Sayyidatina Asma’ binti Abu Bakar As-Siddiq

SALAH seorang daripada puteri kepada Saidina Abu Bakar as-Siddiq digelar ‘Zatul Nitaqain’ yang bermaksud ‘wanita yang mempunyai dua tali pengikat pada pinggangnya.” Beliau dipanjangkan usia oleh Allah SWT seratus tahun lebih. Tidak sedikit pun kecerdasan akal dan kepintarannya hilang, bahkan beliau mempunyai ingatan yang sangat kuat.

Menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm, Ustaz Mohd Hazri Hashim berkongsi kisah Sayyidatina Asma’ binti Abu Bakar. Beliau merupakan seorang wanita yang sangat mulia, bahkan terkumpul kemuliaan-kemuliaan di sekelilingnya. Beliau merupakan seorang sahabat kepada Rasulullah SAW yang hidup di zaman Baginda Nabi SAW serta beriman dengannya. Beliau seorang sahabat, begitu juga ayahandanya, seorang sahabat. Datuknya juga seorang sahabat. Manakala adinda pula, isteri kepada Rasulullah SAW, Sayyidatina ‘Aisyah r.ha. Bukan itu sahaja, bahkan suaminya juga sahabat, Zubair ibn ‘Awwam serta anaknya juga sahabat, Abdullah ibn Zubair. Lebih besar daripada kemuliaan itu, Asma’ merupakan antara orang yang terawal memeluk Islam. Beliau merupakan dalam kalangan 17 manusia yang terawal memeluk Islam. Gelaran yag beliau perolehi itu kerana beliau telah menyediakan makanan dan minuman kepada Rasulullah SAW dan ayahnya, Abu Bakar ketika itu dalam rencana hijrah. Demi mengelakkan Rasulullah SAW dijejaki oleh kafir Quraisy, Baginda telah berlindung di Gua Thur. Saat Rasulullah SAW dan Abu Bakar tinggal di Gua Thur itu, Asma’ merupakan orang yang ditugaskan membawa makanan kepada Rasulullah SAW dan ayahandanya. Tiada peralatan untuk mengikat makanan tersebut lalu dikoyakkan tali pinggangnya menjadi dua, satu dijadikan ikatan kepada bekas makanan Rasulullah SAW. Sehinggalah ketika mana Baginda SAW melihat keadaan itu, Rasulullah SAW mendoakan agar Allah SWT menggantikan kepada Asma’ tali pinggang yang lebih cantik dan indah di syurga Allah. Ketika itu, Asma’ juga sedang mengandung. Betapa bersusah payahnya Asma’ untuk mendaki Bukit Thur dalam keadaan beliau sedang mengandung. Ketika beliau disoal siasat saat Abu Jahal dan kumpulannya menangkap beliau, maka Asma’ telah ditampar sehingga tercabut anting-anting beliau.

Asma’ telah dikahwinkan dengan Zubair ibn ‘Awwam, beliau bukanlah seorang hartawan. Tidak mempunyai khadam yang boleh membantunya dalam khidmat di rumah. Beliau juga tidak mempunyai harta yang banyak yang boleh menyenangkan Asma’. Zubair hanya mempunyai seorang kuda sahaja yang digunakan untuk berperang. NAmun, Asma’ begitu tabah dalam kehidupan tersebut. Beliaulah yang sentiasa menjaga kudanya, memberi makan kepada kuda tersebut. Dengan ketabahan Asma’ bersama dengan suaminya, Allah SWT kurniakan kepada mereka pada hari-hari mendatang kehidupan yang senang dan sejahtera sehingga mereka tergolong dalam kalangan hartawan di Kota Madinah.

Tatkala Rasulullah SAW mengizinkan kaum Muslimin berhijrah, maka hijrahlah Asma’ bersama suaminya. Beliau pada ketika itu sedang sarat mengandungkan Abdullah ibn Zubair. Ketika dalam perjalanan, sedang beliau sarat dan menanggung sakitnya membawa kandungan tersebut, ia tidak menjadi satu bebanan yang sangat besar buat Asma’ dan suaminya kerana kerinduan kepada Baginda SAW. Saat mereka tiba di Quba’, Asma’ telah melahirkan seorang bayi lelaki. Seluruh kaum Muslimin bertakbir kegembiraan dan bertahmid kerana lahirnya ‘raihanan’ bagi kaum Muslimin kerana beliau merupakan anak pertama yang dilahirkan di Kota Madinah di kalangan orang-orang Muhajirin. Raihanan yang bermaksud jantung hati dan kegembiraan buat kaum Muhajirin.

Kemudian, bersegeralah Zubair membawa zuriatnya itu berjumpa Rasulullah SAW, lalu diserahkan kepada Baginda SAW. Ditatang dengan penuh kegembiraan di riba Rasulullah SAW. Baginda mengambil sesuatu dari dalam mulutnya lalu Baginda mentahnikkan anak tersebut. Telah terkumpul pada Sayyidatina Asma’ ini, sifat-sifat yang sangat hebat serta keperibadian yang sangat tinggi. Beliau juga telah menghafal 58 hadith Rasulullah SAW. Beliau juga terkenal sebagai orang yang sangat pemurah sehinggakan beliau diberikan perumpamaan. Ketika seseorang ingin menceritakan tentang pemurah, maka mereka akan katakan “engkau ini pemurah seperti Asma’ binti Abu Bakar”. Begitulah keperibadian yang telah dididik langsung oleh Saidina Abu Bakar r.h.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 2 April 2018

\"\"

Scroll to Top