Rahmat Menjaga Orang Sakit

Allah SWT memberikan ujian sakit kepada setiap manusia sama ada sakit yang ringan ataupun yang berat dan sakit fizikal atau sakit emosi. Sekiranya sakit menimpa ahli keluarga kita, maka amatlah penting untuk kita mengetahui cara menjaga atau mengurus orang yang sakit ini. Anak-anak yang diuji dengan sakit amat mudah bagi ibu bapa untuk menyentuh hati dan perasaan mereka.

Sakit berperanan sebagai peluang kepada orang yang terdekat untuk lebih mudah mendekati atau menyentuh perasaan dan hati mereka yang sakit. Ustazah Norhafizah dalam rancangan Usrati jam 5.15 petang pada hari Khamis lalu di IKIMfm mengambil contoh seseorang yang ego atau sombong yang ditimpa sakit amat sukar untuk diberi nasihat atau teguran atas perbuatan yang dilakukan, namun ujian sakit ke atas mereka memberi peluang kepada orang yang terdekat untuk menegur perbuatannya dengan cara mendekati dan menyentuh emosi mereka semasa sedang sakit. Sikap kita menyantuni orang yang sakit dengan kasih dan sayang akan meleburkan keegoannya dan membuatkan hatinya tersentuh serta mudah untuk menerima nasihat yang diberikan.

Apabila anak-anak jatuh sakit, ibu bapa yang bekerja tidak mempunyai masa untuk sentiasa bersama dengan anak-anak membelai dan menyantuni mereka. Seringkali alasan yang diberikan adalah sibuk di tempat kerja dan tidak mempunyai masa untuk sentiasa bersama dengan anak-anak. Secara psikologi, mereka yang sakit sentiasa mahukan belaian dan kasih sayang daripada orang yang dikasihi mereka. Anak-anak yang mendapat belaian manja daripada ibu bapa mereka sudah pasti tidak akan melupakan saat tersebut kerana ia merupakan saat yang amat berharga buat mereka. Pepatah Melayu menyebut “Kawan semasa ketawa ramai, kawan semasa susah sedikit.” Dan mereka yang sedikit inilah yang akan diingati sampai bila-bila.

Mereka yang dipilih oleh Allah SWT untuk menjaga orang yang sakit adalah satu rahmat yang besar. Dalam satu hadith menceritakan tentang orang yang menziarahi orang sakit didoakan oleh malaikat, apatah lagi mereka yang menjaga orang yang sakit akan mendapat pahala dan ganjaran yang sangat besar di sisi Allah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, Tiada seorang pun yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke petang. Sekiranya dia menziarahi saudaranya pada waktu petang, maka 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah sehingga ke pagi. [Hadith Riwayat At-Tirmizi]

Orang yang sakit amat memerlukan terapi kerohanian dan untuk menjadi orang yang berjaya menjaga dan mengurus orang sakit, kita perlu ada nilai ehsan dalam diri kita supaya kita dapat meletakkan diri kita pada kedudukan orang mereka yang sakit. Dengan adanya nilai ehsan dalam diri mengajar kita untuk menjaga adab-adab terhadap orang yang sakit. Ustazah Norhafizah Musa mengajak para pendengar bermuhasabah menjaga adab apabila menziarahi orang sakit dengan tidak mengambil gambar mereka dalam keadaan tidak terurus dan menyebar atau meletakkan di laman sosial tanpa pengetahuan mereka. Sebaik-baiknya meminta kebenaran terlebih dahulu untuk mengambil gambar mereka dan paling penting menghormati kehendak orang yang sakit. Dengan adanya nilai ehsan dalam diri, perkara tidak beradab tidak akan berlaku terhadap pesakit, malah dapat memelihara serta menguatkan lagi akidah tauhid pesakit.

Ujian sakit yang Allah berikan adalah untuk menyucikan dosa serta mengangkat darjat seseorang dan sekaligus menjanjikan ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Oleh sebab itu orang menjaga ataupun yang datang menziarah orang sakit perlu memberikan kata-kata yang boleh merangsang pesakit untuk sentiasa bersangka baik terhadap Allah SWT. Orang yang sedang sakit amat mudah disentuh emosi mereka dan sebagai orang yang terdekat, perlu memainkan peranan supaya pesakit tidak merasakan diri sebagai bebanan dan akhirnya tidak redha dengan ujian yang Allah berikan kepada mereka.  Amatlah rugi sekiranya dengan menjaga orang yang sakit, tidak menjadikan pesakit bersangka baik dan redha terhadap Allah SWT, malah menjadikan mereka lebih kecewa dan pasrah. Ini adalah satu kekurangan, kelemahan dan kegagalan dalam menjaga serta mengurus orang yang sakit.

Orang yang menjaga orang sakit juga perlu ada sifat menenangkan kepada pesakit. Bercakap dengan nada yang menenangkan dan sekali-kali tidak meninggikan suara sehingga menyebabkan orang yang sakit merasa diri adalah beban kepada yang menjaganya. Ketenangan adalah perkara yang didambakan oleh pesakit, apatah lagi mereka yang telah lama sakit dan terlantar tidak dapat bergerak. Suasana yang tenang dan damai memberikan ketenangan dalam jiwa pesakit dan sedikit sebanyak menolong pesakit untuk sembuh dengan lebih cepat.

Dosa orang yang sedang sakit diampunkan oleh Allah SWT dan dengan ketenangan dapat menolong mereka untuk redha terhadap ujian sakit ini. Apabila salah seorang ahli keluarga diuji sakit, mereka yang akan menjaga dan mengurus juga sedang diuji oleh Allah SWT. Berikan ketenangan dan kesabaran kepada pesakit, berikan kekuatan kepada mereka untuk redha dengan ujian Allah dan ingatlah tentang nikmat-nikmat yang telah Allah berikan supaya mereka bersyukur dengan ujian sakit yang sedikit Allah berikan kepada mereka.

Orang yang menjaga pesakit juga perlu sabar dan berlapang dada dengan kerenah mereka. Amat penting untuk mengetahui tentang peribadi pesakit sama ada seorang yang ego, pemarah, pendengus atau sebagainya. Dengan ini orang yang menjaga mengetahui apakah bentuk nasihat, teguran atau cara mengurus  yang boleh diberikan kepada pesakit dan sekaligus dapat menjangka tindakbalas pesakit apabila diberi teguran, nasihat ataupun cara mengurus yang tidak bertepatan. Jadikanlah pesakit itu sebagai peluang untuk menyampaikan dakwah dan jangan mudah berputus asa dengan kerenah atau sikap yang ditunjukkan oleh mereka yang sedang sakit.

Setiap ujian sakit daripada Allah adalah untuk memberikan keampunan terhadap dosa yang telah dilakukan dan mengembalikan hamba kepada Pencipta, iaitu kembali ke jalan yang benar. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 156 yang bermaksud, (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali.”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 6 Februari 2015
Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top