Saat Diri Diuji (Bahagian 2)

KEPEDIHAN dan kesedihan yang datang bersama dalam ujian yang kita hadapi tanamkanlah dalam hati iaitu sangka baik kepada Allah SWT. Sekiranya kita belum nampak kebaikan yang telah Allah SWT berikan melalui takdir ujian itu, ilmu pengetahuan kita yang ada itu tidak mungkin mengukur dan menjangka ilmu Allah SWT yang maha luas. Berkatalah dan memujuk pada hati bahawa sesuatu takdir itu pasti baik walaupun mungkin mengambil masa untuk kita melihat kebaikan disebalik kepahitan, kepedihan dan kesakitan yang diberikan Allah SWT. Pertemuan Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam rancangan Islam Itu Indah bersama para pendengar di IKIMfm pada setiap hari Rabu jam 10.15 pagi yang lalu, masih meneruskan perbincangan mengenai topik ‘Saat Diri Diuji (Bahagian 2)’.

Kegagalan, kerugian, kesakitan, perpisahan dan kematian mempunyai kebaikan jika semua itu datang daripada Allah SWT. Hikmah yang berlaku itu mungkin kita tidak dapat melihat disebabkan oleh mata hati kita yang buta. Bukakanlah mata hati untuk melihat sesuatu yang tersirat daripada yang tersurat supaya kita selalu dapat dihubungkan dengan Allah SWT untuk ditambahkan keimanan. Oleh yang demikian, Ustaz Pahrol Mohd Juoi tidak kurang untuk terus mengingatkan bahawa bersangka baik dan ingatlah kepada Allah SWT kerana kaedah itu akan menjamin kebaikan hidup. Hal ini dapat kita lihat menerusi firman Allah di dalam hadith qudsi dimana Sabda Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah berfirman: “Aku (Allah) adalah seperti sangkaan hambaKu terhadap Aku. Dan Aku bersamanya tatkala Dia mengingatiKu. Sekiranya dia mengingatiKu dalam dirinya, maka Aku akan mengingatinya dalam diriKu”.

Untuk mendapat kebaikan dari sesuatu ujian mesti bermula dengan bersangka baik kepada Allah SWT. Apabila sangka baik kepada Allah SWT maka hati menjadi tenang dan fikiran menjadi lapang. Segala emosi dan pengurusan diri akan menjadi tenteram. Namun begitu, sifat diri manusia yang lemah tidak terkecuali untuk terlanjur bersangka buruk kepada Allah SWT. Sekiranya berlaku sedemikian, maka bertaubatlah dengan sebenar-benarnya dan mulakanlah bersangka baik. Allah SWT bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim merupakan sifat-sifat baik daripada-Nya. Yakinlah bahawa Allah SWT memberi ujian sepadan dan setimpal dengan kemampuan kita untuk menghadapinya. Sebagai contoh, apabila kita ingin menempah baju dengan seorang tukang jahit yang mempunyai pengalaman dan kecekapan untuk mengukur dan menjahit, dia akan menyiapkan baju yang sesuai mengikut saiz yang tepat berdasarkan bentuk badan kita.

Ertinya, ujian dan dugaan yang hadir itu tidak sewenangnya memberi kemudaratan semata-mata kerana Allah SWT akan mengukur kemampuan kita melalui tahap ilmu, keimanan, fizikal, fikiran akal dan sebagainya untuk kita mengharungi ujian itu. Ujian yang datang itu adalah sesuai dengan kemampuan seseorang manusia untuk menerima dan menempuhi segalanya kerana Allah SWT itu maha adil dan Dia tidak pernah sesekali bersifat keterlaluan dalam menguji seseorang hambanya. Perkara ini dapat kita lihat menerusi firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 286, yang bermaksud “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya”.

Daripada ayat tersebut, kita dapat mempelajari bahawa Allah SWT lebih mengetahui dan mengerti tentang kemampuan ujian yang diberikan terhadap seseorang hamba-Nya dan Dialah yang mengetahui apa yang terbaik berbanding diri kita sendiri. Saat dan ketika apabila Allah SWT memberikan ujian, Dia meminta kita mengeluarkan seluruh potensi diri yang tidak disangka dan dijangka oleh diri sendiri. Sebagai contoh, sekiranya kita dikejar oleh seekor anjing maka kita akan berlari sekuatnya sehingga tidak terjangka kita mampu melangkah seluasnya melintasi lopak air dan parit untuk menyelamatkan diri. Oleh yang demikian, walau ujian yang hadir itu menyebabkan kita terasa sakit, Allah SWT mengetahui kebaikan sakit itu sebelum kita menyelesaikan ujian tersebut dengan cara yang paling  terbaik.

Ujian merupakan didikan dari Allah SWT kepada hamba-Nya untuk lebih mendekatkan diri kepada tuhan yang maha pencipta. Sekiranya kita sentiasa rasa selamat dan selesa dengan tahap iman yang sedia ada, sedangkan diri kita belum berada ditempat yang betul disisi Allah SWT, maka sebab itulah Allah SWT menurunkan ujian untuk memperbetulkan keadaan diri kita. Hal ini termasuklah ketika diri diuji, Allah SWT mahu kita menggunakan sepenuh kekuatan yang ada dalam diri disamping melaksanakan kaedah yang terbaik dengan memantapkan ibadah solat serta berdoa kepada-Nya.

Oleh itu, setiap ujian juga membawa pengajaran buat manusia supaya menjadi lebih soleh serta dapat meningkatkan lagi ketakwaan kepada Allah SWT. Dengan ujian yang mendatang, semaklah amalan kita dengan memperbetulkan solat, tingkatkan pemberian zakat, perluaskan ziarah dan perhebatkanlah zikir kita. Semoga kita terus berada dalam rahmat dan kasih sayang dari Allah SWT. Ambillah manfaat ujian yang diberikan oleh Allah SWT itu dengan bersangka baik kepada-Nya dan pelajarilah hikmah daripada ujian tersebut supaya kita dapat menjadi sebaik-baik hamba. Perumpamaan buat orang yang gagal ialah orang yang berubah hanya apabila terpaksa tetapi orang yang berjaya ialah mereka yang berubah dengan memaksa dirinya untuk berubah.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 November 2016
Scroll to Top