Niat dan Gerakan

DALAM rancangan Pesona D’Zahra di radio IKIMfm yang bersiaran setiap Isnin jam 10.15 pagi bersama Ustaz Muhammad bin Abdullah al-Amin terbitan Dj Siti Rohani Surani, Ustaz minggu lalu bercerita tentang “Niat dan Gerak. Diriwayatkan ada kata-katan yang berbunyi “Binasalah orang yang suka bertangguh-tangguh”. Sebab itu kita dianjurkan untuk tidak menangguh amalan dan banyakkan berdoa agar Allah memberi kita kekuatan untuk melakukan amalan segera.

Ketika kita tidur badan kita ini diikat oleh setan dengan ikatan ghaib, dan apabila seoran hamba itu bangun dan membaca doa bangun daripada tidur, makan terungkailah satu ikatan, dan apabila dia bangun dan mengambil wuduk, maka terungkailah satu lagi ikatan, dan apabila dia mendirikan solat maka terungkailah ikatan ketiga dan sekiranya beliau melakukan ini seharian maka jadilah dia hamba Allah yang aktif dan rajin tetapi jika dia gagal melakukan amalan ini maka dia akan menjadi orang malas pada hari tersebut. Dua perkara yang ingin ditekankan di sini ialah faktor kenapa niat baik kita tidak dapat direalisasikan dalam amalan. Orang yang beriman dan soleh, niat dan amalan akan bergerak seiringan. Ini dinyatakan dalam banyak ayat-ayat al-Qur’an.

Ini berpunda daripada dua faktor iaitu faktor kemanusian dan kedua faktor gangguan syaitan. Yang dimaksudkan dengan faktor kemanusiaan ialah manusia ini adakalanya dilahirkan memang tabiatnya yang agak lemah dan malas. Maka tabiat sebegini hendaklah dibuang dan diubah. Bangunkan diri kita menjadi orang yang bergerak dan bukan jenis malas. Yang boleh membentuk diri manusia itu ialah melalui faktor sekelilingnya, dan kawan-kawannya.  Kita kena menyedari  bahawa tabiat-tabiat buruk yang ada dalam diri kita ini perlu dibuang. Ini perkara asas yang perlu kita fahami terlebih dahulu. Ada orang tidak sedar dia memiliki tabiat yang buruk dalam dirinya. Muhasabah dan periksa diri dulu apa tabiat buruk yang ada pada kita, kemudiaan selepas itu berusaha untuk mengubah dan membuangnya jauh-jauh.

Ada di kalangan anak-anak yang mempunyai IQ yang tinggi, cerdik dan pandai namun memiliki tabiat yang  buruk iaitu suka membuat kerja di saat-saat akhir, membuat kerja cincai dan tabiat ini dibawa ke dalam hidupnya masuk ke dalam pekerjaan, alam berkeluarga maka akhirnya orang yang memiliki tabiat buruk ini tidak berjaya dalam kehidupannya.

Perkara yang adakalanya tidak dapat dilaksanakan dalam kehidupan seharian kita ialah kerana kita tidak mempunyai tabiat yang baik. Walaupun kita mempunyai ilmu yang banyak, niat untuk melakukan kebaikan itu ada namun terhalang disebabkan tabiat buruknya. Oleh itu kita hendaklah sentiasa memperbaiki diri, menyucikan diri agar menjadi lebih baik  “beruntunglah orang yang menyucikan dirinya” (Surah al-Syams ayat 9).

Manusia tidak melakukan sesuatu yang lebih baik juga kerana dia mempunyai banyak pilihan-pilihan lain lalu dia memilih perkara yang paling mudah dan remeh untuk dilaksanakan. Menonton tv, melepak, menonton wayang, berbual kosong itu lebih senang dan ringan dilakukan berbanding menghafal al-Qur’an atau membaca buku lalu orang yang memiliki tabiat yang buruk akan memilih untuk melakukan perkara yang senang walaupun ianya tidak memberi manfaat. Sebab itu orang yang malas ini Imam al-Shafie RA menyuruh ditakbirkan empat takbir kepada orang sebegini kerana hakikatnya orang ini sudah mati jasadnya.

