Ramadan Sebagai Bulan Perubahan Sikap

JADIKAN tarbiah Ramadan sebagai ruang untuk kita perbaiki diri dari semasa ke semasa. Semoga puasa yang kita lalui hari demi hari bertambah baik daripada ynag sebelumnya. Sedaya upaya kita tingkatkan momentum kerohanian dan ketaqwaan yang telah kita mulakan seawal Ramadan.  

Semua orang apabila tibanya Ramadan, mahu menjadi baik. Ramadan yang diberikan oleh Allah SWT membekalkan kepada kita formula untuk mengubah sikap dan perangai daripada yang buruk kepada yang lebih baik.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman menerusi segmen Ibrah yang keudara di IKIMfm, berkongsi rahsia dan formula perubahan sikap melalui beberapa ayat di dalam Surah Al-Baqarah.

Pertamanya bagaimana Allah mendidik, untuk perubahan diri kita memerlukan sikap dan pemikiran yang proaktif. Apabila seseorang itu mahu berubah, dia perlu sentiasa proaktif iaitu berhenti daripada menyalahkan orang lain dan menganggap kita mesti memilih keputusan untuk diri dan hidup kita.

Apabila kita melihat perintah puasa yang diturunkan oleh Allah SWT menerusi ayat 183 surah Al-Baqarah yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa, ayat ini Allah SWT mulakan dengan sesuatu yang memujuk para sahabat untuk melakukan ibadah puasa itu yang boleh menyentuh perasaan dan pemikiran orang-orang yang beriman. Supaya mereka tidak melihat puasa atas dasar keterpaksaan, tetapi agar mereka memandang dengan penuh kepercayaan bahawa terdapat kebaikan dalam perintah berpuasa ini.  

Maka, pujukan awal di dalam ayat 183 itu menjadi teras pemikiran proaktif para sahabat. Ayat ini jika diteliti, bukan semata-mata terdapat pada ayat perintah berpuasa, bahkan terdapat pada kebanyakkan syariat Allah SWT yang diturunkan kepada Rasulullah SAW ketika di Madinah.

Ayat tersebut tidak terus datang dengan perintah berpuasa sebaliknya dimulakan dengan ajakan dan pujukan yang menjentik perasaan para sahabat. Allah SWT datangkan perintah berpuasa dengan ajakan kepada orang-orang yang beriman dan ini membuktikan puasa ini ada kaitan dengan tahap kepercayaan para sahabat pada ketika itu. Kepercayaan para sahabat yang telah bertapak selama 15 tahun. 13 tahun ketika di Makkah dan 2 tahun ketika di Madinah baru diperintahkan berpuasa oleh Allah SWT.

Kenapa Allah SWT tidak memerintahkan puasa pada saat Baginda Nabi SAW, isteri Baginda dan para sahabat ketiadaan bekalan makanan, tetapi sebaliknya Allah SWT perintahkan puasa pada waktu makanan ada di depan mata. Ini membuktikan puasa yang sebenar bukan ketika tiada makan dan minum. Bahkan puasa yang sebenar adalah ketika ada makanan dan minuman di hadapan kita lalu kita memilih untuk tidak menjamahnya kerana kepercayaan kita kepada Allah SWT.

Apabila kita memilih untuk berubah dan taat kepada perintah Allah SWT, walaupun tiada siapa yang memerhatikannya. Niat kita yang ikhlas berubah tanpa orang lain dan kita berpuasa bukan demi orang lain serta kita memilihnya sendiri kerana niat untuk menjadi baik. Maka, kita akan berubah hasil daripada ketulenan kita berubah bukan kerana manusia tetapi kerana Allah SWT.

Imam Fakhrurrazi ketika mentafsirkan permulaan ayat perintah berpuasa itu dengan menggambarkan betapa indahnya pujuk rayu Allah SWT. Beliau membawakan satu ayat seolah olah Allah SWT berkata ‘Wahai orang-orang yang telah beriman begitu lama, yang iman itu telah menghasilkan kasih cinta kepada-Ku, sekarang datang kepada kamu satu hukum lain dan kamu pasti percaya perintah ini istimewa hanya untuk kamu dan tidak kepada orang lain. Dan kamu pasti percaya perintah ini pasti ada kebaikan’.

Selain itu, kita juga perlu sentiasa ada matlamat apabila melangkah ke Ramadan demi berubah ke arah kebaikan. Matlamat yang jelas telah digariskan oleh Allah SWT apabila kita berpuasa agar kita menjadi hamba yang bertaqwa. Itu adalah matlamat paling utama berbanding matlamat keduniaan yang mungkin kebanyakan daripada kita telah susun.

Sesorang yang mahu berubah perlu programkan dirinya untuk melakukan sesuatu itu dengan konsisten. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya “Amalan yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi terhenti”.

Sekiranya pelbagai langkah demi perubahan telah kita lakukan, namun tidak berhasil untuk berubah. Maka, saat ini mengadulah kepada Allah SWT betapa kita lemah dalam melakukan perubahan ke arah kebaikan.

Akhirnya, semoga sebulan Ramadan ini benar-benar dapat mendidik dan jadi medan tarbiah yang terbaik buat kita hamba Allah SWT untuk berubah menjadi hamba yang lebih baik. Sentiasa juga tanamkan dalam diri agar Ramadan menjadi permulaan terbaik dalam melakukan perkara-perkara yang baik dan berdoa agar semangat Ramadan dapat berterusan sehingga ke akhir hayat kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 Jun 2016
Scroll to Top