat untuk menyelesaikan masalah’. Hakikatnya apa sahaja yang kita maknakan tentang ujian dalam kehidupan ia memerlukan saluran iman yang tinggi untuk melihat setiap kemanisan yang datang di sebalik segala kepahitan yang berlaku.

Bagaimana kita sebagai manusia mahu mendepani masalah atau ujian yang mendatangi kita?. Allah SWT telah menunjukkan kepada kita cara atau jalan untuk melalui setiap masalah yang terjadi dengan pandangan yang positif. Begitu juga telah dibuktikan oleh Rasulullah SAW dalam meleraikan permasalahan atau ujian dengan cara bersedekah. Dengan kata lain masalah-masalah yang menimpa ke atas kita boleh diselesaikan dengan cara bersedekah.

Justeru, sekiranya Allah mengurniakan apa juga ‘ujian’ dalam hidup ini, Allah juga mengurniakan kebaikan disebaliknya. Setiap perkara yang kita anggap sebagai ujian atau masalah pasti ada manfaat yang tersembunyi. Setiap manfaat kebaikannya adalah untuk manusia jua dan bukan untuk Allah. Begitu juga perkara-perkara yang diperintahkan olehNya adalah untuk manfaat dan kebaikan bagi mansuia. Bahkan setiap penderhakaan yang manusia lakukan kesannya juga kepada manusia dan bukan kepada Allah SWT. Apa yang pasti setiap ketaatan akan ada kemanisan dan setiap penderhakaan akan ada penyesalan dan kekecewaan.

Setiap amalan yang Allah SWT perintahkan ada keistimewaan tersendiri. Sama ada solat atau puasa yang terkandung kebaikan dan keistimewaannya, Sedekah juga ada kelebihan dan kebaikannya. Antara kelebihan dan keistimewaan sedekah adalah boleh menyelesaikan masalah. Prinsip asas sedekah sangat sinonim dengan ketaqwaan. Seperti yang disebut dalam al-Quran dan al-Hadis “tanda bagi orang-orang yang bertaqwa itu adalah bersedekah” dan begitu juga sebaliknya.

Dalam surah al-Baqarah ayat 3 bermaksud Allah SWT berfirman yang bermaksud “Mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan (infak) sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka”.

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan kaitan makna taqwa dengan pemberian rezeki atau juga boleh dimaknakan sebagai sedekah. Juga disebutkan dalam ayat yang lain tentang kaitan taqwa dan sedekah adalah dua perkara yang amat sinonim.

Apabila kita menjadi orang yang murah dengan sedekah, itu bererti adanya kejujuran dalam kita melaksanakan perintah Allah dan juga tanda ketaqwaan kita terhadap perintah Allah SWT. Apabila berbicara tentang sedekah, ia bukan hanya berkait dengan material semata-mata. Sedekah boleh jadi dalam bentuk memberi senyuman, melemparkan kata-kata yang baik, meluangkan tenaga dan waktu untuk digunakan juga boleh disifatkan sebagai sedekah, bahkan makna sedekah itu cukup luas.

Sedekah adalah sesuatu yang amat ajaib ini dapat dibuktikan dengan fadhilah bagi orang yang bersedekah amat besar sebagai mana terdapat keterangan di dalam al-Quran dan hadits. Jika kita amati ayat al-Quran berikut, kita akan dapat mengira bahawa sekurang-kurangnya setiap harta yang dikeluarkan ke jalan Allah akan dibalas dengan perkiraan melebihi 700 kalinya. Selain itu, mereka dijanjikan dengan kehidupan yang mudah, tenang dan perjalanan hidup diberkati kerana keberkatan bersedekah itu sendiri.

Allah SWT berfirman yang bermaksud “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki . Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui”. (Al Baqarah: 261)

Justeru, bersedekahlah kerana Allah akan menambah serta melipatgandakan rezeki yang kita miliki apabila bersedekah. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Tangan yang di atas (memberi sedekah) lebih baik daripada tangan yang di bawah (menerima sedekah). (riwayat al-Bukhari)

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 4 Oktober 2017
\"\"
Scroll to Top