Palestin sentiasa di hati masyarakat Arab – Raja Salman

ARAB SAUDI, 15 April – Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al Saud mengingatkan semua orang di seluruh dunia bahawa Palestin sentiasa tersemat dalam hati nurani masyarakat Arab.

Ia selaras langkah menamakan Sidang Kemuncak Liga Arab ke-29 sebagai Sidang Kemuncak Baitulmuqaddis yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Antarabangsa King Abdulaziz di Dhahran pada Ahad.

Ketika merasmikan Sidang Kemuncak tersebut baginda bertitah isu Palestin adalah ‘isu keutamaan kita’ dan kekal sebagai isu utama.

Sidang itu juga mengutuk keputusan pentadbiran Amerika Syarikat untuk memindahkan kedutaannya ke Baitulmuqaddis.

Menurut media dalam talian tempatan, Raja Salman mengumumkan sumbangan $50 juta kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) dan $150 juta kepada Program Bantuan Wakaf Islam di Baitulmuqaddis sambil menegaskan bahawa Baitulmuqaddis seharusnya menjadi ibu negara Palestin.

Baginda juga menggesa supaya Pertubuhan Bangsa Bersatu mengambil pendirian yang tegas terhadap dasar perluasan pengaruh oleh Iran di rantau berkenaan yang mencetuskan pergolakan.

Menurut Raja Salman, keselamatan dunia Arab adalah satu sistem yang lengkap dan tidak dapat dipisahkan. Baginda juga mengalu-alukan perjanjian untuk mengadakan sidang kemuncak kebudayaan Arab.

Raja Salman juga mengemukakan inisiatif dan kesediaan Arab saudi untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh keselamatan dunia Arab.

Sidang kemuncak sehari itu masih berlangsung.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my