Sehinggalah ke Usia 40 tahun

FIRMAN Allah SWT di dalam Surah al-Ahqaaf, ayat ke-15: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: \”Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.

Usia dewasa merupakan fasa yang paling penting di dalam kehidupan manusia, kerana apabila umur telah mencecah usia 40 tahun inilah Rasulullah dipertanggungjawabkan menjadi seorang nabi. Namun mengikut kepercayaan barat, pada usia sebegini merupakan permulaan bagi pengembaraan kehidupan manusia tetapi sebaliknya bagi umat Islam, kerana pada ketika inilah manusia perlu merancang kehidupan supaya ia menjadi tetap dan lurus. Pada usia 40 tahun dinasihatkan agar mereka tidak lagi leka dan hanyut dengan kesibukan dunia yang bersifat sementara. Tetapi sibukkanlah diri untuk perjalanan usia yang panjang selepas tibanya saat kematian. Lumrahnya apa yang berlaku bagi mereka yang sudah mencapai usia 40 tahun ini, mereka masih mengejar kemewahan, baru mula mengecapi kebahagiaan di dunia, sibuk menguruskan kehidupan dan lain-lain.

Rasulullah SAW memulakan dakwah Baginda dengan cara yang lebih berkesan di dalam kehidupan umat manusia pada usia 40 tahun. Akan kelihatan pada diri manusia pada ketika ini sama ada mereka lebih banyak melakukan kebaikan atau kejahatan, menuju syurga atau neraka Allah kerana sebelum ini mereka sudahpun melalui saat-saat yang penting di dalam kehidupan mereka di dunia, iaitu di antara usia 20 tahun sehingga mencecah usia 40 tahun. Ada ulama yang berpandangan walaupun setelah mencecah usia 40 tahun, tetapi amal kebaikannya tidak dapat mengatasi kejahatan yang dilakukannya, maka syaitan akan menyapu wajahnya sambil berikrar, “Demi ayahku, wajah ini tidak akan terlepas daripadaku.” Malah pada usia ini merupakan penentuan bagi perjalanan hidup manusia, sama ada diilhamkan dirinya untuk memilih jalan yang baik atau sebaliknya.

Sebagaimana perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada setiap Khamis jam 5.15 petang, apabila seseorang itu menyedari dirinya sedang menuju jalan ke neraka, seharusnya ubahlah cara hidup dengan segera kerana pada usia ini dirinya hanya berada selangkah jaraknya dengan kematian. Tidak kurang juga yang kembali menghadap Allah pada usia sebegini, berpunca daripada pelbagai penyakit, kemalangan yang tidak disangka, malah ada juga yang tidak mampu lagi bangun setelah tidur walaupun hanya seketika kerana masanya sudah tiba. Amat rugi bagi manusia yang masih asyik dengan kelekaan dunia sebagaimana peringatan oleh Allah menerusi surah al-Faatir, ayat 37: “Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): \”Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): \”Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan”.

Sesungguhnya menjadi sesuatu perkara yang janggal sekiranya pada usia mencecah 40 tahun ini, manusia masih lagi tidak menghadiri majlis-majlis ilmu, tidak menghampirkan diri dengan al-Quran, tidak bergaul dengan jemaah-jemaah yang baik, kerana peringatan demi peringatan sudah diberi oleh Allah kepada mereka. Malah peringatan tersebut datangnya daripada iktibar yang mampu diperolehi daripada orang-orang yang berada di sekeliling mereka. Sheikh Ariff Abdul Wahab bin Ahmad Al-Sya’rani di dalam kitabnya al-Bahrul Maurud, menyebut apabila usia manusia mencecah 40 tahun, maka berjanjilah dengan diri agar melipat tikar, bantal serta merta dan ingatlah bahawa sekarang mereka sedang di dalam perjalanan menuju Akhirat. Setiap nafas yang disedut tidak lagi dipergunakan untuk kepentingan dunia sama sekali, disamping mengira setiap detik yang melebihi usia 40 tahun itu menyamai tempoh 100 tahun sebelumnya.

Setelah mencapai usia 40 tahun, seharusnya tiada lagi masa beristirehat atau mengejar urusan keduniaan kerana masa yang semakin suntuk dan tidak lagi sesuai bersenang-lenang, malah kematian juga sudah semakin hampir tiba. Orang yang palik cerdik di kalangan manusia ialah mereka yang mempersiapkan dirinya dan membawa bekalan untuk menempuhi kehidupan sesudah kematiannya. Manakala orang yang paling bodoh ialah mereka yang masih mengikut hawa nafsunya dan meletakkan angan-angannya kepada Allah SWT. Imam al-Syafie apabila mencecah usianya 40 tahun, beliau akan membawa bersamanya sebatang tongkat kerana ia akan memberi peringatan buat dirinya bahawa dia sedang menuju ke Akhirat. Oleh itu jadikanlah amalan bagi mereka yang sudah mencecah usia 40 tahun dengan sentiasa berdoa, “Wahai Tuhanku, lapangkanlah pada diriku rasa kesyukuran di atas nikmat-nikmat yang telah Engkau kurniakan padaku dan ke atas kedua ibu bapaku yang sentiasa mendidikku dan aku ingin sentiasa didorong untuk melakukan amalan-amalan salih yang Kamu redhai”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 Mac 2018
Scroll to Top