Sakit dan Sihat: Warna Warni Kehidupan

TIDAK ada bumi yang tidak ditimpa hujan, tidak ada manusia yang tidak ditimpa sakit. Begitulah resam kehidupan ini selain menikmati kesenangan, kebahagian dan keseronokan, sakit juga merupakan bahagian dalam hidup yang perlu disyukuri dan ‘dinikmati’ dengan penuh keredhaan. Sakit membuka pintu pembersihan diri dari noda-noda kecil yang dilakukan secara sengaja atau sebaliknya.

Menerusi rancangan Islam itu Indah, Ustaz Hasnil Abu Bakar berkata sakit adalah ujian dan musibah yang Allah berikan kepada manusia antara lain adalah untuk melihat sejauhmana nilai sabar seseorang mukmin menerima ketentuan Allah taala. Ini kerana ujian sakit adalah takdir dan kehendak Allah SWT terhadapnya kerana disetiap ujian itu pasti terselit hikmah yang cukup besar untuk mengangkat darjat hambanya di tempat yang lebih tinggi.

Justeru, dalam berdepan dengan situasi sulit seperti kesempitan dan sakit, setiap mukmin hendaklah kembali kepada mengingati Allah SWT kerana hanya DIA yang maha penyembuh. Malah,  sama ada sihat  atau sakit semuanya adalah kehendak dariNya. Oleh itu setiap mukmin hendaklah sentiasa melatih diri untuk melazimi lidah dengan menyebut ‘innalillahi wainna ilaihirojiun’. Dengan doa dan iringan zikir terhadap mukmin yang melalui penderitaan akibat menanggung sakit, sedikit sebanyak doa itu meringankan kesakitan yang dilalui. Bahkan doa yang dilafazkan turut menjadi tarbiah bagi diri agar mengingati saat sihat sebelum datangnya sakit.

Dalam berbicara soal sakit seperti yang selalu dinyatakan sakit itu adalah sebagai kafarah dosa-dosa kecil namun setiap mukmin perlu menjalani kehidupan secara sihat dengan gaya hidup yang dipandu oleh agama. Begitu juga amalan pemakanan yang disaran oleh Rasulullah SAW yang sepanjang hayat baginda hanya jatuh sakit sebanyak dua kali sahaja. Oleh itu bagaimana Rasulullah SAW menjaga kesihatan baginda amatlah wajar dituruti oleh mukmin hari ini.

Seperti yang disebut oleh para cerdik pandai bahawa sihat itu adalah mahkota bagi orang yang sakit. Oleh itu ketika dalam keadaan sihat, seseorang mukmin hendaklah sentiasa berusaha menjaga kesihatannya kerana banyak sekali amalan-amalan Sunnah baginda yang perlu diikuti. Sebagai contoh setiap pagi mengambil sarapan dengan kurma dan susu, makan secara sederhana, banyak memakan makanan alami dan banyak amalan-amalan yang pemakanan sihat.

Selain itu ibadah spiritual juga boleh membantu mukmin untuk menjaga kesihatan mereka seperti amalan berpuasa sunat setiap Isnin dan khamis. Banyakkan zikrullah dan selawat begitu juga amalan doa-doa memohon kepada Allah SWT agar dipelihara kesihatan agar dengan kesihatan yang baik itu akan dapat beribadah dan memperhambakan diri kepada Allah taala.

Walaupun demikian setiap mukmin yang ditimpa sakit, perkara yang paling pokok adalah redha dengan penyakit yang dihinggapi. Jauhkan diri dari rasa putus asa dan kecewa kerana orang yang berputus asa sama seperti orang yang meninggal dunia sebelum nyawanya pergi meninggalkan jasadnya. Perasaan redha dengan setiap ujian Allah akan lebih mendatangkan rasa syukur, lapang hati dan tenang dalam berdepan setiap kehendaknya.

Seperti sihat, sakit juga adalah nikmat yang pasti menjadi kunci untuk mengetuk pintu keimanan bagi mukmin mengukuhkan lagi keakraban dengan Allah taala. Jika setiap penyakit itu dilihat dari mata hati yang sentiasa merendah diri tentunya ia akan menjadi nikmat yang paling lazat kerana kerana orang yang sakit tanpa ada rasa mengeluh Allah akan menggantikan setiap kesakitan itu dengan ganjaran pahala kesabaran yang tinggi nilainya di sisi Allah SWT.

Seperti yang Allah janjikan setiap penyakit pasti ada penawarnya. Kegigihan dan keupayaan dalam berusaha menyembuhkan penyakit serta ketekunan dalam merawat setiap kesakitan pastinya Allah akan gantikan dengan kesembuhan yang akan mengajarkan mukmin akan pentingnya kesihatan dan kebesaran Allah mengurniakan kesakitan dan menganugerahkan kesembuhan. Oleh itu, setiap mukmin jangan sekali-kali memandang sakit itu sebagai musibah tetapi ianya adalah satu bentuk kafarah yang bertujuan untuk mentarbiah insan untuk kembali kepada Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 18 April 2018

Kongsi artikel ini di:

Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Pengurus Program Radio. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 16 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my