Saidatina Ummu Sulaim

DALAM kita mengabdikan diri kepada Allah SWT, kita perlu benar-benar memahami ertinya rasa kehambaan. Buang segala sifat keduniaan yang sering membelenggu diri yang menjadikan kita jauh dengan rahmat Allah SWT. Banyak kisah perjuangan orang-orang soleh yang boleh kita teladani agar kita menjadi hamba-Nya dengan sebenar-benar rasa kehambaan. Menerusi segmen Hayatus Sahabah, yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin, jam 5.15 petang, Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany berkongsi kisah perjuangan Saidatina Ummu Sulaim R.ha.

Ummu Sulaim atau nama sebenarnya Ghumaiso’ bintu Milhan. Beliau merupakan seorang wanita yang  oleh Allah SWT dengan kecerdasan akal, kejelitaan wajah dan keindahan akhlak serta keperibadian yang hebat. Ketika Islam mula bersinar di kota Madinah al-Munawwarah, usia beliau sekitar lebih 40 tahun. Manakala suaminya Saidina Malik bin Nadhar yang sangat mencintai beliau dengan penuh kasih sayang.

Pada suatu ketika, pendakwah dari Makkah, Saidina Mus’ab bin Amru tiba di Yathrib. Beliau merupakan duta pertama Rasulullah SAW yang dihantar untuk penduduk Madinah al-Munawwarah. Beliau juga merupakan guru pertama untuk mengajar Islam dan berdakwah kepada penduduk-penduduk Yathrib. Maka, ketika Saidina Mus’ab berdakwah, Allah SWT telah membuka hati Saidatina Ghumaiso’ untuk menerima agama Allah SWT seperti mana kebanyakan orang di kota Yathrib.

Ghumaiso’ bilamana mendapat hidayah Allah SWT, beliau mula berdakwah kepada suaminya yang tercinta. Beliau tidak mahu suaminya tenggelam dalam jahiliyyah dan kekal menganut agama berhala. Beliau bersungguh-sungguh mengajak suaminya agar mendapat kebahagiaan kehidupan sebagai seorang mukmin yang sebenar. Akan tetapi, Malik bin Nadhar tidak terbuka hati untuk menerima agama Allah SWT. Inilah yang dikatakan hidayah milik Allah SWT. Hal ini sepertima yang disebut di dalam al-Quran, Surah al-An’aam ayat 125 yang bermaksud : Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.

Malik bin Nadhar kemudian tidak selesa dengan hal keadaan isterinya yang hari demi hari bersungguh-sungguh mengajaknya kepada Islam. Bahkan Malik pula kemudiannya mengajak isterinya untuk kembali kepada kekufuran. Namun, iman yang teguh di dalam diri Ummu Sulaim telah menghalangnya untuk kembali kepada kekufuran. Lantas, suaminya berlalu meninggalkan Madinah kerana tidak berjaya membawa isterinya kembali kepada agama lama. Tidak berapa lama, Malik kemudian meninggal dunia di Syam.

Setelah berita pemergian Malik itu diketahui oleh masyarakat Madinah, maka ramailah pemuda-pemuda yang menyimpan hasrat untuk meminang Ghumaiso’. Namun mereka bimbang jika pinangan mereka ditolak kerana ada juga di antara mereka yang masih berbeza agama dengan Ghumaiso’, kecuali seorang lelaki yang bernama Zaid bin Sahal yang lebih dikenali dengan Abu Talhah. Zaid ini sangat bersungguh-sungguh untuk menikahi Ghumaiso’ sekalipun beliau berbeza fahaman agama dengan Ghumaiso’, tetapi beliau tetap menaruh harapan agar beliau diterima kerana beliau daripada kabilah yang sama dengan Ghumaiso’.

Lalu, Zaid bin Sahal pergi untuk meminang Ghumaiso’ dan beliau berharap agar Ghumaiso’ tidak menolak pinangannya dan beliau pulang dengan kecewa. Ummu Sulaim lantas menjawab “Wahai Abu Talhah, tidak akan ada seorang wanita pun menolak pinangan lelaki seperti kamu. Tetapi, ketahuilah sesungguhnya engkau seorang lelaki yang kafir dan aku seorang wanita muslimah. Sekiranya kamu memeluk agama Allah SWT, maka aku berjanji aku akan menjadikan mas kahwinku adalah Islam. Aku tidak akan sedikitpun menuntut daripada kamu mahar mas kahwin yang lain. Oleh itu, kamu Islamlah, akan aku terima kamu sebagai suamiku”.

Setelah ikhlas Zaid menuntut ilmu agama dan mendekati ilmuan, akhirnya Allah SWT membuka pintu hati Zaid untuk menerima hidayah daripada-Nya. Selang beberapa ketika, Zaid pergi untuk meminang Ummu Sulaim dan beliau melafazkan syahadah di hadapan Ummu Sulaim. Maka, Ummu Sulaim berkata “Jika engkau telah memeluk Islam, maka aku redha kamu menjadi suamiku”. Maka orang ramai yang mendengar kata-kata itu berkata “Kami tidak pernah mendengar ada seorang pun yang mas kahwinnya lebih mahal daripada Ummu Sulaim di atas muka bumi ini, kerana mas kahwinnya adalah Islam”.

Beginilah kisah kehidupan insan-insan hebat yang dididik terus oleh Rasulullah SAW yang mana hidup mereka adalah untuk Allah, kerana Allah dan bersama Allah. Bilamana kita merasakan kebersamaan Allah SWT dalam setiap tindak-tanduk kita, maka pekerjaan kita itu adalah dengan pertolongan Allah SWT, bukan dengan ikhtiar dan usaha kita. Maka pada saat itu, barulah kita merasa syukur kepada Allah SWT atas setiap yang kita lakukan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 17 Januari 2017

2017-01-17
Kongsi artikel ini di:

Haji Faiz Hj. Othman

Merupakan penyampai di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Kini aktif dengan kerja-kerja berkaitan Sosial Media untuk IKIMfm.