Kepentingan Pendidikan Seks Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 12,025 kes seksual terhadap kanak-kanak berlaku di negara ini sehingga Oktober tahun lalu. Angka ini semakin meningkat dan amat membimbangkan.

Terdapat beberapa faktor yang menjadi punca berlakunya jenayah ini, antaranya kurang pendedahan seksual kepada anak-anak. Masyarakat sering menganggap pendidikan seksual merupakan satu taboo (pantang) atau satu perkara yang bertentangan dengan norma masyarakat. Anggapan seperti ni, secara tidak langsung menjerumus anak-anak kecil menjadi mangsa kerakusan golongan ini.

Dr Pakar Runding Obsterik dan Ginekalogi (O&G), Prof Dr Harlina Halizah Hj Siraj @ Hj Ramli, menyatakan bahawa pendidikan seks di dalam rumah adalah sesuatu yang penting. Hal ini kerana anak-anak haruslah mengetahui secara amnya mengenai seksual yang merangkumi 5 aspek iaitu aspek biologi, kognitif, sosial, spiritual dan emosi. Ibu bapa perlulah mempunyai ilmu mengenai cara untuk memberikan pendedahan kepada anak-anak.

“Pengetahuan anak-anak mengenai seks secara amnya yang merangkumi 5 aspek itu dapat mencegah jenayah seksual terhadap kanak-kanak dari terus berlaku. Pengetahuan itu penting untuk mereka menjaga diri mereka, dari terus menjadi mangsa”, ujar beliau dalam segmen Warna Pagi di IKIMfm.

Justeru beliau menasihatkan ibu bapa agar peka dengan perubahan yang berlaku kepada anak-anak dan tidak memandang ringan mengenai pendidikan seks yang bermula di rumah.

Kongsi artikel ini di: