Pesawat MH6129 Bawa Pulang 20 Jenazah Tragedi MH17

KUALA LUMPUR : Pesawat MH6129 yang membawa 20 jenazah mangsa tragedi MH17 dari Amsterdam, Belanda, selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 9.54 pagi.

Penerbangan pesawat khas itu milik MAS dikendalikan olah tiga juruterbang, Datuk Kapten Misman Leham, Kapten Bakr Othman dan Kapten Zaim Khalid serta dibantu pegawai penerbangan, Yap Yoon Kong.

IMG_20140822_101131-1Orang ramai yang terdiri dari ahli keluarga, sahabat handai, rakan sekerja malah masyarakat umum tidak mahu melepaskan detik menyambut ketibaan 20 jenazah yang terkorban dalam nahas di timur Ukraine, menyaksikan peristiwa sedih apabila seluruh negara diisytiharkan berkabung hari ini.

Perhatian dunia tertumpu di Kompleks Bunga Raya KLIA, Sepang yang mana 20 keranda jenazah diturunkan dari pesawat khas berkenaan dengan penuh istiadat penghormatan.

Jalur Gemilang turut dikibar separuh tiang sebagai persediaan untuk bertafakur selama seminit bagi menghormati mangsa tragedi itu yang mengorbankan 298 orang termasuk 43 rakyat Malaysia pada 17 Julai.

Penantian memeritkan bagi 20 waris mangsa itu bakal berakhir dengan ketibaan jenazah, 37 hari selepas pesawat awam Boeing 777 ditembak jatuh yang mengejutkan seluruh dunia.

IMG_20140822_112533-1Ini kali pertama istiadat penghormatan tertinggi tentera diberi kepada orang awam pada majlis yang berlangsung di Kompleks Bunga Raya yang biasanya dikhaskan untuk ketibaan dan pelepasan raja dan permaisuri serta ketua kerajaan.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah serta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Kabinet dan Diplomat Asing adalah kenamaan yang hadir di kompleks yang terletak bersebelahan bangunan terminal utama KLIA.

Upacara istiadat penghormatan itu dilakukan oleh 300 anggota tentera daripada 12 Briged Infantri Malaysia serta Pasukan Polis Diraja Malaysia.

Ketika 20 van jenazah yang keluar dari kompleks Bunga Raya melewati orang awam yang berdiri sepanjang jalan sejak awal pagi lagi yang terdiri dari kalangan kakitangan MAS dan saudara mara mangsa, mereka tidak dapat menahan sebak dan sedih mengenangkan orang tersayang yang pergi buat selama-lamanya.

Kongsi artikel ini di:

Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Pengurus Program Radio. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 16 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my