Parlimen bubar esok: PM

SHAH ALAM, 6 April – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi mengumumkan pembubaran Parlimen secara rasmi berkuat kuasa esok (7 April).

Beliau mengumumkan pembubaran tersebut menerusi siaran langsung RTM dan Facebook rasmi beliau.

Pengumuman tersebut dibuat selepas Perdana Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V.

“Pengumuman ini dibuat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Baginda telah memperkenankan bagi Parlimen dibubarkan berkuat kuasa esok,” katanya.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya dalam masa 60 hari, iaitu sebelum 6 Jun ini.

Terdahulu, Perdana Menteri pagi ini mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang terakhir.

Kenderaan rasmi perdana menteri kelihatan memasuki bangunan Perdana Putra pada 8.40 pagi.

Sebelum itu, kenderaan membawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri-menteri Kabinet turut kelihatan memasuki bangunan tersebut untuk menghadiri mesyuarat mingguan Kabinet.

Ramai pemerhati politik mengandaikan mesyuarat itu mungkin yang terakhir sebelum Parlimen  dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU14.

Sekumpulan jurugambar dan wartawan turut menunggu di luar perkarangan pintu masuk ke Perdana Putra seawal 7 pagi bagi membuat liputan kemungkinan pengumuman pembubaran Parlimen.

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my