Rejim Bashar bertanggungjawab jenayah kemanusiaan di Syria

GENEVA, 21 Jun – Angkatan tentera yang setia kepada Rejim Bashar al-Assad telah melakukan pelbagai jenayah kemanusiaan di Syria, kata penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia termasuklah sengaja membiarkan penduduk awam kebuluran semasa pengepungan Ghouta Timur.

Pengepungan (paling lama dalam sejarah moden) di pinggir bandar itu berakhir April lalu, apabila Damsyik menguasai semula kawasan berkenaan daripada pembangkang.

“Suruhanjaya Siasatan PBB (COI) mengutuk kaedah perang di Syria dan melabelkan ia sebagai kejam.

“Rejim Bashar sengaja mengepung dan menyerang orang awam, selain secara sistematik memutuskan bekalan makanan serta ubat-ubatan,” kata Ketua COI, Paulo Pinheiro.

COI ditugaskan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Mac lalu untuk segera menyiasat jenayah di Ghouta Timur.

Suruhanjaya itu mengeluarkan laporan setebal 23 halaman memperincikan penderaan ke atas penduduk awam.

Tambah COI lagi, taktik digunakan Damsyik bertujuan menghukum penduduk Ghouta Timur dan secara kolektif menyerah diri atau mati kelaparan. – Arab News

Kongsi Artikel ini :
Scroll to top