Ramadan & Kematian

ADA kalanya pada bulan Ramadan ini, datang  perasaan kerinduan kepada para arwah yang telah lama pergi meninggalkan kita. Kerinduan inilah menyebabkan kita teringatkan indahnya saat mereka bersama dengan kita dahulu. Apa yang diharapkan agar kita dapat dipertemukan semula dengan insan-insan tersayang ini di syurga Illiyeen nanti. Allah tidak pernah menjadikan Ramadan dengan sia-sia, malah ia bertujuan untuk memberi peringatan kepada umat manusia supaya tidak berada di dalam kerugian dan sentiasa berada di jalan yang lurus di dalam kehidupan ini, kerana realitinya manusia sentiasa hidup di dalam keadaan hanyut dalam kealpaan.

Melalui slot Mau’izati bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani yang ke udara di IKIMfm pada setiap Khamis, jam 5.15 petang, beliau berkongsi firman Allah di dalam Surah al-Nisa, ayat 97: “Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas dibumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” Di antara orang yang menzalimi diri sendiri ialah mereka yang tidak mengambil manfaat apabila tibanya bulan Ramadan, orang yang memiliki al-Quran tetapi tidak membacanya, memiliki kain hijab tetapi tidak menutup auratnya dan juga mereka yang tinggal berhampiran masjid tetapi tidak pernah mengunjunginya untuk beribadat kepada Allah.  

Istimewanya bulan Ramadan kepada umat manusia kerana pada bulan itu telah disusun program tertentu oleh Allah agar kita sentiasa mengingati kematian dan bersedia untuk menghadapinya. Bersahur misalnya, manusia akan bangun untuk makan sebelum masuknya waktu subuh. Pada hakikatnya ia merancang agar manusia celik terhadap perjalanan saat kematian yang mengejut. Disunatkan bersahur hampir dengan waktu subuh, dan ada kalanya apabila sedang makan, kita terpaksa berhenti dengan tiba-tiba tanpa sempat minum atau menghabiskan makanan kerana telah berkumandangnya azan subuh. Cuba bayangkan kiranya kita sedang menikmati kehidupan ini, tiba-tiba dikunjungi malaikat maut tanpa sempat kita berbuat apa-apa. Di dalam hidup manusia juga ada waktu imsak dan sebenarnya di dalam usia 40 tahun kita sudah melewati batas-batas waktu imsak ini. Rasulullah SAW sentiasa memberi peringatan kepada manusia agar tidak lagi mengejar kesenangan dunia apabila usia mencecah 40 tahun, sedangkan kita sendiri tidak dapat merasai sepenuhnya nikmat kemewahan yang dimiliki pada usia selewat ini. Baginda juga menasihati agar manusia berubah pada usia ini dengan memulakan perjalanan hidup untuk memberi lebih tumpuan kepada akhirat Allah.

Allah SWT menyeru agar umat manusia tidak lagi leka pada bulan Ramadan kerana hanya amalan yang akan dibawa sebagai bekalan untuk kembali menghadap-Nya. Ambil peluang keemasan di dalam bulan yang penuh kemuliaan ini untuk membaiki perjalanan hidup agar ia berada lurus menuju syurga Allah. Namun dibimbangi apabila berakhirnya Ramadan, manusia tidak lagi berada di landasan yang sepatutnya bagi insan yang bergelar mukmin kerana jalan menuju ketaatan tidak semudah jalan ke arah kemaksiatan. Selain mendidik manusia agar sentiasa sabar dengan segala ujian, Allah juga menurunkan al-Quran pada bulan Ramadan agar ia dapat memandu manusia ke arah jalan yang lurus dan benar.  

Pada waktu hampir berbuka puasa, kita digalakkan untuk mengumpulkan ahli keluarga dan bersama-sama mendoakan arwah-arwah keluarga yang telah kembali menghadap Allah. Sesungguhnya orang yang berpuasa itu di antara saat yang menggembirakan di dalam hidupnya ialah ketika berbuka puasa dan berdoalah pada ketika itu. Bayangkan saat kematian kita nanti bersendirian dan merindui mereka yang masih hidup di dunia, sedangkan mereka tidak tahu apakah yang harus dilakukan kepada kita yang sudah berada di alam barzakh, dan saat kita kebingungan berjalan bersendirian ketika berada di padang Mahsyar nanti. Sentiasalah berdoa agar kita dapat mengharungi saat-saat itu dengan keberkatan pada bulan Ramadan ini dan dilimpahi rahmat oleh Allah SWT.

Perlunya manusia kepada rahmat Allah SWT, kerana tanpa belas kasihan dan kasih sayang-Nya sudah tentunya kehidupan berakhir di dalam neraka dengan bekalan amalan yang tidak seberapa. Oleh itu sentiasalah berdoa agar kita dan keluarga sentiasa berada di dalam rahmat-Nya. Allah juga menjadikan Ramadan agar kita sentiasa berfikir tentang kematian terutamanya pada sepuluh malam terakhir dan beriktikaf di masjid pada waktu itu. Ia juga memberi ruang untuk bermuhasabah dan menginsafi segala dosa di sepanjang kehidupan kita. Berdoalah, mudah-mudahan Allah memberikan kebaikan yang berterusan kepada kita di dalam kesempatan melalui Ramadan pada tahun ini.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 30 Jun 2016
Scroll to Top