Peningkatan Mendadak Pengambilan Vaksin Susulan Difteria

membrana-gris-difteria

KUALA LUMPUR, 19 JulaiKementerian Kesihatan mencatat peningkatan mendadak dalam pengambilan vaksin lima serangkai yang lengkap bagi melindungi bayi dan kanak-kanak daripada pelbagai jangkitan penyakit di kesemua klinik dan hospital susulan tercetusnya kes difteria di negara ini bulan lepas.

Peningkatan mendadak itu dikesan berikutan penularan virus difteria dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa dengan kes terbaharu membabitkan seorang suri rumah berusia 41 tahun di Rembau, Negeri Sembilan pada Ahad lepas.

Daripada 15 kes yang dikesan sehingga kini, tiga kes dengan satu kematian dilaporkan di Melaka, Kedah (tujuh kes, satu kematian), Sabah (empat kes, tiga kematian) dan Negeri Sembilan satu kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu pemberita bahawa program imunisasi mewajibkan pengambilan vaksin lima serangkai DTaP-IPV//Hib dalam kalangan bayi berusia dua, tiga, lima dan 18 bulan bagi mengelak dijangkiti difteria, pertusis, tetanus, polio dan haemophilus influenzae Type B.

“Kementerian Kesihatan menerima laporan dari lapangan bahawa lebih ramai ibu bapa dan penjaga tampil ke fasiliti kesihatan kerajaan mahu pun swasta untuk mendapatkan suntikan imunisasi ini,” katanya tanpa menyatakan jumlah peningkatan pengambilan vaksin itu setakat ini.

Sumber – BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Syafiq Salleh

Merupakan Penyampai dan Penerbit Rancangan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Mengendalikan segmen Destinasi IKIMfm serta terlibat dalam suntingan artikel dan berita. Mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kejuruteraan Perisian) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Memilik Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) dari Politeknik Malaysia. Boleh dihubungi melalui email msyafiq@ikim.gov.my