Sayyidatina Fatimah Az-Zahra r.ha

KISAH mengenai ‘Jantung Hati Rasulullah SAW’. Dalam sebuah hadith Baginda, Nabi SAW menyatakan “Imam Mahdi itu adalah daripada keturunanku dan ia dilahirkan daripada zuriat Fatimah Az-Zahra. Menerusi segmen Hayatus Sahabah, Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany berkongsi kisah mengenai Saayidatina Fatimah Az-Zahra.

Kisah kehidupan Fatimah Az-Zahra merupakan anugerah yang sangat besar daripada Allah SWT buat umat ini untuk sirah kehidupan Baginda Nabi SAW. Ia juga lambang gambaran betapa berjayanya Rasulullah SAW mengasuh dan mendidik puterinya. Fatimah Az-Zahra dilahirkan pada tahun pembinaan Kaabah, saat Rasulullah SAW berusia 35 tahun. Beliau lahir 5 tahun sebelum kenabian Rasulullah SAW.

Kata Sayyidatina ‘Aisyah “Fatimah Az-Zahra merupakan perempuan yang sangat mirip dengan Rasulullah SAW dari segi perlakuan serta tutur katanya. Beliau merupakan orang kesayangan Rasulullah SAW dan anak yang membesar di hadapan Baginda. Walaupun beliau dibesarkan dengan penuh kecintaan oleh kedua orang tuanya, namun ia tidak menjadikan Fatimah seorang yang degil dan bongkak bahkan menjadi anak yang sangat taat kepada orang tuanya. Diriwayatkan beliau hidup sangat berdikari. Beliau juga banyak menguruskan rumahtangganya sendirian tatkala suaminya, Saidina Ali keluar berjuang dan berjihad. Beliau juga turut serta besama ayahandanya dalam perjuangan-perjuangan jihad. Diriwayatkan bahawa beliaulah orang yang telah merawat luka Rasulullah SAW ketika Baginda mengalami luka di dalam peperangan Uhud.

Saat Fatimah az-Zahra meningkat dewasa dan menjadi seorang wanita yang sangat cantik dan indah dipandang. Maka, ramailah para sahabat di kalangan bangsawan dan sahabat-sahabat terkemuka menyatakan hasrat untuk meminangnya. Antara mereka ialah Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Pada tahun ke-8 hijrah Rasulullah SAW, Saidina Ali telah menyatakan hasratnya ingin meminang Fatimah Az-Zahra. Maka dengan segera Rasulullah SAW bersetuju. Bergembiralah Saidina Ali lantas beliau melakukan sujud syukur. Tatkala Saidina Ali mengangkatkan kepalanya daripada sujud, Rasulullah SAW berkata kepadanya “Mudah-mudahan Allah SWT memberkati kalian berdua. Untuk kalian dan ke atas kalian. Mudah-mudahan Allah menggembirakan moyang-moyang kalian degan kalian berdua. Mudah-mudahan Allah SWT akan mendatangkan zuriat yang banyak yang sangat baik.”

Saat orang ramai termasuk para sahabat telah hadir memenuhi majlis perkahwinan Fatimah Az-Zahra dan Saidina Ali, Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbah “Segala puji bagi Allah SWT yang Maha Terpuji dengan nikmat-nikmat-Nya yang banyak. Tuhan yang telah disembah dan dengan kudrah-Nya telah menjadikan kepada kita perkahwinan merupakan salah satu daripada sebab bersambungnya nasab umat manusia. Bahkan Allah SWT yang memerintahkan kita untuk berkahwin untuk meneruskan nasab dan menghubungkan hubungan silaturrahim. Allah SWT juag menjadikan perkahwinan itu satu kewajipan yang dituntut kepada hamba-hamba-Nya. Aku bersaksi kepada kalian semua sesungguhnya aku mengahwinkan Fatimah kepada Ali dengan mas kahwinnya sebanyak 400 Misqal Perak.” Lalu dinikahkan Fatimah dan Ali serta dihantar Fatimah ke rumah Saidina Ali pada bulan Ramadan.

Beliau dihantar ke rumah suaminya yang hidup dalam keadaan sederhana sehinggakan alas tidur mereka daripada kulit yang dipadati dengan sesabut. Begitu juga segala perkakas-perkakas mereka daripada kulit. Rasulullah SAW tidak mampu menahan kerinduan kepada puterinya itu setelah dihantar ke rumah Saidina Ali sehinggakan kerinduan itu membuatkan para sahabat nampak resah dan bimbangnya Rasulullah SAW. Pada ketika itu, Rasulullah SAW berhasrat membina rumah Fatimah Az-Zahra berdekatan dengan rumah Baginda supaya Baginda dapat sering melihat puteri kecintaan Baginda. Pada ketika itu, rumah yang paling hampir dengan rumah Baginda ialah rumah Harithah bin Nukman daripada Bani Najjar. Apabila Harithah melihat keresahan Baginda SAW dan para sahabat bercakap-cakap akan kerinduan Baginda Nabi kepada Fatimah Az-Zahra, maka datanglah Harithah bin Nukman dengan gembira menawarkan rumahnya untuk diberikan kepada Rasulullah SAW buat puteri tercintanya itu. Kata Harithah “sesungguhnya hartaku dan kekayaanku yang diambil oleh Baginda Nabi SAW lebih aku sukai daripada hartaku dan kekayaanku yang tidak diterima oleh Baginda.”

Baginda SAW setiap pagi, sebelum Baginda keluar ke masjid, Baginda akan berada berdekatan dengan pintu rumah puterinya itu dan mendoakan “Salam sejahtera ke atas kalian wahai ahli rumah dan mudah-mudahan Allah SWT membersihkan kalian dengan sebersih-bersihnya daripada segala dosa dan noda.” Begitulah sayangnya baginda buat Sayyidatina Fatimah Az-Zahra.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 Mac 2018

Kongsi artikel ini di:

Haji Faiz Hj. Othman

Merupakan penyampai di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Kini aktif dengan kerja-kerja berkaitan Sosial Media untuk IKIMfm.