Najib akan bentang pengubahsuaian Bajet 2016

PUTRAJAYA, 8 Januari – Pengubahsuaian beberapa aspek Bajet 2016 akan dibentangkan dalam masa terdekat untuk melakukan penalaan (recalibration) supaya lebih realistik lagi tepat dengan keadaan pada 2016, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, menerusi tindakan yang berlandaskan senario ekonomi semasa itu, pengubahsuaian bajet akan merangkumi langkah tambahan penegasan baru mengoptimumkan perbelanjaan dan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Kita dapat meramalkan 2016 sebagai tahun lebih mencabar terutama berikutan kelembapan ekonomi China yang juga ekonomi kedua terbesar dunia dan rakan dagangan terbesar negara selain penurunan harga minyak mentah dan komoditi yang berterusan memandangkan ianya bergantung kepada bekalan serta permintaan global.

“Harga purata minyak mentah Brent menjunam daripada AS$98.94 (RM433.11) setong pada 2014 kepada AS$31.58 (RM138.24) setong semalam sedangkan unjuran pertumbuhan ekonomi pada 2016 adalah berdasarkan harga purata Brent sebanyak AS$48 (RM210.12) setong.

“Keadaan pasaran kewangan terutama berikutan penyelarasan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (US Fed), membawa kesan kepada aliran modal serantau, termasuk Malaysia manakala pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) turut memberi kesan kepada nilai ringgit,” katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan khas dengan warga Kementerian Kewangan, di sini pagi tadi.

Yang hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my