Mujahadah Ramadan

MEMASUKI sepuluh hari terakhir Ramadan pada tahun ini, mujahadah memainkan peranan yang sangat besar khususnya di dalam pengurusan nafsu untuk menjadi insan yang lebih baik. Tahap pertama di dalam mujahadah ialah kemampuan melenturkan hati untuk memahami agama dan mengetahui petunjuk yang benar dalam setiap aspek dan keperluan di dalam kehidupan. Walaupun mujahadah merupakan usaha yang memeritkan namun hasilnya sangat manis apabila diri sentiasa berada di dalam kasih sayang dan rahmat Allah dan membentuk diri menjadi manusia yang istiqamah.

Tahap kedua ialah melawan nafsu, mengajak dan mendidik untuk mengamalkan ajaran Islam setelah berusaha untuk memahaminya. Ia juga menuntut mujahadah yang besar kerana berlakunya pertentangan yang hebat di antara keinginan diri yang didorong oleh nafsu dengan keinginan untuk melakukan amalan ke arah kebaikan.    Walaupun mengetahui betapa besarnya ganjaran pahala bersedekah, qiamullail terutamanya pada bulan Ramadan, namun sekiranya tidak wujudnya usaha dan mujahadah maka ramai di kalangan manusia yang akan tertewas. Sesungguhnya Allah SWT menjanjikan kepada mereka yang bersungguh-sungguh berjuang melakukan kebaikan, maka akan diberikan petunjukan dan hidayah untuk sentiasa berada di jalan-Nya.

Selain itu tahap ketiga di dalam mujahadah ialah melawan nafsu dan mendidik diri untuk mengajak orang lain kepada agama Allah dan agama yang benar, tidak menyembunyikan petunjuk dan keterangan yang diturunkan oleh Allah semata-mata kerana manfaat yang sedikit dan dunia. Malah mereka cuba menyelamatkan diri dengan bermujahadah untuk turun menyelamatkan ummah daripada azab neraka Allah. Bagi menempuh tahap ketiga ini juga memerlukan kekuatan untuk menahan diri dan bersabar dengan segala penghinaan dan kejian, malah pada zaman ini cabaran cacian diperhebatkan lagi dengan wujudnya media sosial hanya dalam masa yang singkat serta fitnah dijadikan budaya, malah golongan ulama dan orang-orang yang memperjuangkan agama tidak terkecuali daripada terdedah dengan kutukan. Namun mereka yang dikasihi Allah akan sentiasa dipelihara dengan terzahirnya kebenaran apabila tiba masanya, walaupun ia akan memakan masa yang lama.

Firman Allah di dalam surah al-Anfaal, ayat 65-66: “Wahai Nabi, rangsangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti. Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar.” Inilah janji Allah yang harus diyakini, difahami dan diamalkan serta mengajak orang lain untuk sama-sama bermujahadah, melawan keinginan diri sendiri agar ia dapat ditundukkan sebagaimana panduan oleh Allah SWT.

Sebagaimana perkongsian oleh Datuk Ustazah Norhafizah Musa di dalam slot Tarbiyah yang ke udara di IKIMfm pada setiap Jumaat, jam 10.15 pagi, tahap keempat di dalam mujahadah terhadap nafsu ialah melawannya sehingga berada di dalam mode sabar di dalam mengharungi ketiga-tiga tahap mujahadah. Kerana setiap tahap mujahadah sememangnya harus disertai dengan penuh kesabaran. Manakala tahap kelima ialah sabar dengan ketentuan, takdir dan pilihan Allah serta yakin bahawa ia adalah yang terbaik untuk diri.

Kongsi artikel ini di:

Hajah Fairuz Hj. Noordin

Merupakan Pengurus Hubungan Srategik Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm).