Raja Salman, Trump bincang proses damai Timur Tengah

RIYADH, 3 April – ARAB SAUDI. Raja Salman Abdulaziz Al Saud berkata komuniti antarabangsa perlu menggerakkan proses damai di Timur Tengah, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Agensi Akhbar Saudi (SPA) pada Selasa.

Pemerintah Arab Saudi itu mengeluarkan kenyataan tersebut dalam satu perbualan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berhubung perkembangan serantau pada malam Isnin.

Semasa perbincangan itu, baginda mengesahkan pendirian teguh kerajaan Arab Saudi berhubung isu perjuangan Palestin dan hak-hak sah penduduknya.

Perbualan itu berlangsung ketika ketegangan yang semakin meningkat antara Israel dan Palestin susulan pertempuran berdarah berhampiran kawasan Israel yang bersempadan dengan Gaza, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 15 penunjuk perasaan Palestin terbunuh manakala 1,200 lagi cedera.

Raja Salman turut melahirkan penghargaannya terhadap kenyataan Rumah Putih baru-baru ini berkaitan pendirian negara itu terhadap militia Houthi yang disokong Iran di Yaman.

Baginda berikrar untuk mencari penyelesaian politik dalam krisis di Yaman dan menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat negara itu.

Militia Houthi telah meningkatkan serangan ke atas sasaran di Arab Saudi dengan melancarkan peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap serangan udara di Yaman oleh gabungan tentera pimpinan Arab Saudi.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my