Program Ramalan dan Amaran Banjir dijangka siap 2022

AMPANG, 27 Mac 2018 – Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) dijangka memerlukan peruntukan tambahan susulan peningkatan beberapa kawasan yang kerap mengalami banjir kilat.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pihaknya mengarahkan dua agensi berkaitan untuk menjalankan kajian semula mengenai taburan hujan di seluruh negara.

Katanya, kajian kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) itu perlu dilaksana bagi mengelak banjir kilat di luar jangka melanda beberapa kawasan.

“Berapa kos tambahan belum dapat dipastikan, namun saya tidak menolak akan wujud peningkatan jumlah lembangan sungai yang terbabit dalam pengesanan banjir menerusi PRAB.

“Kita hanya mungkin dapat perincikan kos tambahan selepas kajian JPS dan NAHRIM mengenai taburan hujan dijangka siap April ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Hamim Samuri; Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Azizan Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim serta Ketua Pengarah JPS, Datuk Dr Nasir Md Noh.

PRAB yang mula dirintis pada 2014, susulan ‘bah kuning’ di Kelantan sehingga mengorbankan 25 nyawa dilaksana menerusi tiga fasa dan 40 lembangan sungai di seluruh negara.

Projek yang berupaya meramal banjir di 70 peratus kawasan di seluruh negara apabila siap sepenuhnya menjelang 2022 membabitkan anggaran peruntukan awal RM550 juta.

Mengulas mengenai kajian JPS dan NAHRIM, Wan Junaidi berkata, ia merangkumi data taburan hujan di seluruh negara dari 2013 hingga 2017.

Katanya, ia bertujuan mengenal pasti kawasan baharu di seluruh negara yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir kilat.

“Saya ingin perbetulkan tanggapan segelintir pihak bahawa PRAB adalah sistem jumud hanya kerana kita tidak menggunakan data taburan hujan terkini.

“Ia masih berkesan dengan ketepatan 90 peratus untuk mengemukakan ramalan awal, iaitu tujuh hari sebelum mana-mana kawasan mengalami banjir.

“Cuma, saya minta buat kajian baharu supaya tiada kawasan yang terlepas daripada pengesanan sistem ini,” katanya.

INFO
Sistem ramalan banjir sedia ada

  • Persediaan ramalan banjir, 0.5 hingga 1 hari sebelum banjir
  • Penyebaran amaran banjir, 6 jam sebelum
  • Kawasan ramalan terhad
  • Stesen hidrologi, 202

Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB)

  • Tempoh pembangunan, 2015-2022
  • Fasa 1 (2015-2017), 3 lembangan sungai
  • Sungai Pahang, Sungai Terengganu dan Sungai Kelantan
  • Fasa 2 (2018-2020), 29 lembangan sungai
  • Fasa 3 (2021-2022), 8 lembangan sungai
  • 3 fasa, anggaran kos RM550 juta.
  • 40 lembangan sungai
  • Ramalan banjir, 7 hari sebelum
  • Amaran banjir, 2 hari sebelum
  • Ketepatan ramalan aras banjir dikurangkan daripada lebih 1 meter, kepada 0.5 meter
  • Ramalan kawasan diperluaskan
  • Stesen hidrologi, 357

Sumber BERITA HARIAN

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my