Satu kenaikan gaji tahunan untuk penjawat awam

PUTRAJAYA, 4 April – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kenaikan satu gaji tahunan untuk 1.6 juta penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai.

Mengumumkan berita gembira itu pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) yang dihadiri kira-kira 10,000 anggota perkhidmatan awam, Najib yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan beberapa insentif untuk penjawat awam dan golongan pesara.

Beliau berkata pemberian kenaikan gaji itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan serta penat lelah para penjawat awam sebagai kawan setia kerajaan dan kenaikan ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion.

“Ini bermakna penjawat awam mendapat tambahan satu lagi kenaikan gaji tahunan di samping pergerakan gaji tahunan yang diterima bagi tahun 2018,” katanya yang disambut sorakan dan tepukan gemuruh penjawat awam sambil berdiri sebagai tanda penghargaan.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menteri-menteri kabinet, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda.

MAPPA merupakan acara tahunan di mana perdana menteri akan menyampaikan amanat kepada anggota perkhidmatan awam daripada pelbagai perkhidmatan di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan serta syarikat berkaitan kerajaan.

Najib pada perhimpunan itu turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju pelaksanaan kenaikan pangkat ‘time-based’ berasaskan kecemerlangan kali kedua untuk kumpulan pelaksana dipendekkan daripada 13 tahun kepada 10 tahun mulai 1 Jan tahun ini (2018).

“Ini bagi memberi peluang kemajuan kerjaya yang lebih baik kepada pegawai dalam kumpulan pelaksana untuk semua perkhidmatan, termasuk pasukan beruniform,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan itu yang akan melibatkan 13,006 pegawai dan melibatkan pertambahan implikasi kewangan sebanyak RM34 juta bagi tahun 2018.

Najib pada majlis itu turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk mewujudkan gred lapisan kenaikan pangkat baharu iaitu Gred DG56 untuk pegawai perkhidmatan pendidikan, yang telah berada lebih daripada lima tahun di Gred 54 dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang.

“Pewujudan lapisan Gred DG56 ini akan memberi peluang kenaikan pangkat kepada 323 pegawai, dengan implikasi kewangan sebanyak RM7.4 juta mulai 1 Jan 2019,” katanya.

Najib berkata kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan kemudahan perubatan kepada ibu bapa pegawai lantikan kontrak warganegara, yang memberi faedah kepada ibu bapa 42,867 pegawai berkuat kuasa 1 Julai tahun ini (2018).

Najib berkata pada hematnya, penjawat awam bukan sekadar kakitangan kerajaan semata-mata, malah mereka boleh diumpamakan sebagai sahabat dan kawan setia lagi utama kepada pihak kerajaan.

“Apa yang penting, kerajaan akan terus membela nasib kawan setianya iaitu para penjawat awam sekalian,” katanya.

Sebagai sebuah kerajaan yang menghormati kepelbagaian kaum dan agama di negara ini, Najib berkata kerajaan bersetuju memanjangkan kemudahan cuti tanpa rekod selama maksimum tujuh hari sepanjang tempoh perkhidmatan kepada penjawat awam bukan Islam bagi menunaikan aktiviti keagamaan masing-masing berkuat kuasa Januari tahun ini.

Menurutnya, pada pengumuman Bajet 2018, kerajaan telah meluluskan kemudahan cuti tanpa rekod selama tujuh hari bagi tujuan umrah kepada penjawat awam beragama Islam.

Perdana menteri dalam pada itu berkata kerajaan juga bersetuju menyediakan sumbangan tahunan kepada Cuepacs sekurang-kurangnya RM3 juta setahun.

Bagi mewujudkan kebajikan yang berimbang antara penjawat awam dan pesara kerajaan, Najib pada majlis itu turut mengumumkan tiga insentif untuk kumpulan pesara yang mencecah kira-kira 800,000 orang.

Beliau berkata kerajaan bersetuju untuk memberikan sebanyak satu peratus kenaikan kadar pencen secara sekali bayar mulai 1 Julai sehingga 31 Dis 2018 sebagai tambahan kepada dua peratus yang diterima oleh pesara pada 1 Jan tahun ini.

Untuk makluman, manfaat ini bakal diterima oleh semua pesara di seluruh Malaysia malahan pesara yang umurnya 93 tahun itu pun dapat juga’,” katanya disambut dengan ketawa hadirin terhadap usikan itu.

Setakat ini, katanya, faedah persaraan seperti pencen, ganjaran dan Gantian Cuti Rehat diperuntukkan kepada pesara kerajaan pada tahun 2018 sahaja adalah sebanyak RM24 bilion.

Najib dalam pada itu berkata kerajaan mengambil maklum akan keupayaan persatuan-persatuan pesara kerajaan untuk menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengaktifkan peranan pesara.

Bagi melancarkan perancangan aktiviti tersebut, beliau berkata kerajaan bersetuju untuk memberikan geran khas sebanyak RM1 juta ringgit kepada setiap persatuan pesara iaitu Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia dan Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (KUPEKMAS).

Najib berkata kerajaan akan memperuntukkan kuota untuk persatuan pesara kerajaan menunaikan haji bermula tahun 2018.

“Bagi memastikan pesara kerajaan berpeluang untuk menunaikan fardu haji bermula tahun ini, maka saya bersetuju untuk menetapkan satu kuota yang akan diumumkan selepas kerajaan mendapat jumlah kuota yang diperuntukkan kepada Malaysia oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my