Ramadan, Syaitan Dirantai, Kenapa Maksiat Masih Ada?

APABILA masuk bulan Ramadan, dibuka semua pintu langit, ditutup semua pintu neraka dan dirantaikan segala syaitan. Namun suasana maksiat masih wujud pada  bulan Ramadan. Ustaz Muhamad Abdullah al Amin dalam rancangan Pesona D\’Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu jam 10.15 pagi berkata umat Islam perlu lebih fokus untuk mencapai kebaikan pada  bulan mulia  ini. Nabi Muhammad SAW telah menyebut juga bahawa pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka serta dibelenggu para syaitan. Selain itu, terdapat juga ulama yang menyatakan  bahawa bulan ini dinamakan ‘Ramadan\’ (yang bermaksud panas) oleh Allah SWT kerana bulan ini adalah bulan menghapuskan dosa. Ada pula yang bertanya berkenaan erti Syaitan dibelenggu. Sebahagian ulama berpandangan bahawa ia membawa maksud ketidakmampuan Syaitan menguasai orang yang berpuasa sebagaimana penguasaannya di luar bulan Ramadan. Ada juga yang menyebut sebahagian jenis Syaitan yang utama sahaja di belenggu, manakala yang lain masih bebas lalu kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat pada bulan Ramadhan. Walau bagaimanapun, sebenarnya ia adalah akibat dorongan nafsu jahat yang telah lama terdidik dan terbiasa dengan ajakan Syaitan.

Jin pertama dicipta ialah “Jaan”, sebagaimana manusia pertama dicipta ialah Adam. Dari keturunan Jaan ini kemudiannya lahir satu Jin bernama “Azazil”. Azazil ini kemudiannya menderhaka kepada Allah lalu dikenali sebagai “Iblis”. Keturunan atau suku sakat Iblis ini dipanggil Syaitan. Sementara jin boleh jadi Islam dan Kafir, namun Syaitan selamanya adalah dari bangsa jin yang kufur dan menderhaka kepada Allah. Mereka akan terus melakukan kerosakan dan hasutan sepanjang hayat mereka. Jadi yang dirantai sepanjang bulan Ramadan ini hanyalah para syaitan, sedangkan para Jin masih bebas menjalankan tugas  seperti biasa. Manusia atau Jin yang mempunyai sifat-sifat buruk tertentu dikenali sebagai syaitan. “Minal jinnati wan naas” dalam Surah An-Naas menyatakan bahawa para penghasut yang timbul tenggelam (yang ditafsirkan oleh para ulama sebagai ‘syaitan’) itu terdiri daripada bangsa Jin dan bangsa manusia. Maka istilah ‘syaitan’ itu bukanlah merujuk kepada Jin, tetapi kepada manusia dan Jin yang mempunyai sifat-sifat tertentu. Mengapa digunakan istilah ‘dirantai atau dibelenggu’? Hal itu  bagi  menyatakan ‘ketidakbebasan’. Sifat-sifat kesyaitanan pada diri manusia dan Jin sepanjang bulan Ramadan ini tidak bebas sepertimana dalam bulan-bulan selain Ramadan. Misalnya,  sifat syaitan pada diri kita sendiri. Antara sifat kesyaitanan yang kita  lalukan  pada bulan-bulan selain Ramadan ialah seperti makan secara berlebihan, mengumpat,  berfikiran jahat dan sebagainya. Tetapi apabila tibanya  bulan Ramadan dan kita sebagai umat Islam berpuasa, sedikit-sebanyak kita berusaha mengekang sifat-sifat ini pada siang hari agar puasa kita menjadi puasa yang berkualiti, dan pada malam hari pula kesempatan kita untuk keluar dari rumah tidak begitu banyak. Hasilnya, sifat-sifat kesyaitanan ini seolah-olah terbelenggu, terantai dan tidak bebas seperti dalam bulan-bulan yang lain. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘syaitan-syaitan dirantai’.

Mengikut hadis, syaitan akan dirantai sepanjang masa.. Tetapi kenapa masih ramai manusia yang melakukan maksiat dalam bulan ini? Suatu persoalan yang sering kedengaran dalam masyarakat. Antara jawapan yang boleh diberikan ialah walaupun syaitan telah dirantai tetapi masih ada satu lagi perkara yang sering mendorong manusia ke arah maksiat iaitu nafsu. Walaupun nafsu ada baik dan buruknya tetapi nafsu manusia umumnya adalah lebih cenderung untuk melakukan maksiat. Nafsu lebih senang atau mesra dengan perkara-perkara yang jelek dan jijik. Ada juga ulama yang menyatakan bahawa ianya berlaku disebabkan manusia telah biasa dengan maksiat itu sebelum datangnya bulan Ramadan. Ada ulama yang menggambarkan keadaan itu seperti air di dalam gelas dan sudu. Sudu digunakan untuk memusingkan air tersebut. Setelah lama sudu itu memusingkan air, maka air menjadi biasa dengan pusingan itu.

Adakah air itu akan terus berhenti berpusing atau terus berpusing walaupun sudu telah tiada. Tentu sekali air itu akan terus berpusing walaupun sudu telah tiada. Begitu jugalah dengan manusia pada  bulan Ramadan. Mereka akan terus melakukan dosa yang telah biasa dilakukan oleh  mereka walaupun syaitan telah dirantai.  

Kesimpulannya, hanya Allah SWT  yang tahu maksud tepat akan pernyataan “syaitan-syaitan dirantai”. Namun begitu, sekurang-kurangnya kita sebagai umat Islam mestilah meyakini bahawa memang benar “para syaitan dirantai”. Dan tidak menjadi kesalahan pula jika umat Islam berusaha untuk mengkaji maksud “para syaitan dirantai” itu, sebagaimana yang sudah dilakukan oleh para ulama terdahulu.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 20 Jun 2016
Scroll to Top