Perlakuan Tanpa Niat

DALAM rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm setiap Isnin jam 10.15 pagi, Ustaz Muhammad bin Abdullah al-Amin bercerita tentang “Perlakuan tanpa niat”. Ia merupakan tabiat yang dilakukan seakan secara automatik. Tabiat ialah sesuatu yang kita lakukan sudah menjadi kebiasaan sehingga kita tidak merasakan terbeban untuk melakukannya. Sebagai contoh, mandi, gosok gigi di awal pagi merupakan tabiat yang sering kita lakukan sejak kecil lagi dan kita tidak merasakan kita terbeban dengan perlakuan sedemikian. Ada pandangan ulamak yang menyarankan agar kita melakukan sesuatu amalan itu secara berterusan selama 21 hari atau 40 kali.

Apabila kita melakukan sesuatu secara berterusan dan sudah menjadi tabiat, maka lama kelamaan ia tidak lagi menjadi bebanan. Memberi nafkah bagi seorang suami misalnya, kepada anak isteri jika telah menjadi tabiat beliau maka ia tidak lagi merasa terbeban dan tidak merasa  dipaksa-paksa lagi. Begitu juga isteri melayani suami, menyediakan keperluan suami juga merupakan perlakuan yang sepatutnya sudah menjadi tabiat. Persoalannya adakah perkara yang kita lakukan secara tabiat itu perlukan niat setiap kali melakukannya barulah mendapat pahala di sisi Allah SWT? Amalan yang dilakukan secara tabiat akan masih tetap memberi pahala jika memenuhi tiga syarat. Pertama, selagi tidak diniatkan sebaliknya, kedua, perkara yang dilakukan itu paling minima ialah hukumnya Harus dan ketiga, perkara tersebut dilakukan tidak dengan cara yang bertentangan dengan syariat.

Sebagai contoh, suami yang bekerja mencari rezeki setiap hari. Adakah perlu beliau berniat setiap kali keluar untuk pergi bekerja. Tidak perlu jika beliau telah pernah berniat sekali di awal untuk mencari rezeki dan niat tersebut tidak pernah diniatkan sebaliknya selepas itu. Begitu juga syarat kedua ialah perkara yang dilakukan itu merupakan yang Harus hukumnya di sisi agama Islam. Sebagai contoh jika seseorang itu berniat mencari rezeki kerana Allah demi menyara hidup anak isteri, namun pekerjaan yang dilakukannya adalah yang haram di sisi Allah SWT seperti menjual arak, mencuri, merompak, melacur maka pekerjaannya itu tetapi tidak diberi pahala dan sebaliknya berdosa di sisi Allah SWT walaupun niatnya betul dan baik, tetapi pekerjaan yang dilakukannya adalah Haram hukumnya. Begitu juga dari segi perlaksanaan pekerjaan tersebut juga hendaklah mematuhi syarak dan tidak bertentangan dengan Syariat Islam.

Sekiranya setiap perlakuan adat atau tabiat itu diniatkan setiap kali kita melakukan sesuatu perkara dilakukan kerana Allah SWT maka itulah sebaiknya. Namun memadai jika diniatkan sekali sahaja. Tuan-tuan guru kita pernah menasihatkan kita agar sentiasa melazimi mengucapkan “Ilahi Anta Maqsudi wa Ridhaka Matlubi” yang membawa maksud “wahai Tuhanku, Engkaulah tujuanku, dan redhaMu lah yang kucari” dalam apa jua yang kita lakukan samada menyapu sampah, keluar mencari rezeki, memasak dan sebagainya. Melazimi mengucapkan kalimah ini akan mampu mendidik hati menjadi tenang, ikhlas dan tidak merasa gundah gulana dengan perlakuan manusia.  Orang yang ikhlas ialah orang yang tidak mempedulikan celaan orang yang mencela sepertimana mafhum Firman Allah SWT “Ibadur Rahman itu ialah mereka yang berjalan di atas mukabumi dengan penuh kerendahan diri dan apabila mereka disapa oleh orang jahil, mereka mengucapkan “Selamat Sejahtera”  (Surah al-Furqan, ayat 67)

Begitu juga kita sebaiknya mulakan setiap pekerjaan itu dengan mengucapkan “Bismillah” moga dengan itu amalan tersebut juga digolongkan sebagai amalan yang berniat melakukan kerana Allah SWT.

Harus dibezakan antara ibadat khusus dan ibadat yang bukan khusus. Ibadat khusus misalnya solat, puasa perlu diniatkan di setiap kali kita mengerjakan sesuatu ibadat tersebut. Tetapi jika amalan itu berbentuk ibadat umum sebagai contoh memasak maka memadai jika diniatkan sekali sahaja di awal pekerjaan tanpa perlu meniatkan setiap kali setiap hari melakukan pekerjaan tersebut, untuk mencari keredhaan Allah SWT.  Bolehkah kita menggabungkan niat kita bagi mendapat ganjaran yang lebih besar? Para ulama berbeza pandangan dalam perkara ini namun ada pandangan yang membolehkannya. Misalnya seorang yang berniat mengerjakan Qada’ puasa yang dilakukan pada hari Isnin dan bulan Syawal lalu diniatkan ketiga-tiga amalan tersebut maka ada pandangan yang mengatakan beliau memperoleh pahala mengerjakan ketiga-tiga amalan tersebut iaitu, puasa Qada, puasa bulan Syawal dan puasa hari Isnin.

Ada ketikanya di kalangan kita yang suka berbuat sesuatu perkara seorang diri, bercakap, berleter dan memaki hamun orang lain tanpa kehadiran orang yang dileteri itu. Sebagai contoh si isteri yang memarahi suami bukan di depan suami tetapi di belakang suami. Amalan ini tidak beradab dan jika dibiasakan dkhuatiri akan akhirnya dilakukan berdepan dengan orang berkenaan dan ini boleh menjadi dosa. Ada juga yang menulis dalam facebook, instagram meluahkan perasaan dan kemarahan. Ini merupakan bentuk perlakuan daripada fizikal kepada penulisan yang hukumnya juga sama. Jika memfitnah, berbohong dengan lidah itu haram hukumnya, maka menulis di media sosial perkara-perkara bohong dan fitnah juga Haram hukumnya. Kesimpulannya, perkara-perkara adat  harus hukumnya dan dilakukan secara berterusan sehingga menjadi tabiat memadai diniatkan sekali sahaja demi kerana Allah apabila mula melakukakan amalan tersebut dengan syarat tidak ditukar niat tersebut dan dilakukan mengikut tuntutan syarak.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 Disember 2015
Kongsi artikel ini di:

Hajah Mazlina Ismail

Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Psikologi & Kesihatan Mental, Book of Assistance, Smart Parents dan banyak lagi.