Perkasakan program dakwah PERKIM

AYER KEROH, 9 Julai – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) digesa memperkasa program dakwah yang dilihat semakin hambar serta seakan terkandas di tengah jalan.

Penaung Persatuan Cina Muslim Melaka (MACMA), Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik, berkata peranan pertubuhan itu perlu digerakkan kembali supaya selari dengan peranan asalnya menerusi konsep dakwah Islamiah.

“Saya tidak tahu di mana silapnya kerana apa yang dilihat peranan PERKIM semakin lesu dan dipandang sepi. Sebab itu saya gesa PERKIM mahupun badan bertanggungjawab menggerakkan semula usaha ini.

“Saya kira, orang Malaysia sentiasa bersedia untuk mendengar dakwah dan memberi perspektif yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) di Ayer Keroh D’ Village Resort di sini, petang tadi.

Majlis itu turut menyaksikan pengislaman saudara Muslim baharu berbangsa Cina, Ng Kah Wai, 29.

Kah Wai atau nama Islamnya, Daniel Haikal Ng dari Malim, Melaka berkata, faktor persekitaran membuatkan dia tertarik dengan Islam sejak kecil.

“Kawasan rumah saya memang ramai Melayu dan kawan-kawan pun Melayu, jadi saya sudah terbiasa dengan adat Melayu sejak kecil. Makanan pun saya suka yang halal.

“Cuma hati saya betul-betul terbuka untuk lebih mendalami Islam sejak hampir dua bulan lalu atas bantuan abang angkat yang juga sudah 17 tahun bergelar mualaf,” katanya yang bekerja sebagai mekanik.

Katanya, dia bersyukur kerana perjalanannya mahu memeluk Islam dipermudahkan, bahkan mendapat sokongan baik daripada keluarga termasuk adik-beradiknya.

Sumber Berita Harian

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my