Perliharalah Silaturahim

SILATURAHIM adalah amalan yang dianjurkan oleh Islam dan wajib dilaksanakan bagi orang beriman kerana banyak ayat-ayat al-Quran menjelaskan akan pentingnya memelihara silaturahim dan ukhwah sesama manusia. Bahkan memelihara silaturahim akan membuka pintu rahmat serta kasih sayang Allah SWT terhadap hambaNya dan menyuburkan hubungan sesama manusia.

Menerusi rancangan Islam itu Indah, Ustaz Firdaus Subhi menjelaskan, menjaga silaturahim sangat dituntut dalam Islam kerana menjaga hubungan sesama manusia secara tidak langsung dapat menjaga kemaslahatan ummah dan dalam masa yang sama membina nilai kebaikan dalam diri manusia.

Allah SWT menjelaskan perkara ini dalam al-Quran menerusi Surah an-Nisa ayat 36 yang bermaksud “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutuNya dengan suatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawatan, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.”

Allah SWT memperincikan akan tuntutan memelihara silaturarahim bukan hanya dengan golongan tertentu sahaja, tetapi juga dengan seluruh umat manusia secara amnya dan sesama mukmin secara khususnya. Ini kerana terdapat banyak kebaikan dan keberkatan bagi mereka yang sentiasa berusaha menjaga hubungan dan mengeratkan silaturahim sesama manusia.

Begitu indahnya ajaran agama Islam sentiasa memberi panduan kepada mukmin untuk berbuat baik sesama manusia kerana dari kebaikan itulah yang akan menatijahkan akhlak yang indah, budi pekerti yang mulia, amal ibadah yang terpuji kepada Allah SWT sebagaimana yang dituntut agama.

Ganjaran bagi mereka yang mengutamakan agama Allah sangat tinggi nilai kecintaan di sisiNya. Sebagaimana yang dinukilkan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Barang siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung tali silaturahim”. Hadis ini jelas menyebut akan kebaikan-kebaikan serta ganjaran bagi mukmin yang mengikuti seruan dan taat akan perintahNya. Malah, setiap mukmin sangat mendambakan rezeki yang murah serta usia yang panjang agar dengannya dapat menambah bekalan amal untuk dihitung di akhirat kelak.

Setiap manusia yang berusaha melaksanakan kebaikan tentunya akan berdepan dengan ujian yang bertujuan untuk mengukur nilai keikhlasan dalam diri. Begitu juga dalam perkara yang berkait soal silaturahim akan turut berdepan dengan cabaran kehidupan. Namun demikian , setiap ujian itu pastinya menuntut kesabaran dan hati yang tabah. Dalam berdepan dengan ujian hidup, terdapat sekian banyak kisah-kisah teladan dari lembaran sirah para Nabi SAW dan sahabat yang boleh dijadikan panduan hidup.

Sebagai contoh kisah Nabi Yusof a.s yang dibenci adik beradik tirinya tetapi berkat kesabaran dan keimanan yang tinggi terhadap takdir Allah SWT yang akhirnya memberi kemenangan kepada baginda Nabi Yusuf a.s. Kisah-kisah dari al-Quran ini boleh memberi inspirasi untuk mukmin hari ini mencari kekuatan saat melalui ujian sikap manusia yang penuh kebencian, sakit hati dan dengki.

Begitu juga ujian yang dilalui oleh baginda Rasulullah SAW yang berdepan dengan pelbagai tentangan dan kebencian puak jahiliah kepada baginda. Namun, setiap kejahatan dan kezaliman itu Rasulullah SAW membalasnya dengan kemaafan dan kesabaran yang tinggi. Kemuliaan akhlak ini akan menatijahkan keperibadian yang terpuji serta kemenangan abadi bukan sahaja di dunia ini tetapi di kampung akhirat tempat kekal selama-lamanya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 11 April 2018

Kongsi artikel ini di:

Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Pengurus Program Radio. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 16 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my