Nabi Yusuf AS Mengurus Ekonomi Mesir

DALAM mendepani cabaran ekonomi yang mendatang dalam Tahun 2016, pelbagai persiapan perlu dilakukan. Sebagai mukmin sejati, pedoman yang semestinya perlu kita rujuk adalah  menerusi kitab Al-Quran yang sudah pastinya sebagai kitab rujukan yang lengkap.

Allah SWT apabila menceritakan sesuatu kisah menerusi Al-Quran, sudah pasti ia bukan semata-mata releven untuk zaman tersebut sahaja, bahkan ia sesuai untuk menjadi pengajaran sampai bila-bila.

Berkongsi menerusi Segmen Ibrah pada minggu lalu, yang bersiaran pada hari Isnin, 5.15 petang di IKIMfm, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman membawa kisah bagaimana Nabi Yusuf AS menyelesaikan krisis ekonomi dan kemarau yang melanda Mesir.

Kisah ini disampaikan oleh Allah SWT sebagai panduan kepada seluruh umat manusia melalui Surah Yusuf, ayat 47 – 49 yang bermaksud :

Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. (47)

Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).(48)

“Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”.(49)

Kisah ini merupakan tafsiran mimpi yang dilakukan oleh Nabi Yusuf AS di dalam penjara apabila rakan sepenjara Baginda yang telah datang kepadanya untuk ditafsir mimpi Raja Mesir.

Mesir telah berjaya bertahan dan mendepani cabaran kemarau teruk untuk tempoh tujuh tahun. Kejayaan Mesir ini turut dikongsi oleh seluruh Timur Tengah yang mendapatkan bantuan Mesir yang juga berdepan dengan situasi yang sama termasuk Palestin.

Melihat kejayaan Mesir dalam usaha berhadapan dengan krisis kemarau panjang yang berlarutan, ia adalah hasil usaha dan idea Nabi Yusuf AS yang dilantik sebagai Menteri Kewangan Mesir. Beberapa formula telah disusun oleh Nabi Yusuf AS agar Mesir mampu bertahan ketika musim kemarau tersebut.

Formula kejayaan itu, diringkaskan oleh Ustaz Syaari menerusi perkataan Yusuf itu sendiri yang merujuk kepada yakin kepada Allah, usaha yang luar biasa, simpan dahulu belanja kemudian, utamakan yang utama dan akhirnya fokus pada bulatan kawalan.

Formula pertama dalam menyelesaikan dan berhadapan dengan krisis kemarau Mesir pada ketika itu ialah melalui fasa yakin Allah SWT ada. Apabila kita menghadapi krisis ekonomi, kita perlu sentiasa ingat bahawa Allah SWT itu ada dan Dia ciptakan kita dengan tujuan. Kita hidup di dunia ini adalah untuk diuji termasuk ujian ekonomi yang didatangkan oleh Allah SWT.

Allah SWT mahu uji kita sejauhmana ujian yang datang mendekatkan kita kepadaNya atau sebaliknya. Lihat secara positif, pasti ada hikmah pada setiap sesuatu. Apabila kita yakin Allah SWT ada, kita akan menjadi hamba yang lebih kuat.

Ini ditunjukkan oleh Nabi Yusuf AS apabila didatangi bekas rakan sepenjara Baginda untuk bertanyakan kisah mimpi Raja Mesir. Sekiranya Nabi Yusuf AS ingin membalas dendam terhadap apa yang dilakukan oleh bekas rakan sepenjara Baginda itu, maka Nabi Yusuf AS boleh sahaja mengendahkan mimpi tersebut. Nabi Yusuf AS sentiasa yakin akan setiap yang berlaku itu adalah ketentuan daripada Allah SWT dan baginda dipenjara bukan kerana lelaki tersebut tetapi kerana itu adalah takdir Allah SWT dan lelaki itu hanya asbab kepada Baginda dipenjara.

Formula kedua Nabi Yusuf AS dalam menyelesaikan isu kemarau Mesir iaitu usaha yang luar biasa secara berterusan. Nabi Yusuf AS mentafsirkan mimpi Raja Mesir dengan penyelesasian masalah dengan menanam selama tujuh tahun secara bersungguh-sungguh dengan berterusan.  Nabi Yusuf AS memastikan rakyat Mesir bersungguh dalam tiga cara. Pertamanya Nabi Yusuf AS menyebut bersungguh-bersungguh hanya untuk tujuh tahun sahaja. Maknanya usaha tersebut perlu disertakan dengan jangka masa berapa lama perlu berusaha bersungguh-sungguh.

Keduanya Nabi Yusuf AS menggunakan kaedah ancaman iaitu sekiranya tidak bersungguh-sungguh, maka tujuh tahun berikutnya akan menderita semua orang kerana segala apa yang disimpan kemungkinan akan habis apatah lagi sekiranya tidak menyimpan. Ketiga adalah kaedah memberi ganjaran dan menyampaikan berita gembira. Setelah tujuh tahun kedua dengan kemarau dahsyat, maka Nabi Yusuf AS menyampaikan berita gembira semua rakyat Mesir akan mendapat hujan dengan kelimpahan rezeki yang melimpah ruah.

Dalam menyelesaikan masalah kemarau Mesir, Nabi Yusuf AS mengajarkan tentang formula simpan dahulu belanja kemudian. Baginda mengatakan, bila datang musim menuai, jangan semua yang dituai dijadikan makanan dan ada sebahagiannya yang disimpan ke dalam gudang. Baginda turut mengajar kepada rakyat Mesir supaya kekalkan kesegaran gandum yang disimpan di dalam gedung dengan tidak membuang kulitnya beserta tangkainya agar apabila tempoh tujuh tahun, gandum tersebut masih lagi segar untuk digunakan.

Utamakan yang utama diajarkan oleh Nabi Yusuf AS apabila kita beroleh rezeki jangan digunakan mengikut hawa nafsu. Perihal mimpi Raja Mesir juga mengajarkan bahawa utamakan yang utama dengan simbolik lembu dan juga tangkai gandum tersebut. Lembu merujuk kepada kenderaan manakala gandum pula merujuk kepada pertanian. Nabi Yusuf AS dalam hal ini melihat pertanian adalah lebih utama untuk diusahakan berbanding fokus kepada kenderaan.

Fokus pada bulatan kawalan dalam formula yang terakhir telah diajarkan oleh Nabi Yusuf AS. Dalam kehidupan kita sentiasa ada lingkungan masalah yang diluar kawalan kita seperti lembu dalam mimpi Raja Mesir. Jangan kita fokus kepada perkara yang dliuar kawalan kita seperti zaman yang semakin mencabar atau ekonomi yang semakin merosot. Sedangkan kita perlu fikirkan  apa usaha yang perlu kita lakukan yang di dalam kawalan kita seperti tangkai gandum tersebut agar masalah yang mendatang dapat kita selesaikan.

Sekiranya kita terlalu memikirkan punca masalah tanpa memikirkan cara penyelesaiannya, dibimbangi kita akan kalah dengan hasutan syaitan dan akhirnya tidak melakukan apa-apa usaha dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Kita tidak boleh mengubah sesuatu takdir yang berlaku, tetapi kita boleh mengubah cara kita melihat setiap takdir yang berlaku.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 2 Februari 2016
02-02-2016
Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top