PM tiba di Istanbul hadiri sidang kemuncak luar biasa OIC

ISTANBUL 13 DIS – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Istanbul pada Selasa malam untuk menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang akan diadakan pada hari Rabu.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Ataturk Istanbul pada jam 10.20 malam (waktu Malaysia 3.20 pagi, Rabu).

Najib diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketibaan perdana menteri disambut Duta Besar Malaysia ke Turki Datuk Abd Razak Abdul Wahab.

Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC itu diadakan atas permintaan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam kapasitinya selaku pengerusi Sidang Kemuncak Islam Ke-13, berikutan pengumuman Amerika Syarikat (AS) pada 6 Disember 2017, yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Sidang Kemuncak itu didahului mesyuarat pegawai kanan pada hari Selasa, diikuti mesyuarat majlis menteri-menteri luar pada keesokan harinya.

Persidangan itu juga akan mengkaji semula perkembangan dan membincangkan kesan berikutan pengumumam pentadbiran AS untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

Penglibatan Malaysia dalam sidang kemuncak itu mengukuhkan lagi komitmen dan sokongan tidak berbelah bagi kepada rakyat Palestin dalam perjuangan mereka mendapatkan hak mereka untuk sebuah negara Palestin merdeka, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

SUMBER – Bernama

Kongsi artikel ini di: