Ramadhan Didik Nafsu

Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali RA menukilkan “Barang siapa menyirami anggota badannya dengan hawa nafsu, maka ia menanam pohon penyesalan dalam hatinya.” Ustaz Zul Ramli M. Razali selaku naqib Usrah Nurani Jumaat lalu di IKIMfm menekankan bahawa manusia ada berbagai jenis dan ragam. Ada yang punya jiwa yang lemah dan acapkali tewas pada nafsu walaupun jauh di sudut hatinya ingin berubah membuat kebaikan. Justeru, kehadiran hidayah yang bersifat menyeluruh amat diperlukan. Namun, terkadang kegagalan membendung didik hawa nafsu itu sendiri menjadi penghalang mendapat hidayah Allah. Oleh itu, Allah kurniakan satu bulan iaitu bulan Ramadan sebagai bonus untuk umat manusia meraih hidayah Allah SWT agar dapat mengawal hawa nafsu dan sekaligus menjemput hidayah Allah sentiasa bersama setiap masa.

Sungguh, nafsu itu bukan untuk di hapus tetapi untuk diurus. Berganding bersama rakan usrah di konti, Dr Nik Roskiman Abdul Samad membongkar keistimewaan Ramadan sehingga melaluinya manusia mampu mendidik dan mengurus nafsu sebagai perisai menempuh bulan-bulan selepas berakhirnya Ramadan ini dan ketemu Ramadan tahun hadapan.

Bagi setiap umat Islam yang melaksanakan ibadah puasa, Allah SWT menjanjikan bonus yang amat lumayan sebagaimana yang diterangkan di dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azzawajalla berfirman: “Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa, lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Puasa adalah perkara ‘dharuriah’ dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum. Puasa memaksa individu meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara dihalalkan untuk melakukannya pada hari-hari sebelum datangnya Ramadan. Secara tidak langsung, puasa sebenarnya mendidik umat Islam menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar berhadapan sebarang godaan sepanjang Ramadan walaupun kepada perkara halal yang hanya ditegah untuk melakukannya di dalam bulan ini. Sebab itu, Allah menghadiahkan setinggi-tinggi penghargaan kepada umat yang berpuasa dengan penuh ketaatan dan kepatuhan dengan memberikan piala takwa kerana tegahan dan suruhan di dalam bulan puasa bukan sesuatu yang biasa-biasa, maka ganjarannya diberi sungguh luar biasa.

Ramadan juga dikenali sebagai bulan prestasi. Allah memberikan kesempatan kepada orang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah SWT bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai ibadat kepada Allah. Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan atau lebih. Oleh itu, orang yang puasa di bulan Ramadan diiringi puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun menepati hadis Rasulullah SAW mafhumnya: “Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang masa.”(HR Imam Muslim).

Selain itu, Ramadan adalah bulan ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti dilakukan salafus-salih. Usaha hendaklah dipertingkat agar tiada waktu berlalu tanpa amal salih sepanjang Ramadan. Rebut kesempatan Ramadan ini dengan memperbanyak munajat, memohon hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah SWT kerana Ramadan inilah medan meminta sebanyaknya kepada Yang Esa.

Pemberian sesuai dengan apa yang diberikannya. Maka pahala orang puasa sangat besar tanpa batas. Puasa adalah sabar dalam ketaatan kepada Allah, sabar dari yang diharamkan Allah dan sabar terhadap takdir Allah yang menyakitkan dari lapar, haus dan lemahnya badan serta jiwa. Maka, layak orang puasa termasuk golongan orang-orang sabar yang di gariskan oleh Allah SWT menerusi firmanNya yang bermaksud, “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Surah Az-Zumar, ayat 10)

Justeru, pada bulan Ramadan ini ambillah peluang memperbaiki diri dan meningkatkan prestasi dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya agar di nobat takwa di penghujunnya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 17 Jun 2016
\"2016-06-17\"
Scroll to Top