“Program Kasih Syawal 1438H” anjuran IKIMfm dan IAM mendekati masyarakat pedalaman

TUMPAT, 22 Julai – Jika sebelum ini program’ Imarah Ramadhan’ telah  dilaksanakan dan berjaya mencapai sasarannya, namun bagi memberi keceriaan kepada golongan yang kurang berkemampuan, program ‘Kasih Syawal’ telah diperkenalkan bagi meneruskan misi kemanusiaan untuk membantu masyarakat terpinggir di musim perayaan. Lanjutan daripada itu,  Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm)  dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) telah menganjurkan program ’Kasih Syawal 1438H’ bertempat di Kampung Pantai Suri, Tumpat, Kelantan. Program istimewa ini juga, turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada pihak Etiqa Takaful Berhad.

Melalui program ini, seramai 250 buah keluarga yang melibatkan penduduk di sekitar kawasan Tumpat telah diraikan dengan jamuan Aidilfitri dan sumbangan barangan.  Program ini bertujuan untuk meringankan beban kesusahan yang mereka hadapi dan juga berkongsi keceriaan di bulan Syawal. Setiap penerima manfaat yang majoritinya golongan Nelayan telah menerima sumbangan berupa Pek Makanan yang mengandungi barangan keperluan makanan harian seperti beras, gula, susu, minyak masak, sardin, biskut dan lain-lain lagi  serta sumbangan wang tunai bernilai RM50 untuk setiap seorang. Penerima sumbangan ini terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal miskin, warga emas miskin dan juga golongan orang kurang upaya(OKU) miskin yang telah dikenalpasti layak menerima bantuan.

Sumbangan telah disampaikan oleh Pengurus Cawangan, Etiqa Takaful Berhad, YBhg. En. Sham Suhaimi Bin Mohamad. Turut hadir menyaksikan penyerahan tersebut ialah En. Zawahir Abdullah, Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM) dan Pengarah Pusat Media,Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr.Nik Roskiman bin Abdul  Samad.

Program Kasih Syawal 1438H ini merupakan lanjutan daripada program ‘Imarah Ramadan 1438H’ yang lalu bagi menyatuni golongan yang kurang berkemampuan. Melalui program ini seramai lebih 5,000 orang telah mendapat manfaat daripada program tersebut. Antara lokasi lain yang telah dikunjungi bagi menjayakan kedua-dua program tersebut adalah Kg Jeneri,Sik di Kedah, Kg. Seberang Perak di Teluk Intan Perak, Kg.Pok di Gelang Patah Johor dan juga Kg.Rengalau Baru di Kiulu Sabah. Selain itu, program ini juga turut memberi manfaat kepada komuniti Rohingya di  Maahad Al Islahiyah Islamiyah Maahtahfizul Quran,Meru, Klang, Selangor serta pelajar-pelajar tahfiz Madrasah NADI di Kg.Lanai Baling Kedah.

Kenyataan oleh Dr. Nik Roskiman bin Abdul Samad,  Pengarah Pusat Media, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

‘Kami di IKIMfm amat berbesar hati dapat bersama-sama dengan Islamic Aid Malaysia dalam menjayakan misi kemanusiaan dengan berkunjung ke beberapa lokasi bagi menghulurkan sumbangan. Alhamdulilah untuk tahun ini, program ‘Kasih Syawal 1438H’ telah capai sasarannya.

’Ini merupakan salah satu daripada  program komuniti IKIMfm dalam mendekati masyarakat dan rakan pendengar dalam melaksanakan tanggungjawab sosial (CSR). Program ini merupakan platform terbaik bagi  penyampai IKIMfm untuk sama-sama turun padang bagi beramah mesra dengan penduduk kampung yang kurang berkemampuan dan juga pendengar IKIMfm yang menyertainya.’

Radio IKIMfm berharap dengan adanya kerjasama kemanusiaan ini, maka ia akan dapat memberi peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan untuk mendapat perhatian yang sewajarnya selain memartabatkan IKIM.FM sebagai sebuah badan korporat yang prihatin dan peka terhadap tanggungjawab sosial melalui aktiviti kemasyarakatan serta kerja-kerja kemanusiaan dan kebajikan. Ucapan terima kasih juga dirakamkan buat pendengar-pendengar IKIMfm kerana sudi menghulurkan sumbangan bagi menjayakan program ini.

Kenyataan oleh Islamic Aid Malaysia

Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM), Zawahir Abdullah berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada Radio IKIMfm yang memberi kepercayaan kepada kami dan juga prihatin terhadap usaha-usaha kemanusian yang telah dilaksanakan oleh Islamic Aid Malaysia (IAM).

‘Kami akan buat yang terbaik dalam menyalurkan bantuan tersebut dan hanya mereka yang benar-benar layak saja yang akan menerima manfaat daripada program ini tanpa mengira latar belakang politik mereka. Terima kasih kami ucapkan kepada Etiqa Takaful Berhad kerana telah memberi peluang kepada kami untuk mengagihkan sumbangan zakat tersebut. Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada Radio IKIMfm kerana sudi bekerjasama dalam mempromosikan program ini sebagai satu usaha tanggungjawab sosial media yang prihatin dalam usaha-usaha kemanusiaan khususnya di bulan Ramadan & Syawal ini”

“Selaku Nelayan disini, saya berasa amat terharu kerana ada pihak yang prihatin akan kesusahan kami. Syukur, alhamdulilah kerana sumbangan seumpama ini begitu bermakna kepada kami dikala kami menghadapi masalah kekurangan hasil tangkapan ikan dan pendapatan. Sedikit sebanyak sumbangan ini dapat meringankan beban kami”.

Mohd bin Dollah, 80 tahun

 

 

“Pertama kali dalam hidup saya dapat bantuan seumpama ini, jarang sekali nasib saya menjadi perhatian untuk menerima bantuan barangan keperluan asas beserta wang tunai,terima kasih diucapkan kepada pihak IAM, IKIMfm dan Etiqa Takaful”.

Mohd bin Draman, 74 tahun

 

 

“Jarang ada pihak yang prihatin akan kesusahan kami kerana kami berada dikawasan pedalaman. Untuk sampai ke kampung kami kena menaiki bot. Alhamdulilah  Syukur sangat dengan sumbangan ini. Dapatlah juga meringankan beban kami disini. Terima kasih kami ucapkan”.

Siti Rokiah Mohd, 54 tahun

 

 

“Rezeki kami hari ini, lagipun barangan dapur banyak dah habis, maklumlah di penghukung Syawal. Sumbangan ini amat bermakna buat saya sekeluarga. Saya ucapkan terima kepada pihak Radio IKIMfm, IAM dan Etiqa Takaful kerana memilih kawasan kami sebagai lokasi untuk menerima sumbangan ini”.

Fatimah bt Mamat, 63 tahun

 

 

 

Kongsi artikel ini di:

Farouq Zauji

Beliau merupakan Penyampai Sambilan di IKIMfm dan bertugas sepenuh masa bersama Islamic Aid Malaysia (IAM) dalam menjalankan aktiviti-aktiviti kemanusian dalam dan luar negeri.