Ramadan Menanti Dengan Penuh Keberkatan

RAMADAN merupakan kurniaan daripada Allah SWT. Sebagai hamba, kita wajib mensyukuri nikmat usia yang diberikan sehingga kita dapat bersama –sama meraih ganjaran yang berlipat kali ganda setiap kali munculnya Ramadan. Bahkan Baginda Rasulullah SAW sudah bersiap sedia menanti kehadiran Ramadan yang penuh dengan keberkatan, dua bulan lebih awal. Sepertimana menerusi doa yang Baginda ajarkan buat kita “Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban serta sampaikanlah kami ke Bulan Ramadan.” Baginda Nabi SAW tururt bersabda “Ramadan itu menghapuskan dosa. Andai sahaja kalian tahu, apa yang Allah SWT kurniakan pada bulan Ramadan, maka kalian akan beraharap agar setiap bulan adalah Ramadan.”

Menerusi segmen Topik Jumaat yang bersiaran di IKIMfm, Ustazah Halimah Al-Aydrus berkongsi mengenai persiapan kita sebagai hamba dalam menuju ke gerbang Ramadan. Ustazah berpesan agar kita lakukan yang terbaik setiap kali munculnya Ramadan kerana belum tentu kita dapat bertemu dengan Ramadan berikutnya. Segala kurniaan yang diberikan oleh Allah SWT ketika bulan Ramadan akan turun ke dalam hati kita. Maka Allah SWT akan mencari hati-hati yang layak untuk diturunkan segala keampunan Allah SWT. Jadinya, sebelum melangkah masuk ke bulan Ramadan, kita harus persiapkan hati dan jiwa kita. Rasulullah SAW bersabda “apabila datang malam pertama di bulan Ramadan, Allah SWT akan pandang hamba-hamba-Nya dengan pandangan penuh kasih sayang.”

Janganlah kita tergolong di kalangan mereka yang jauh daripada rahmat dan kasih sayang Allah SWT tatkala tibanya bulan Ramadan. Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai empat golongan yang terhalang daripada mendapat rahmat Allah SWT ketika bulan Ramadan. Pertamanya, golongan yang meminum minuman keras. Kedua, anak yang derhaka kepada kedua ibu bapa. Untuk itu, bagi anak-anak, dapatkan redha dan restu kedua ibu bapa serta keampunan mereka agar Ramadan yang kita lalui tidaklah sia-sia kerana keredahaan Allah untuk apa yang kita lakukan pada bulan Ramadan sangat bergantung dengan keredhaan kedua ibu bapa. Bagi ibu bapa, didiklah hati untuk mudah memafkan kesalahan anak-anak serta redha dengan mereka. Rasulullah SAW pernah bersabda “semoga Allah beri rahmat, seseorang yang memudahkan anaknya untuk berbakti kepada dirinya.”

Golongan ketiga yang jauh daripada rahmat Alah SWT ketika Ramadan, orang yang memutuskan hubungan silaturrrahim dengan saudaranya. Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya hubungan silaturrahim itu bergantung di bawah ‘Arasy.” Lantas Baginda menyambung “Ya Allah, sambungkanlah diri-Mu dengan orang yang menyambungkan hubungannya denganku dan putuskanlah hubungan-Mu Ya Allah, dengan orang yang memutuskan hubungan denganku.” Golongan yang terakhir ialah orang yang di hatinya terdapat dendam, permusuhan dan kebencian terhadap orang lain. Orang yang belum lagi kita maafkan kesalahannya bisa menjadi penghalang daripada kebaikan-kebaikan yang kita lakukan. Jika kita tinggalkan keempat-empat perkara ini, maka mudah untuk kita mendapat pandangan rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT tatkala tiba bulan Ramadan.

Bulan Ramadan adalah bulan suci. Kesucian daripada bulan Ramadan ketika ia dapat mensucikan kita daripada pebuatan dosa yang telah kita lakukan. Rasulullah SAW bersabda “Dari Ramadan kepada Ramadan (sekiranya bagus Ramadannya), mampu menjadi penghapus dosa di antara dua Ramadan tersebut.’ Jadikan Ramadan kita terisi dengan perkara-perkara yang diredhai oleh Allah SWT. Berpuasa pada siangnya dengan penuh kseungguhan. Menunaikan solat terawih dan ibadah malam serta perbanyakkan membaca al-Quran. Ustazah turut berpesan agar kita dapat banyakkan bersedekah. Maka, sedekah yang paling baik di bulan Ramadan adalah memberi makan orang yang berpuasa. Rasulullah SAW bersabda “sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa ketika berbuka, maka dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa tersebut, tidak berkurang sedikitpun pahalanya.” Semoga apa juga amalan kita yang kita laksanakan ketika bulan Ramadan akan diganjari oleh Allah SWT dan semoga kita beroleh kataqwaan di peghujung Ramadan kita nanti. Jadikan Ramadan kali ini Ramadan yang terbaik dalam kehidupan kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 Mei 2018

 

Kongsi artikel ini di:

Haji Faiz Hj. Othman

Merupakan penyampai di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Kini aktif dengan kerja-kerja berkaitan Sosial Media untuk IKIMfm.