Myanmar tolak hasrat Majlis Keselamatan PBB

NEW YORK (PBB): Kerajaan Myanmar menolak permintaan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk melawat negara itu bulan ini, bagi meninjau keadaan pelarian Rohingya yang kini dilanda krisis.

Namun, Presiden UNSC yang juga Duta Kuwait ke PBB, Mansour Al-Otaibi, berkata pihak berkuasa Myanmar tidak membantah jika lawatan itu diadakan pada Mac atau April ini.

“Mereka berpendapat masanya belum sesuai untuk kami melawat negara itu,” kata Mansour kepada wartawan di ibu pejabat PBB, di sini.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan mendesak ratusan ribu pelarian etnik Rohingya dibenarkan pulang ke Rakhine, selepas mereka melarikan diri daripada kekejaman tentera Myanmar.

Menurut Mansour, Kerajaan Myanmar merancang untuk menganjurkan satu sesi lawatan ke Rakhine bagi semua diplomat yang berada di negara itu, selain menekankan mengenai ketegangan yang melanda wilayah itu ketika ini.

Sejak Ogos lalu, hampir 700,000 etnik Rohingya sudah menyeberangi sempadan menuju ke Bangladesh bagi berlindung di pusat penempatan sementara.

Bulan lalu, Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi bagi membolehkan Setiausaha Agung badan dunia itu, Antonio Guterres melantik wakil khas ke Myanmar, namun sehingga kini, pelantikan itu masih belum dibuat.

SUMBER – BH ONLINE

Kongsi artikel ini di: