Nenda saudara Sultan Selangor mangkat

SHAH ALAM, 3 Januari : Nenda saudara Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tengku Aris Temenggong Selangor, Tengku Datuk Muhammad Yusof Shah mangkat pagi tadi di Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Kemangkatan Tengku Muhammad Yusof Shah pada usia 91 tahun itu, diumumkan melalui akaun Facebook Selangor Royal Office tengah hari tadi manakala Istiadat Pemakaman jenazah Yang Amat Mulia Tengku Aris Temenggong Selangor, Tengku Datuk Muhammad Yusof Shah dijangka bermula pada jam 5.45 petang ini.

Almarhum yang berusia 91 tahun itu dibawa dari HTAR ke Istana Alam Shah Klang pada jam 1.30 tengah hari.

Jenazah kemudiannya akan dimandi, dikafankan serta disembahyangkan di Masjid Istana Diraja pada jam 4 petang seterusnya dibawa ke Makam Diraja Klang untuk upacara pemakaman.

Almarhum diputerakan pada 28 April 1926 adalah kerabat Diraja Selangor tertua.

Baginda juga adalah salah seorang daripada 25 putera Sultan Selangor kelima iaitu Sultan Sir Ala’eddin Sulaiman Shah.

Sumber BERITA HARIAN ONLINE

Kongsi artikel ini di: