Saat Dilanda Kesedihan

MUNGKIN anda pernah terlintas membaca ayat ini: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita (Surah At- Taubah , ayat 40). Kehidupan ini tidak  selamanya indah. Senang dan duka datang silih berganti. Hal ini semakin memantapkan hati untuk menilai kehidupan di dunia ini.

Allah SWT berfirman, maksudnya: “Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan\”. (Surah  Al-Anbiya:, ayat 35). Oleh itu, senang dan duka adalah sunnatullah  yang pasti mewarnai kehidupan ini. Tidak ada seorang manusia pun yang terus merasa senang, dan tidak pula terus berada  dalam duka dan kesedihan. Semuanya merasakan senang dan duka datang silih berganti. Jangankan kita, generasi terbaik umat ini, para wali Allah, yakni para sahabat Nabi SAW pun pernah dirundung kesedihan.Sewaktu membicarakan tajuk  ‘Jangan Bawa Ke Esok’ dalam rancangan Pesona D’ Zahra pada Isnin lalu jam 10.15 pagi, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin berkata setiap manusia yang berpijak di bumi nyata ini  akan berhadapan dengan perasaan sedih dalam dua keadaan iaitu  dalam diri sendiri dan juga  dari orang lain di sekeliling kita yakni daripada ibu bapa, suami atau isteri, rakan sekerja , majikan dan sebagainya.

Bersedih yang dilarang adalah kesedihan akibat tidak memiliki sifat sabar yang tinggi, tidak menerima takdir  serta menunjukkan kelemahan diri. Semua yang dikatakan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya itu benar. Kata-kata seperti ‘kalau’ atau ‘ seandainya’  itu apabila digunakan sebagai ungkapan kesedihan menyesali yang telah lampau dan kecewa terhadap takdir, itulah yang ditegah, sebagaimana firman Allah  SWT   “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu seperti orang-orang kafir (orang-orang munafik) itu, yang mengatakan kepada saudara-saudara mereka apabila  mereka mengadakan perjalanan di muka bumi atau mereka berperang” Kalau mereka tetap bersama-sama kita tentulah mereka tidak mati dan tidak dibunuh . Akibat (dari perkataan dan keyakinan mereka) yang demikian itu , Allah menimbulkan rasa penyesalan yang sangat di dalam di hati mereka  (Surah Al- Imraan, ayat  156).

Sesungguhnya tiada tempat berlari dari takdir yang telah ditentukan. Satu-satunya jalan adalah anda harus beriman kepada takdir Allah SWT  kerana takdir pasti akan berlaku. Kita sebagai makhluk Allah SWT  yang kerdil  harus percaya dan meyakini bahawa setiap takdir yang ditentukan pastinya  ada sebab dan peranannya serta sebagai manusia kita tidak dapat lari darinya. Contohilah  liku-liku kehidupan dan keperitan yang  dialami oleh Nabi Muhammad SAW . Baginda pun bersedih saat ditinggalkan oleh orang-orang yang mencintai dan dicintai oleh Baginda. Namun , Baginda SAW tidak berlebihan ketika bersedih. Baginda SAW bangkit dan kembali berjuang tanpa berpanjangan   dalam kesedihan .Tetapi adakalanya menjadi ‘sindrom’ di kalangan kita adalah kita suka memanjangkan kesedihan . Seakan-akan Allah yang menjadi tempat untuk kita berteduh , memohon rahmat dari -Nya, tidak wujud .

Sudah menjadi  lumrah kehidupan di dunia. Cabaran dan dugaan mendewasakan usia kita. Ada waktu, memang manusia akan merasakan kesedihan. Apatah lagi  rasa sedih  itu  menerjah  ke lubuk hati  di saat  kita  dimarahi, dikeji  ataupun  difitnah  oleh  manusia lain  yang  dibelenggu  dengan  bisikan syaitan yang durjana. Namun  di sebalik itu, terdapat juga manusia  yang insaf dan terus memohon kemaafan atas kesilapan yang dilakukan. Hati yang hiba tidak boleh kita hapuskan dan ia merupakan sebahagian daripada emosi yang telah dianugerahkan kepada manusia. Islam mempunyai penawar yang mujarab bagi mengubati segala penyakit manusia sama ada rohani atau jasmani. Hal ini sangat berbeza dengan agama-agama yang lain.

Justeru, dalam merawat kesedihan, kita sebagai umat  Baginda SAW  dianjurkan untuk sentiasa belajar memaafkan diri sendiri. Cubalah sedaya upaya untuk tidak membazirkan  masa dan usia kita dengan menanggung kesedihan. Kesedihan tidak akan pernah menjadi penyelesaian kepada sesuatu masalah. Maka perhatikanlah masalah, bergerak menyelesaikannya. Jika masalah itu bukan datang dengan penyelesaian, sebagai contoh: Kematian rakan karib, guru tercinta, ibu bapa tersayang dan sebagainya, hendaklah tabah dan melangkahlah memandang apa yang masih ada pada kita.

Langkah seterusnya dalam  memadamkan rasa  pilu dan sedih ialah dengan belajar memaafkan kesalahan orang lain. Sebagai umat Islam,kita tidak boleh terasa atau  tersinggung dengan orang lain terlalu lama.Atau dalam erti kata lain,kita tidak boleh menyimpan dendam. Kenapa kita tidak boleh berbuat demikian? Ini kerana Allah SWT itu Maha Pengampun. Ini terbukti apabila  Allah SWT berfirman :

Katakanlah (wahai Muhammad): \”Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Az- Zumar.,ayat  53)

Ada manusia  yang bersedih dengan rupa parasnya, bersedih dengan kejadiannya, bersedih mengenangkan nasibnya, sedih dengan cara hidupnya. Tidak kurang juga yang sedih dengan dirinya yang lemah, keimanannya yang rendah, ibadahnya yang sedikit dan sebagainya. Untuk itu, sebagai menunjukkan rasa cinta dan kasih  terhadap seluruh  umatnya. Allah SWT  menurunkan anugerah yang tidak ternilai harganya .Kitab suci Al-Quran disifatkan sebagai ubat yang sangat mustajab kepada manusia bagi menghilangkan perasaan hiba dan segala penyakit hati dan jasad. Setiap orang yang membaca Al-Quran akan menjadi tenang dan Allah akan memberikannya jalan keluar atas segala kesulitan dan kesedihan yang dihadapi olehnya.

Kesimpulannya, saat  manusia  diulit rasa kesedihan, bermunajatlah kepada  Allah SWT. InsyaAllah mudah-mudahan   segala ibadah yang dilakukan dapat meningkatkan keimanan kita kepada-NYA  dan menjadikan kita seorang hamba yang baik dan soleh. Titis air mata jangan dipersia , curahkan hanya kepada Yang Maha Esa.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 Mac 2016
Scroll to Top