Saat Bersendirian di Barzakh

KETIKA kembali menghadap Allah, kita tidak lagi berada di dalam keadaan yang sama seperti sebelumnya dan berada di dalam kelompok sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah SWT. Alangkah beruntungnya jika kita berada di dalam kelompok yang sama dengan para nabi dan orang-orang salih. Rasulullah SAW menggambarkan keadaan kedudukan roh yang akan di tempatkan di lokasi  yang tertentu setelah selesai menjalani  sesi soal jawab di dalam kubur.

Menurut Ustaz Ahmad Dusuki Abd. Rani melalui slot Mau’izati di IKIMfm pada Khamis, jam 5.15 petang, Rasulullah menggambarkan kelompok pertama yang terdiri daripada para syuhada yang mati syahid di jalan Allah. Baginda mengajarkan doa kepada para sahabat agar dipilih oleh Allah untuk berada di kalangan golongan ini.

Mereka ini tidak akan merasa sakitnya menempuh kematian dan siksaan di dalam kubur dan diberikan banyak kelebihan oleh Allah SWT. Roh mereka akan diletakkan di dalam perut burung yang berterbangan di dalam syurga Allah, berwarna hijau dan putih, serta sentiasa berterbangan merentasi sungai-sungai yang indah. Mereka akan pergi ke mana sahaja tempat yang ingin dituju, dan mampu melihat apa sahaja yang ingin dilakukan.

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda, arwah para syuhada itu akan berada di sisi Allah di dalam perut burung berwarna hijau yang menyeberangi sungai-sungai di dalam syurga ke mana sahaja yang dikehendakinya dan akan kembali semula ke pelita yang bergantungan  di bawah arasy Allah.

Roh ini juga akan saling kunjung-mengunjung di antara satu sama lain. Anas bin Malik RA meriwayatkan hadis, menuturkan bahawa ketika Harithah terbunuh, ibunya pergi bertemu Rasulullah SAW dan bertanya Baginda tentang kedudukan  anaknya itu sama ada berada di syurga atau neraka. Lalu Baginda menjawab ada banyak syurga, dan Harithah berada di dalam syurga firdaus yang tertinggi kedudukannya.

Kelompok kedua bagi roh yang berada bersendirian di dalam kubur nanti terdiri daripada mereka yang beriman kepada Allah. Roh orang yang salih ini akan berada di dalam perut burung yang berwarna hijau dan saling menziarahi antara satu sama lain.

Mereka akan bergerak di dalam syurga Allah mengikut kehendak hati mereka. Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Mahmud Ibnu Labit, bersumber daripada Ummu Bashar, Ibnu al-Barraq menceritakan bahawa dia pernah bertanya: “Ya Rasulullah, apakah orang yang meninggal dunia ini akan saling kenal mengenali?. Baginda menjawab; “Kebahagiaan untuk kamu, untungnya dirimu bertanyakan soalan sebegini.

Jiwa yang tenang itu wujud menjadi burung berwarna hijau yang berada di dalam syurga Allah. Kemudian jika burung-burung di dunia ini saling mengenali di atas pohon, demikian juga mereka.” Hingga kiamat tiba, roh yang berada di dalam perut burung itu akan kembali ke dalam jasad masing-masing.

Seringkali ditanya bagaimana kedudukan anak-anak kecil yang meninggal dunia, Rasulullah SAW menggambarkan mereka  berada di dalam dua kelompok. Kelompok anak-anak orang yang salih, termasuk yang keguguran daripada rahim ibunya, mereka akan ditempatkan di dalam syurga Allah di gunung yang indah.

Di gunung itu terdapat pokok-pokok thuba dan anak-anak ini dijaga oleh Nabi Ibrahim AS dan Sarah AS, mereka sentiasa berada dalam kekenyangan dan tidak pernah berasa haus, malah sentiasa berdoa kepada Allah agar dapat berpimpinan tangan  dengan kedua ibu bapa kerana tidak berkesempatan melakukannya ketika di dunia dahulu.

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya, di syurga terdapat sepohon pokok iaitu pohon thuba yang semuanya dapat menikmati susunya termasuklah bayi-bayi yang meninggal dunia yang masih menyusu dan pengasuh mereka ialah Nabi Ibrahim Khalilullah. Bagi anak-anak kecil yang tidak lagi menyusu akan ditempatkan di dalam perut burung-burung berwarna hijau dan berterbangan di dalam syurga.

Apabila tibanya waktu semua orang mula ditempatkan di dalam syurga dan neraka, anak-anak kecil belum masuk ke dalam syurga dan apabila diminta oleh malaikat untuk berbuat demikian, mereka menjawab: “Kami tidak akan masuk ke dalam syurga selagi tidak bertemu dengan arwah ibu dan bapa kami, kami ingin masuk ke syurga bersama mereka.

”Apabila malaikat memberitahu anak-anak itu bahawa ibu bapa mereka berada di neraka, mereka terus tersemban menangis, “Jika di dunia kami tidak sempat bersama-sama ibu dan bapa kami, kenapa di akhirat juga kami tidak boleh bersama mereka? Izinkan kami memberi syafaat kepada ibu dan ayah kami, untuk kami masuk ke dalam syurga Allah.”

Mereka berterusan menangis sehingga turunnya rahmat Allah, dan kemudian memerintahkan malaikat supaya mengambil ibu bapa kepada anak-anak ini yang sedang berada di dalam neraka, dengan syafaat yang diberikan oleh-Nya, lalu dibawa masuk ibu bapa bersama-sama anak-anak mereka ke dalam syurga.  

Lalu setelah ibu bapa anak-anak ini dikeluarkan daripada neraka, mereka akan memegang tangan ibu bapa mereka dan bergayutan dengan penuh kegirangan menuju ke syurga Allah SWT. Semoga kita beroleh syafaat ini hasil daripada sikap sabar ketika mengharungi ujian Allah. Bagi arwah anak-anak orang yang tidak beriman, mereka akan menjadi pelayan-pelayan  di dalam syurga dan hidup bebas di dalamnya tanpa mempedulikan keadaan ibu dan bapa mereka.

Kelompok yang terdiri daripada mereka yang kufur kepada Allah akan dikumpulkan di tempat yang dinamakan Sijjin. Di dalam hadis Rasulullah yang diriwayatkan melalui Ibnu Abbas yang bersumberkan daripada Ibnu Syaibah dan Baihaqi, dituturkan bahawa di dalam syurga ma’wa akan terdapat burung berwarna hijau.

Di dalamnya bersemayam arwah para syuhada, mereka bersenang-senang di dalam syurga Allah. Manakala arwah keluarga Firaun pula  berada di dalam burung yang berwarna hitam, berulang-alik di atas api neraka Allah setiap hari dan ditunjukkan oleh Allah bagaimana keadaan yang akan mereka lalui apabila dibangkitkan pada hari akhirat nanti, sedangkan arwah anak-anak kaum muslimin berada di dalam burung pipit di syurga Allah SWT.

Kebanyakan para ulama menjelaskan bahawa gambaran syurga Allah dilihat ketika berada di dalam kubur masing-masing, ini adalah sebab mengapa Rasulullah sering mengingatkan kita supaya sentiasa berdoa memohon kepada Allah agar menjadikan kubur kita berada di dalam taman-taman syurga.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 3 Mac 2016
Scroll to Top