Nikmat Kemerdekaan & Kemajuan

KEBEBASAN sebenar ialah bebas daripada belenggu hawa nafsu dan benar-benar merasai nikmat kehambaan kepada Allah SWT. Bebaskan diri kita daripada belenggu perhambaan kepada manusia dengan merdeka dalam erti kata yang sebenar serta  bebas daripada belenggu syaitan dan kejahatan.

Menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman memulakan pertemuan dengan membacakan surah Quraisy yang menurut ustaz akan mengajar kita tentang erti kemerdekaan yang sebenar.

Surah ini dinamakan dengan Quraisy, iaitu kaum yang diutuskan padanya Nabi Muhammad SAW untuk menyeru kepada ajaran Al-Quran. Kita sedia maklum apakah sikap yang telah diambil oleh Quraisy kepada Baginda Nabi Muhammad SAW, namun Allah SWT merakamkan nama mereka dalam bentuk satu surah khas yang diberikan kepada mereka dengan tujuan kita belajar daripada sikap Quraisy.

Quraisy  pada waktu dahulu merupakan satu bangsa yang mulia. Para ulama membahaskan antaranya nama Quraisy ini berasal daripada perkataan Qarasy yang bermaksud sejenis ikan yang memakan ikan-ikan lain di laut dan dia tidak boleh dimakan oleh pemangsa lain. Begitulah gambaran tentang Quraisy ini.

Menurut al-Zamakhshari, memang wajar digelar Quraisy kerana kepakaran dan keupayaan mereka menguasai bidang perniagaan yang turut diambil daripada perkataan qurusy yang bermaksud pakar dalam berniaga. Allah SWT memberikan kepada mereka dengan pelbagai nikmat. Allah SWT berikan mereka nikmat kemerdekaan dan bebas daripada ancaman musuh-musuh serta diberikan juga kepada mereka nikmat kemajuan dengan perniagaan mereka.

Namun, apakah sikap mereka setelah dikurniakan dengan pelbagai nikmat ini. Inilah yang kita akan pelajari menerusi surah Quraisy ini. Ustaz berkongsi maksud surah Quraisy ayat 1 yang bermaksud : Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah). Ustaz menjelaskan mengenai ayat ini, telah berlaku satu peristiwa yang membuatkan Quraisy ini bersatu hati, sehingga membuatkan hati mereka lembut untuk tidak bergaduh dan kembali bersatu. Namun, kesatuan hati demi keamanan negara mereka tetap tidak mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT.

Kita kena bandingkan diri kita, negara kita dengan keadaan saudara-saudara kita yang mana negara mereka bergolak seperti negara Palestin yang baru sahaja dibedil oleh rejim Zionis dengan hampir  70 buah bom yang digugurkan di Gaza. Serangan yang dikatakan lebih dahsyat daripada tahun 2014. Demikianlah ujian yang melanda saudara-saudara kita dan pada masa yang sama Allah SWT berikan kita nikmat keamanan dan kedaulatan yang kita miliki hari ini. Kita harus muhasabah kembali, mengapa kita tidak menggunakan nikmat keamanan ini untuk benar-benar lebih dekat kepada Allah SWT.

Sebenarnya kita susah untuk khusyuk kepada Allah SWT di dalam solat sekiranya kita tidak tahu berterima kasih kepada Allah SWT atas nikmat yang telah kita terima. Sebab itu menerusi surah al-Fatihah kita diajar untuk mengenang dahulu apa yang telah Allah SWT beri dan baru mudah untuk kita mengiktiraf Allah SWT sebagai ‘Rabb’.

Menariknya di dalam Surah Quraisy juga terdapat perkataan ‘Rabb’ pada ayat ke-3 yang bermaksud : Maka hendaklah mereka menyembah kepada Tuhan Rumah ini. Setelah apa yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kaum Quraisy dengan kemajuan dan kejayaan dalam perniagaan, mereka masih enggan untuk beribadah kepada Allah SWT. Apabila muncul perkataan ‘Rabb’ di dalam Al-Quran, ada 3 ‘P’ yang perlu kita ingat. P yang pertama adalah merujuk kepada pemberi. Dia memberi segala apa yang tidak kita minta, apatah lagi yang kita minta. P yang kedua merujuk kepada pemelihara. Dia memelihara segala nikmat yang telah kita miliki sekalipun kita kufur kepada-Nya. Yang terakhir P merujuk kepada pemilik. Dia memiliki segala-galanya

Manakala perkataan menyembah di dalam ayat ini bukan semata-mata menyembah, bahkan kita merasai nikmat kehambaan. Bagaimana kita menyedari kita sebagai seorang hamba ketika kita solat dan dalam ibadah yang lain, kita juga perlu merasakan diri kita hamba kepada Allah SWT di dalam kehidupan kita sekalipun di luar daripada ibadah kita.

Semoga apa yang Allah SWT rakamkan menerusi surah Quraisy ini dapat benar-benar menjadi iktibar buat kita. Hargai peluang keamanan dan kesejahteraan negara kita yang Allah SWT kurniakan ini untuk menjadi hamba yang lebih dekat kepada-Nya. Semoga merdeka tidak  menjarakkan kita daripada-Nya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 30 Ogos 2016
\"2016-08-30\"
Scroll to Top