OIC Adakan Mesyuarat Tergempar Di Istanbul Bincang Isu Baitulmaqdis

RIYADH, 31 Julai – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan mesyuarat tergempar di Istanbul, Turki pada Selasa bagi membincangkan isu Israel-Palestin di Baitulmaqdis, lapor agensi berita China Xinhua.

Menteri-Menteri Luar OIC akan membincangkan isu serta langkah bagi menyokong umat Islam di Baitulmaqdis dalam usaha memelihara identiti dan kesucian Islam termasuk di Masjid Al Aqsa, memetik laporan agensi berita Arab Saudi (SPA).

Mesyuarat diadakan susulan tindakan rejim Israel baru-baru ini, melarang umat Islam masuk ke masjid.

Selain itu, mesyuarat bertujuan menghantar “mesej bersatu” daripada Dunia Islam kepada komuniti antarabangsa sebagai desakan menuntut Israel menghormati resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Konvensyen Geneva dan semua resolusi berkaitan Palestin dan Masjid Al Aqsa.

Sebelum ini, pada Isnin lepas, OIC telah mengadakan mesyuarat tergempar wakil tetap negara-negara anggota OIC manakala  pada 20 Julai persidangan antarabangsa di Baku, Azerbaijan bersama dengan Jawatankuasa PBB diadakan bagi membincangkan isu sama.

Sumber BERNAMA
Kongsi artikel ini di: