Perlukah Dalil Untuk Mencintaimu

KELAHIRAN Nabi Muhammad SAW membawa rahmat dan barakah yang besar kepada alam ini sehinggakan terdapat syair-syair yang menggambarkan tentang kemuliaan dan kegembiraan menyambut kelahiran baginda Rasulullah SAW. Antara syair yang berkumandang tatkala kelahiran baginda di dunia ini yang dirakam oleh umat terdahulu adalah “bibir zaman ini mengukir senyuman menerima kelahiran seorang insan yang agung”.

Justeru Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir menerusi rancangan Tarbiah yang disiarkan di radio IKIMfm pada setiap Jumaat, 10.30 pagi menyebut, tidak ada perkara yang paling memberi rahmat dan keberkatan kepada alam maya ini selain menerima kelahiran insan agung Nabi Muhammad SAW. Oleh itu umat Islam yang berkumpul secara beramai-ramai dengan tujuan untuk memuji dan mengingati akan kelahiran baginda Rasulullah SAW tidak perlu dipertikaikan lagi, kerana perbuatan tersebut tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Waima menurut Ustaz Nazrul, sungguhpun terdapat sesetegah pihak yang melemparkan suara sinis mempertikaikan perbuatan mengingati kelahiran atau kedatangan insan agung ke dunia sebagai perbuatan bidaah atau seumpamanya, itu hanyalah pandangan dangkal dan cetek, kerana ajaran Islam itu sangat luas, cantik dan Islam itu sendiri menganjurkan kepada perkara-perkara yang membawa kebaikan.

Seorang mukmin yang ada iman di dada, ada kematangan dan kebaikan dalam dirinya tidak sesekali mempertikaikan perbuatan yang mengajak umat Islam untuk menyambut kelahiran Nabi SAW seperti sambutan maulid Nabi, bahkan tidak perlu pula sehinggakan membentangkan dalil-dalil tentang akan perkara itu, baharulah mahu melaksanakan perbuatan tersebut. Ini kerana bagi seseorang mukmin yang jiwa dan rohnya dekat dengan Rasulullah SAW, secara tidak langsung menghadirkan perasaannya untuk mengingati kelahiran baginda dengan melaksanakan amalan baik seperti berhimpun beramai-ramai dan berselawat kepada baginda Rasulullah.

Bagi memberi penjelasan lebih lanjut, Ustaz Nazrul membuat analogi bahawa seorang suami yang mencintai isterinya sekalipun tidak memerlukan sebarang dalil untuk menjelaskan perasaan cinta terhadap isterinya, kerana bagi seorang manusia yang mencintai manusia lain, perasaan cinta itu terbit dalam diri secara azali tanpa perlu dipaksa atau dicipta perasaan itu, kerana perasaan tersebut telah wujud dalam naluri hati sendiri

Dalam sebuah riwayat, dikisahkan tentang seorang lelaki dari Bani Israel yang membuat kejahatan sehingga kaum Bani Israel yang jahat itupun benci akan kejahatan lelaki ini. Apabila lelaki tersebut meninggal dunia jenazahnya tidak diuruskan, sebaliknya dilempar ke suatu tempat pembuangan sampah. Disebut pada suatu hari, Nabi Musa AS diberi wahyu oleh Allah SWT untuk menyempurnakan mayat lelaki tersebut. Nabi Musa dengan tangannya yang mulia menguruskan sendiri mayat lelaki tersebut. Selesai menguruskan mayat lelai itu, Nabi Musa berlalu ke rumah keluarga lelaki tersebut dan bertanya kepada isteri lelaki itu. “Apakah amalan yang dilakukan oleh lelaki ini sehingga mendapat fadhilat demikian?, iaitu mayatnya mendapat kemuliaan Allah SWT.

Lalu isteri lelaki itu menjawab “sebelum tidur, dia meletakkan kitab Taurat di sebelahnya dan membaca kitab Taurat tersebut. Dalam pembacaannya apabila tiba pada satu nama, maka dia berhenti dan mencium nama itu. Nama tersebut adalah Nabi Muhammad SAW”.

Lelaki tersebut mempunyai ikatan hati yang sangat kuat dengan Rasulullah SAW, malahan hatinya telah ditakluk dengan nama Nabi Muhammad SAW. Justeru, Allah SWT memberi kerahmatan kepada lelaki yang memiliki hati yang kuat terhadap baginda Rasulullah

Oleh itu, bagi seseorang mukmin yang mencintai Rasulullah, mempunyai kekuatan perasaan yang utuh dan kuat kepada baginda adalah satu perbuatan yang tidak ditolak oleh Allah SWT.  Ini kerana, mempunyai rasa cinta di dalam hati bukan sesuatu yang dipaksa, kerana ianya hadir secara semulajadi, dan mencintai Rasulullah akan mendapat kemuliaan dan kerahmatan dari Allah taala. Sungguhpun umat pada hari ini tidak berpeluang menatap wajah Nabi Rasulullah SAW, tetapi kerana perasaan cinta kepada baginda kecintaan itu tetap juga diterjemahkan dengan pelbagai cara asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Jika dilihat riwayat kehidupan Abu Lahab yang mempunyai peluang menatap serta hidup pada zaman Nabi SAW, tetapi kerana tiada iman di dada, Abu Lahab menolak ajaran Nabi Muhammad SAW. Walaupun demikian, dalam satu riwayat menceritakan bahawa pada waktu kelahiran Nabi Muhammad SAW, Abu Lahab sangat gembira dengan kehadiran Rasulullah SAW, sehinggakan dengan kegembiraan itu, Abu Lahab membebaskan hambanya bernama Suwaibah kerana terlalu kagum dan gembira atas lekahiran tersebut. Bukan itu sahaja, disebut juga bahawa Abu Lahab mengahwini anaknya dengan anak baginda Rasulullah.

Lantaran dari kasih terhadap baginda, disebut dalam sebuah hadis Riwayat Bukhari yang diceritakan oleh Ibn Abbas bahawa beliau bermimpi bertemu Abu Lahab dan bertanyakan tentang apakah yang telah Allah lakukan kepadanya di alam kubur. Lalu Abu Lahab menyatakan bahawa pada setiap Isnin, Allah SWT telah melepaskan dirinya dari seksa kubur dan Allah telah mengeluarkan air dari celah jarinya untuk diminum pada setiap hari tersebut. Ini adalah pemberian rahmat dan pembalasan Allah terhadap satu hari kegembiraan Abu Lahab menyambut  kelahiran Nabi SAW ke dunia ini.

Jika hari ini, umat Nabi Muhammad SAW gembira sepanjang waktu apabila mengingati baginda, apatah lagi pada hari kelahiran Nabi ke dunia ini, betapa besar rahmat dan kebaikan yang Allah kurniakan kepada hambaNya. Seseorang mukmin yang cintakan Nabi Muhammad menzahirkan perasaan kasih dan sayang dengan kebahagiaan dan kesyukuran mengenang kehadiran baginda ke dunia ini. Malahan seseorang mukmin juga dianjurkan untuk sembunyikan kegelisahan serta kesedihan atas kewafatan baginda yang jatuh pada hari yang sama dengan kelahiran nabi Muhammad SAW.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 31 Disember 2015
Kongsi artikel ini di:

Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Pengurus Program Radio. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 16 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my