Niat dan Perancangan

USTAZ Muhammad bin Abdullah al-Amin berbicara tentang Niat dan Perancangan dalam rancangan Pesona D’Zahra yang bersiaran di radio IKIMfm pada Isnin 10.15 pagi. Ini merupakan episod terakhir berbicara tentang niat setelah pelbagai aspek niat telah disentuh.  Sekadar berniat namun tanpa perancangan ianya tidak akan memberi bekas dan kesan apa-apa walaupun niat itu baik.

Hidup ini sebenarnya perlukan perancangan, walaupun mungkin kesannya kita tidak sedari dan nampak dalam masa terdekat tetapi untuk jangkamasa yang panjang ia akan menampakkan kesannya samada positif atau negatif.

Dalam hidup berumahtangga misalnya, seorang isteri yang tidak melayan suaminya dengan baik, menengking suaminya hanya kerana meminta dibuatkan air, dari segi kesannya mungkin tidak nampak untuk sehari dua atau sebulan, tetapi lama kelamaan perasaan si suami tidak dapat lagi bertahan dan apatah lagi di luar sana ada perempuan-perempuan yang pandai mengambil hati dan menjaga perasaan, sudah tentu berlaku perceraian atau poligami.

Begitu juga jika si suami yang tidak memberi layanan yang sepatutnya dan menunaikan tanggungjawab. Apa yang berlaku itu bukan disebabkan oleh kejadian sehari dua, tetapi kerana kegagalan kita membina sebuah rumahtangga yang baik sejak mungkin sepuluh tahun dulu.

Begitu juga seorang anak yang tidak dihantar mengaji al-Qur’an atau kelas KAFA, kesannya mungkin kita tidak nampak selepas sehari dua, tetapi setelah sepuluh atau lima belas tahun baru kita sedar anak kita tidak pandai membaca al-Qur’an, jahil fardhu ain.

Di sini menunjukkan kepada kita betapa pentingnya kita membuat perancangan dalam hidup, dan tidak memadai mengharapkan kebaikan dengan berniat sahaja tanpa ada perancangan yang teliti. Banyak ayat-ayat al-Qur’an dan Hadith yang menunjukkan betapa pentingnya kita merancang dalam hidup ini. Kesannya tanpa perancangan ini ada ketikanya terus, dan ada ketikanya mengambil masa yang lama untuk menampakkan kesannya.

Nabi SAW bersabda mafhumnya: “Hendaklah kamu bermain-main dengan anak-anak kamu ketika usia 7 tahun, didik anak kamu pada usia 7 tahun seterusnya, dan berkawan dengannya pada usia 7 tahun berikutnya”.  Ini menunjukkan kepada kita bagaimana Nabi SAW mengajar kita merancang dalam pendidikan anak-anak untuk setiap tujuh tahun. Ini pentingnya perancangan.  

Begitu juga dalam al-Qur’an  dalam Surah Yusuf ada menyebut tentang perancangan sepertimana kisah Nabi Yusuf AS dalam penjara dan mentadbir mimpi seorang rakan sepenjaranya. Apabila Raja Mesir pada ketika itu bermimpi melihat tujuh ekor lembu gemuk, dan kemudiannya melihat tujuh ekor lembu kurus.

Maka Nabi Yusuf dipanggil untuk memberi tafsiran mimpi tersebut lalu menyatakan ia membawa maksud bahawa tujuh tahun pertama itu ialah tahun kesuburan dan kemewahan manakala tujuh tahun berikutnya membawa maksud tujuh tahun yang sengsara. Lalu beliau menyarankan agar Raja Mesir itu menyimpan sebagai stok makanan pada masa kemewahan yang tujuh tahun itu untuk digunakan pada ketika menghadapi tujuh tahun sengasara selepas itu.

Lalu dibina stor dan dibuat simpanan yang banyak dan apabila datangnya tujuh tahun sengsara itu, rakyat Mesir sudah bersedia dan sempat menghadapi segala kesulitan dengan mudah berkat perancangan yang telah dibuat awal.

Sebenarnya dalam kehidupan ini juga sepatutnya kita merancang untuk setiap 7 tahun. Bermula 7 tahun pertama, kemudiannya 7 tahun kedua dan seterusnya sehinggalah kita meninggal dunia mungkin pada usia sekitar 60-70 tahun sepertimana mafhum Sabda Baginda SAW “Umur umatku antara 60-70 tahun, hanya sedikit daripada mereka yang usianya lebih daripada itu.” (Riwayat Tirmidhi).

Oleh itu kita kena rancangan apa yang diri kita dan orang sekeliling kita ingin mencapai setiap tujuh tahun. Untuk anak kita pada usia 7 tahun, apa yang kita harapkan dan ingin dicapai, pada usia 14 tahun pun begitu apa yang sebenarnya kita harapkan daripada anak-anak kita. Perancangan ini perlu dicatatkan agar kita bergerak dan membawa ke arah itu sebelum kita meninggalkan dunia ini.

Selepas fasa kesembilan tujuh tahun tersebut iaitu pada usia 63 tahun kita, jika kita masih hidup itu merupakan umur bonus buat kita. Diriwayatkan bahawa disebut “niat orang mukmin itu lebih baik daripada amal soleh”.  Jika hari ini usia kita 40 tahun, maka rancang sesuatu agar kita boleh mengubah hidup ini jika kita masih dalam keadaan kesedihan dan kemurungan. Kita tidak perlu bersedih dan berduka tetapi perlu bangkit dan terus bina kehidupan baharu dan rancang untuk masa depan yang lebih baik.

 Kehidupan kita sekitar sembilan kali tujuh tahun sahaja (63 tahun), dan kita tidak memiliki masa yang lama untuk hidup di dunia ini. Jangan membuang masa dan kita perlu merancang  agar kehidupan kita di dunia ini memberi manfaat dunia dan akhirat.  

Jangan jadi macam sesetengah orang yang apabila ditimpa ujian dan musibah menjadi orang murung, runsing dan pasrah tidak mahu melakukan apa-apa  dan menyerah kepada takdir sahaja bahkan ada yang mengharapkan untuk mati sedangkan orang yang mati mengharapkan agar dihidupkan kembali untuk melakukan amal ibadat walau hanya sekadar mengucap “La ilaha illa-Llah”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 Disember 2015
Kongsi artikel ini di:

Hajah Mazlina Ismail

Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Psikologi & Kesihatan Mental, Book of Assistance, Smart Parents dan banyak lagi.