Ribuan penyokong Ahok banjiri Balai Kota Jakarta

JAKARTA, 10 Mei – Ribuan penyokong membanjiri Balai Kota Jakarta pagi ini sebagai memberi sokongan moral dan melahirkan rasa dukacita kepada Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok yang dijatuhi hukuman dua tahun penjara atas kesalahan menghina agama.

Mereka berhimpun selama kira-kira dua jam sejak 6 pagi dan mula menyanyikan lagu patriotik Indonesia yang dipimpin seorang ahli muzik terkenal, Addie MS.

Turut serta Naib Gabenor Djarot Saiful Hidayat, yang memulakan tugas sebagai pemangku Gabenor mulai hari ini ekoran Ahok telah ditahan mulai semalam setelah mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadap beliau.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai yang berbaju merah turut membawa sepanduk dan belon yang tertulis pelbagai mesej termasuk ”Keadilan Untuk Ahok” dan melaungkan ”Hidup Pak Ahok”.

Semalam, mahkamah di Indonesia menjatuhkan hukuman dua tahun penjara terhadap Ahok setelah mendapati beliau terbukti bersalah melakukan penodaan agama kerana membuat kenyataan menyentuh Surah Al Maidah ayat 51 ketika bertemu pengundi di Pulau Pramuka, Kepulauan Seribu pada September tahun lalu.

Ahok yang kalah dalam pilihan mempertahankan jawatan pada bulan lepas sepatutnya menamatkan perkhidmatannya Oktober ini.

Media dalam talian melaporkan Ahok pada mulanya ditahan di Penjara Cipinang tetapi telah dipindahkan ke Markas Polis Briged Mobil (Brimob) di sini pada tengah malam tadi.

Ketua Polis Jakarta Timur, Andry Wibowo dipetik sebagai berkata pemindahan Ahok adalah atas permintaan pihak penjara atas alasan keselamatan.

Semalam ratusan penyokong Ahok berhimpun secara aman dengan menyalakan lilin di luar bangunan penjara Cipinang itu bagi menunjukkan sokongan moral, namun bersurai sebaik diminta berbuat demikian oleh Djarot.

Sumber BERNAMA

222total visits,1visits today

Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Ketua Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa dan juga Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 13 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm