Para Saksi di Mahkamah Allah

ORANG yang paling selamat ketika berada di Padang Mahsyar ialah mereka yang datang kepada Allah di dalam keadaan hatinya penuh dengan ketenangan. Namun ada juga yang datang dalam keadaan takut dengan bebanan tanggungjawab yang tidak terlaksana dan saat yang paling menakutkan apabila tiba masanya kita disoal terhadap amalan-amalan dan perbuatan yang dilakukan ketika di dunia.

Manusia akan sentiasa menolak dakwaan-dakwaan yang dihadapi ketika diadili di Padang Mahsyar kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa dia melakukan perbuatan itu tanpa adanya bukti-bukti atau saksi. Lalu Allah SWT akan menjadikan orang yang melakukan perbuatan baik atau jahat ada saksi terhadap perbuatan mereka itu. Orang yang tenang hatinya kerana jaminan pengadilan Allah itu jauh lebih baik daripada pengadilan manusia. Di antara saksi yang akan tampil untuk tujuan pembuktian adalah tubuh badan manusia itu sendiri.

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Yasin, ayat 65: “Pada waktu itu Kami mematrikan mulut mereka; dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi perkongsiannya di dalam slot Mau’izati di IKIMfm yang keudara setiap Khamis, jam 5.15 petang menjelaskan, mulut manusia akan sentiasa menipu atau membangkang dan ini merupakan sebab mulut ditutup. Tangan dan kaki akan bercakap  sebagai saksi atas segala perbuatan yang dilakukan ketika hidup di muka bumi. Manakala di dalam surah An-Nur, ayat 24: “Pada hari lidah dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan”.

Begitu juga dengan anggota tubuh lainnya seperti yang terdapat di dalam surah Al-Fussilat, ayat 21: “Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?”. Kulit-kulit badan mereka menjawab: “Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata, telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dialah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan)”. Oleh itu bertakwalah kepada Allah di dalam urusan ini. Rasulullah SAW juga menceritakan menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa pada hari Kiamat nanti, seluruh manusia akan datang di dalam keadaan yang bisu. Di antara kalimah pertama yang keluar daripada anak Adam adalah daripada peha dan telapak tangannya. Berhati-hatilah manusia kerana setiap anggota tubuh akan menjadi pendakwa kepada diri mereka sendiri, jika perbuatan yang dilakukan baik, maka perkara baik akan disampaikan ketika diadili di hadapan Allah nanti, dan begitu juga dengan perbuatan yang buruk.

Setiap manusia akan hidup berdasarkan acuan yang dibentuk, jika dibentuk menjadi seorang yang beramal salih maka baiklah tubuh badannya. Namun jika dibentuk dengan acuan yang buruk, maka begitulah jugalah dirinya. Melakukan amalan-amalan baik adakalanya meletihkan berbanding ketika melakukan kemungkaran dan kejahatan, manusia sentiasa berada di dalam keadaan bersemangat, tetapi harus diingat setiap amalan baik itu ada ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT. Para ulama membincangkan persoalan kenapa manusia datang di hadapan Allah nanti di dalam keadaan bisu. Berdasarkan kepada penjelasan Baginda Rasulullah, anggota tubuh dapat berkata-kata untuk memalukan orang yang melakukan kejahatan di hadapan semua makhluk di akhirat nanti kerana mengingkari larangan Allah ketika hidupnya. Selain itu apabila membaca kitab surat amalan masing-masing, ada di kalangan manusia yang tidak memahami catatan itu dan tidak mengakui bahawa dia telah melakukan perbuatan buruk ketika hidupnya. Lalu Allah SWT menutup mulutnya dan digantikan anggota badannya yang lain untuk bercakap dan menjadi saksi.

Ketika anggota badan mula berkata-kata, akan terus tergambar pada riak wajahnya reaksi terhadap pengadilan di hadapan Allah itu. Firman Allah di dalam surah Al-Rahman, ayat 41: “Orang-orang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka).”

Selain itu alam akan turut menjadi saksi di Padang Mahsyar kelak. Apabila bumi diberi peluang untuk berkata-kata dia akan menceritakan segala perbuatan hamba Allah ketika berjalan di atas permukaannya, sama ada melakukan amal ibadah atau melakukan kemungkaran. Rasulullah menceritakan, setiap kali datangnya siang, ia akan berkata kepada manusia: “Wahai anak Adam, aku ini makhluk yang baru, dan aku menjadi saksi pada hari akhirat terhadap perbuatan  yang kamu lakukan. Oleh itu lakukanlah amal kebaikan semasa siangku agar aku saksikan segala kebaikan itu kelak di akhirat nanti. Jika aku sudah pergi maka aku tidak akan kembali lagi.”

Ibnu Mubarak daripada Abdullah bin Amru bin Asr menyebut: “Sesiapa yang sujud di suatu tempat, berhampiran pohon atau batu, maka mereka akan menjadi saksi bagi dirinya pada hari kiamat nanti.” Selain itu Rasulullah SAW juga mengingatkan sesungguhnya harta-harta ini bagaikan permata hijau yang cantik dalam keadaan yang memikat. Sebaik-baik orang Islam yang memegang harta benda ini hendaklah dia membahagikan hartanya kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim dan menginfaqkannya ke jalan Allah. Malah mereka yang memakan rezeki daripada sumber yang haram tidak akan merasa kenyang dan tidak menyempurnakan kehidupannya. Lebih memburukkan lagi segala harta-harta yang diperolehi itu akan menjadi saksi di Padang Mahsyar nanti.

Para nabi dan rasul juga akan menjadi saksi kepada manusia di hadapan Allah nanti. Ada manusia yang meminta Rasulullah SAW membantunya ketika diadili timbangan amalannya yang buruk, tetapi Baginda memberitahu bahawa telah diingatkan oleh para Rasul dan ulama tetapi tidak diendahkannya sewaktu hidup di dunia dahulu maka Baginda tidak dapat membantu kerana pada hari itu merupakan hari Allah menunjukkan semula amalan-amalan yang telah dilakukan mereka.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 8 September 2016
Scroll to Top