Kalau kita perhatikan cara untuk khusyuk dalam solat ialah dengan mengawal gerak badan kita. Mata hendaklah memandang ke tempat sujud misalnya, dan begitulah ketika rukun-rukun lain. Cara semacam ini akan mampu membantu kita menjadi khusyuk dalam solat. Ini menunjukkan gerakan amat penting dalam kehidupan kita.

Kedua, faktor disebabkan oleh syaitan. Memang dalam hidup kita ini banyak ayat-ayat al-Qur’an yang menceritakan tentang Iblis yang kerjanya suka menganggu orang mukmin daripada beribadat dan melakukan amalan soleh. Iblis mempunyai pelbagai muslihat menipu manusia. Diriwayatkan ada seorang lelaki bernama Barshisha (disebut juga Barsiso), seorang ahli ibadat di zaman sebelum Nabi SAW. Beliau dikatakan mempunyai 60 ribu anak murid dan semua anak muridnya menjadi ulama dan wali Allah SWT sehingga ada di kalangan mereka yang dapat terbang ke udara.

Beliau tiba-tiba didatangi oleh iblis yang menyerupai seorang lelaki yang kononnya ingin mengajar beliau beribadat. Lalu lelaki ini menghabiskan masa yang panjang beribadat di zawiya Barshisha tanpa makan dan minum dan tidak tidur sehingga mengagumkan Barshisha sendiri. Barshisha merasa kagum kerana beliau telah beribadat 220 tahun tetapi tidak sanggup untuk tidak makan dan minum dan tanpa tidur. Lalu Barshisha bertanya kepada tetamunya itu bagaimanakah untuk beliau mampu beribadat seperti beliau dan Iblis menjawab: “Pergilah engkau dari tempat ini dan kerjakan larangan Allah, kemudian setelah itu taubatlah kepada Allah kerana Dia Maha Pengasih, maka engkau akan mendapat kemanisan bertaubat kepadaNya.” Barsisha bertanya: “Bagaimana aku akan menderhakai Allah setelah aku menyembah Tuhan sekian lama?” Iblis menjawab: “Manusia apabila berdosa memerlukan keampunan atas segala dosa-dosanya.” Barsisha bertanya: “Apakah dosa yang baik saya kerjakan?” Iblis menjawab: “Zina.” Barsisha berkata: “Aku pasti tidak akan melakukannya.” Iblis menjawab: “Bunuhlah seorang hamba Allah yang mukmin.” Barsisha berkata: “Aku  juga tidak akan melakukannya.” Iblis berkata lagi: “Kalau begitu minum khamar, ini lebih mudah tidak melibatkan orang lain. Barsisha bertanya: “Dimanakah aku boleh mendapatkan minuman itu?” Iblis berkata: “Engkau pergi ke kampong seberang.” Dengan serta-merta Barsisha pun pergi ke tempat yang ditunjukkan Iblis itu. Setelah ke tempat itu, Barsisha pun menemui seorang wanita cantik yang pekerjaannya menjual minuman keras. Barsisha membeli dari perempuan itu sebotol khamar, kemudia meminumnya dan akhirnya ia pun mabuk. Dalam keadaan mabuk itu dia melakukan perbuatan terkutuk dengan perempuan itu. Kemudian dengan tiba-tiba suami perempuan itu muncul dan lantas dibunuh pula oleh Barsisha.  Akhirnya pemerintah tahu berhubung pembunuhan Barsisha ini lalu diperintahkan dihukum salib. Ketika di tiang salib, Iblis datang kepada Barshisha, lalu Barshisha meminta diturunkan dari tiang salib. Iblis berkata “Aku akan turunkan engkau dengan syarat kau suduk kepadaku. Barsisha menjawab: “Bagaimana aku bersujud padahal aku terikat ditiang ini?” Iblis menjawab: “Sujudlah dengan menganggukkan kepalamu.” Maka Barsisha pun mengisyaratkan kepalanya dengan maksud sujud kepada Iblis. Dengan sujud Barsisha, maka kafirlah ia kepada Allah dan pada agamanya. Akhirnya Iblis berkata “Aku melepas diri dari engkau, aku takut kepada Allah, Tuhan yang Maha Besar serta sekalian alam.” (Al-Hasyr: 16).

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 Disember 2015
Kongsi artikel ini di:

Hajah Mazlina Ismail

Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Psikologi & Kesihatan Mental, Book of Assistance, Smart Parents dan banyak lagi.