Pemerkasaan Lelaki

APABILA mencadangkan penubuhan sebuah jabatan hal ehwal lelaki dalam satu laporan Berita Harian (BH), saya menerima pelbagai maklum balas. Ada yang menyokong dan sudah pasti ada juga yang tidak. Liputan khas Berita Harian (BH) pada 4 Jan lepas lebih memfokus kepada isu lelaki yang teraniaya dalam perkahwinan kerana punca yang pelbagai.  

Namun, dalam cadangan tersebut, saya mahu membawa isu yang bukan terhad kepada hal- penganiayaan terhadap lelaki sahaja. Ia lebih daripada itu. Ia bertujuan memudahkan pembentukan dasar di peringkat agensi kerajaan untuk pemerkasaan lelaki.

Pemerkasaan yang saya maksudkan ialah pemerkasaan lelaki dengan mengembalikan lelaki ke arah tanggungjawab fitrah mereka, iaitu pelindung kepada wanita dan pemimpin yang berwibawa.

Apabila menyebut pemerkasaan lelaki, mungkin ia menjadai agak taboo dalam perbincangan awam kita. Ini kerana umumnya masyarakat kita masih menganggap kaum lelaki mampu melaksana tanggungjawab sebagai pemimpin.  

Tetapi dalam keadaan semasa, sekiranya kita lihat secara rambang, penjenayah, ahli kongsi gelap, penghuni penjara serta penghuni pusat-pusat pemulihan dadah, kita dapati kaum lelaki lebih cenderung untuk dikaitkan dengan hal-hal ini. Di institusi pengajian pula kita lihat pelajar wanita lebih tinggi jumlahnya dan pencapaian akademik mereka lebih menonjol.

Mungkin anggapan saya tidak disokong dengan bukti empirikal atau statistik. Namun, dalam hal kekeluargaan, kegagalan lelaki atau para bapa menjalankan tanggungjawab memberikan nafkah telah menyebabkan kerajaan menubuhkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). BSK, antara lain, memberikan sokongan kewangan sementara kepada mereka yang berhak, apabila pihak berwajib (suami atau bapa; iaitu lelaki) tidak memberikan nafkah.

Kegagalan kaum lelaki dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemberi nafkah telah memberi kesan negatif ke atas keadaan sosial dan ini memerlukan tindakan kerajaan. Kesannya juga, kerana kegagalan melunaskan tanggungjawab mereka, negara perlu berfikir untuk menjadi pengganti dalam pelaksanaan tanggungjawab lelaki. Sekiranya lelaki itu diperkasa dengan kesedaran dan pelaksanaan tanggungjawab mereka maka kerajaan tidak perlu berbelanja untuk perkara seperti itu.

Mungkin hal sebegini masih lagi dianggap pekara kecil pada ketika ini, tetapi sekiranya dasar-dasar penting berkaitan pemerkasaan lelaki ini tidak disegerakan, dalam jangkamasa panjang, ia akan menjadikan sistem sosial kita berputar anti-clockwise atau bertentangan dengan putaran jam. Maksudnya, sekiranya dibiarkan secara berterusan begitu, kaum lelaki tidak mampu menjadi lelaki yang sepatutnya merupakan pelindung kepada wanita, pemimpin keluarga dan pemimpin masyarakat, negara dan dunia.

Hal ehwal lelaki hendaklah diambil peduli dengan sewajarnya kerana mereka adalah harapan bangsa; kerana kaum lelaki yang pada adat, pada amalan dan pada agama adalah kaum pemimpin – mereka nakhoda rumahtangga, pemimpin masyarakat, pemimpin negara dan pemimpin dunia.

Kaum lelaki yang lemah dalam pelaksanaan tanggungjawabnya akan mendatang kesan besar ke atas sistem sosial dan keseluruhan masyarakat dan negara.

Di samping memperkasa wanita, kaum lelaki juga perlu diperkasa. Andainya tidak, kita tidak menemui keseimbangan antara dua jantina ini. Tidak salah untuk memperkasa wanita, tetapi akan menjadi salah sekiranya pemerkasaan wanita tersebut tidak diseimbangkan dengan pemerkasaan lelaki; kerana keduanya saling lengkap-melengkapi.

Pemerkasaan lelaki ini juga penting kerana ia melibatkan pemerkasaan sistem sosial negara. Pemerkasaan lelaki perlu dilihat dari arah kebaikan; menyediakan platform untuk menggembeling keupayaan lelaki supaya mereka lebih mengenali tanggungjawab mereka. Apabila kaum lelaki mengetahui dan melaksana tanggungjawab mereka dengan baik, maka dengan sendirinya hak kaum wanita itu ditunaikan dengan baik.

Perlu ataupun tidak jabatan khusus berkaitan hal ehwal lelaki ditubuhkan, ia adalah terserah kepada kerajaan, tetapi, perkara yang kita perlu ambil tumpuan ialah pemerdayaan dan pemerkasaan lelaki. Kita hendaklah boleh melihat dasar-dasar berkaitan kaum lelaki dilaksana, sama ada di peringkat sekolah, keluarga atau masyarakat dan negara.

Pemerkasaan lelaki tidak perlu menjadi perkara taboo yang dianggap bertentangan dengan adat kita. Kita hendaklah melihat isu ini secara rasional dan ia adalah isu nasional untuk kita bergerak ke arah usaha melahirkan kaum lelaki yang mempunyai budi dan daya yang tinggi. Ia juga tuntutan agama kita.

Rencana yang disiarkan ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri
Kongsi artikel ini di:

Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd Aziz

Prof. Madya Dr. Shamrahayu ialah Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang & Politik (SYARAK) di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Beliau turut mengendalikan slot Islam dan Perundangan di IKIMfm yang bersiaran langsung setiap hari Selasa jam 10.15 pagi.