Ragam Manusia di Hari Kiamat

SAHL BIN SAAD menceritakan Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Akan dikumpulkan manusia di Padang Mahsyar pada hari Kiamat nanti di atas bumi yang putih, seperti kamu berada di atas  kepingan roti yang dalam keadaan kosong, masing-masing tidak mengenali di antara satu sama lain.” Manakala di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Bakar Ahmad bin Ali bin Khatir daripada Abdullah bin Masud menceritakan, manusia dikumpulkan pada hari Kiamat dalam keadaan  lapar yang tidak pernah dialami sepanjang hidupnya dahulu, merasa haus yang tidak pernah dirasainya semasa hidupnya, dalam keadaan telanjang yang tidak pernah dilalui sebelum berada di Padang Mahsyar. Dalam keadaan keletihan  yang belum pernah dirasai sebelum ini dan pada saat itu manusia benar-benar berada di dalam keadaan pelbagai ragam.

Rasulullah berpesan kepada mereka yang pernah memberi makan kepada orang lain ketika hidupnya dahulu dan hanya mengharapkan keredaan Allah, maka Allah SWT  akan memberinya makan pada waktu itu.  Begitu juga kepada mereka yang memberi minum kepada orang lain hanya kerana Allah, dia akan diberi minum oleh Allah di Padang Mahsyar nanti. Mereka yang pernah memberi pakaian kepada orang lain dengan mengharapkan hanya keredaan Allah tanpa mengharapkan penghargaan daripada manusia, maka Allah akan memberikannya pakaian pada ketika itu. Segala amal kebaikan yang dilakukan ketika didunia juga hanya kerana Allah, mereka akan di menerima bantuan daripada Allah dan mereka yang membantu agama Allah, mereka akan dikurniakan ketenteraman dan ketenangan ketika menghadapi saat kacau-bilaunya keadaan manusia di Padang Mahsyar nanti.

Bagi Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati yang ke udara pada setiap Khamis, jam 5.15 petang di IKIMfm, ini adalah kelebihan bagi manusia yang mencorakkan ragamnya  sejak di dunia lagi supaya berada di dalam keadaan yang selamat ketika menghadapi pelbagai ragam di Padang Mahsyar kelak. Rasulullah juga pernah menyebut kepada Ibnu Mas’ud, diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal, katanya: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, apa yang dimaksudkan Allah pada hari ditiup sangkakala manusia itu datang di dalam keadaan berbondong-bondong.” Baginda menjawab, “Wahai Muaz bin Jabal, apabila kamu bertanya soalan ini, aku rasa besarnya nilai soalan ini.” Kemudian Rasulullah SAW mengalirkan airmata dan berkata, “Umatku dikumpulkan di Padang Mahsyar nanti di dalam keadaan sepuluh kumpulan. Allah akan membezakan kumpulan orang Islam dan menggantikan wajah mereka berwarna putih, cantik dan indah. Ada juga di kalangan manusia yang berubah wajahnya seperti kera dan babi. Ada yang kakinya di atas dan berjalan dengan mukanya di bawah, ada yang menjadi buta dan berjalan tanpa arah dan tujuan. Ada yang menjadi tuli dan bisu dan seolah-olah hilang akal, manakala ada juga di kalangan mereka yang mengigit lidahnya sendiri yang panjang menjulur sehingga ke paras dadanya sehingga mengalir sesuatu yang busuk daripada mulut mereka hingga menjadikan penduduk di Padang Mahsyar pada ketika itu jijik melihatnya.  Ada juga manusia yang memotong tangan dan kaki mereka, ada yang dipalangkan diri mereka ditengah-tengah neraka. Selain itu ada juga kalangan manusia yang berbau lebih busuk daripada bangkai bagaikan memakai pakaian yang diperbuat daripada api.”

Manusia yang ditukarkan Allah menjadi wajah kera, kerana ketika mereka hidup di dunia dahulu sering menyebarkan fitnah dan memecah-belahkan manusia manakala manusia ditukarkan menjadi babi adalah mereka yang bakhil dan memakan harta yang haram. Manusia yang berjalan dengan kakinya di atas dan muka kebawah adalah orang yang dahulunya memakan riba, manakala mereka yang buta ketika di Padang Mahsyar kerana semasa hidupnya di dunia sesuka hati mempermainkan hukum-hakam agama. Manusia yang ditukar menjadi buta kerana ketika hidup dahulu tidak menghiraukan soal halal dan haram dan mereka yang menjadi tuli dan bisu disebabkan oleh rasa kagum kepada dirinya sendiri atau ujub.

Manusia yang mengigit lidahnya yang menjulur di Padang Mahsyar pula adalah para ulama yang jahat dan tidak mengamalkan apa yang diajarnya ketika hidup di dunia dahulu serta hanya mementingkan dirinya sendiri. Seterusnya kalangan manusia yang memotong tangan dan kakinya sendiri kerana melakukan kejahatan kepada jiran tetangganya. Manakala mereka yang dipalangkan di tengah-tengah api neraka terdiri daripada manusia ketika hidupnya di dunia sering memfitnah dan mengkhianati orang lain, dan mereka berbau busuk di Padang Mahsyar nanti kerana ketika dahulu sering mengikut hawa nafsu tanpa mempedulikan soal halal dan haram. Kalangan manusia yang memakai pakaian daripada api adalah mereka yang sombong, sentiasa berbangga diri dan angkuh dengan ilmu, harta dan kecantikan diri ketika hidupnya.

Ketika di Padang Mahsyar nanti ada di kalangan manusia yang berada di bawah lindungan Allah SWT yang terdiri daripada para pemimpin adil yang berpegang kepada al-Quran dan hadis, pemuda yang hidup sering beribadah kepada Allah, seseorang yang hatinya sentiasa terikat kepada masjid, seseorang yang menjalinkan silaturrahim kerana Allah, pemuda yang digoda oleh wanita untuk melakukan maksiat tetapi menolaknya dengan sebaliknya berkata bahawa sesungguhnya dia takut kepada Allah. Seterusnya mereka yang mendapat perlindungan Allah ialah mereka yang berinfaq dengan ikhlas dan seorang yang bersendirian sambil menyebut nama Allah sehingga mengalir air matanya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 4 Ogos 2016
Scroll to Top