Perkasa Pembangunan Wakaf Bagi Terokai Potensinya

image

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Usaha pembangunan wakaf di negara ini perlu terus diperkasakan bagi memastikan potensi dan kehebatannya dapat diterokai dengan semaksima mungkin dalam membantu mengukuhkan sosio-ekonomi masyarakat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata sejarah membuktikan wakaf memainkan peranan penting dalam membina kejayaan sesebuah tamadun bermula sejak zaman Rasulullah SAW hingga zaman kerajaan Turki Uthmaniyah.

“Sebagai contoh, zaman Bani Abbasiyah dan Umaiyyah menunjukkan perkembangan wakaf yang luar biasa, di mana pengagihan dan penyaluran wakaf bukan sekadar kepada bantuan untuk fakir miskin dan berbentuk kebajikan, malah diperluaskan kepada pembinaan rumah-rumah ibadah, pusat pendidikan, penempatan umum dan prasarana kesihatan.

“Wakaf mampu meringankan perbelanjaan kerajaan dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan pendidikan, kesihatan, perbandaran dan sebagainya kepada masyarakat dan pelengkap kepada usaha-usaha pembangunan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan seminar Pembudayaan Wakaf Peringkat Wilayah Persekutuan 2016 anjuran Yayasan Waqaf Malaysia dan Pusat Wakaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini hari ini.

Turut hadir, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wakaf Malaysia Datuk Dr Sudin Haron.

Asyraf Wajdi berkata sehingga kini, terdapat 335 pewakaf di Wilayah Persekutuan yang membuat sumbangan wakaf tetap bulanan melalui potongan gaji kepada Yayasan Wakaf Malaysia dengan melibatkan 117 jabatan.

Dalam pada itu, Dr Sudin berkata seminar bertemakan ‘Wakaf, Untung Dunia Untung Akhirat‘ itu, bertujuan memberi penekanan kepada masyarakat mengenai Fiqh Wakaf iaitu kefahaman kepada makna sebenar ibadah wakaf, hikmah dan potensi wakaf sebagai satu daripada sumber kekuatan ekonomi umat Islam.

Sumber – BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Syafiq Salleh

Merupakan Penyampai dan Penerbit Rancangan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Mengendalikan segmen Destinasi IKIMfm serta terlibat dalam suntingan artikel dan berita. Mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kejuruteraan Perisian) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Memilik Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) dari Politeknik Malaysia. Boleh dihubungi melalui email msyafiq@ikim.gov.my