Muhasabah Diri

ORANG yang beruntung adalah orang yang sentiasa membuat koreksi diri agar dapat memperbaiki kecelaan diri kerana dengan cara itu akan menjadikannya mukmin yang lebih baik. Seperti kata Imam al-Ghazali “Barangsiapa yang sering bermuhasabah pada dirinya, nescaya dia akan temui keringanan pada hari akhirat kelak”.

Menerusi rancangan Islam itu Indah, ustaz Mohd Meeftah Anuar berkata muhasabah adalah perkara baik namun tidak disukai manusia kerana kebanyakan manusia tidak suka untuk menilai dan melihat kekurangan diri sendiri. Namun, harus diketahui bahawa muhasabah itu umpama ubat yang pahit, sungguhpun tidak enak namun ia adalah penawar yang mengubati seribu satu penyakit. Begitu juga muhasabah, sungguhpun kadang-kadang ia bukan sesuatu yang memberi keseronokan tetapi orang yang sering bermuhasabah akan dapat membersihkan diri dari kejahilan, dosa dan noda.

Seperti firman Allah SWT dalam al-Quran menerusi surah an- anbiya ayat 47 yang bermaksud “Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari Kiamat, maka tidaklah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami sebagai Pembuat perhitungan”. Secara ringkasnya ayat al-Quran tersebut menjelaskan setiap perbuatan yang dilakukan manusia itu walau sekecil-kecil atau sebesar-besarnya akan diperhitung dan dihisab di akhirat nanti. Perbuatan yang baik akan mendapat balasan yang baik, manakala perbuatan yang jahat akan menerima akibat yang buruk.

Bahkan dalam kehidupan ini, seseorang mukmin itu perlulah lebih banyak merasa syukur akan segala nikmat kurniaan Allah taala. Apa sahaja  rezeki yang diperolehi adalah atas kehendak dan kurniaanNya. Justeru, syukur itu akan menjadikan manusia lebih tawaduk dan taat akan segala perintahNya. Bahkan Allah akan kurniakan nikmat yang lebih besar bagi mereka yang selalu bersyukur.

Dalam menterjemahkan nilai syukur atas apa juga yang telah Allah kurniakan, seseorang mukmin itu haruslah lebih banyak muhasabah dan melihat setiap sudut hidup ini adalah sebagai anugerah dari Allah yang maha Esa. Sesungguhnya tidak akan bererti apapun yang dimiliki manusia jika tidak disertakan dengan rasa syukur dan yakin apa sahaja yang dimiliki adalah pinjaman dari Allah taala. Justeru, seseorang mukmin itu perlu sedar bahawa dalam setiap nikmat yang dikecapi barangkali ada rezeki orang yang lain yang tersembunyi. Ini kerana Allah adakalanya mengurniakan rezeki orang lain melalui mukmin yang lain agar mereka saling memberi dan mengingati akan sesama manusia.

Dalam berbicara tentang keberkatan dalam mencari rezeki, seseorang mukmin hendaklah menjauhi diri dari perbuatan maksiat. Ini kerana kemaksiatan itu akan menghitamkan hati, menutup pandangan mata, mengikis semua kebaikan sungguhpun mendapat nikmat-nikmat di dunia ini. Tidak ada ertinya semua kesenangan dan kenikmatan hidup jika diperolehi dengan jalan kemaksiatan kerana ia tidak mendapat keberkatan hidup apatah lagi untuk dijadikan bekalan di akhirat kelak.

Orang yang sentiasa dalam lurah kemaksiatan sungguhpun hidupnya penuh keseronokan dan kekayaan tetapi ianya hanya satu tipu daya yang menyesatkan dan ianya hanya nikmat yang membinasakan. Oleh itu, dalam mencari rezeki dan menjalani kehidupan ini, seseorang mukmin itu hendaklah sentiasa memeriksa kesilapan yang dilakukan agar tidak termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat istidraj. Muhasabah adalah jalan terbaik untuk manusia membuat pusingan U atau menghitung kesilapan diri yang dilakukan.

Dalam mentadbir urusan kehidupan ini, seseorang mukmin hendaklah memahami ajaran agama Islam dengan sebaiknya agar sentiasa terbimbing pada jalan yang benar. Seseorang mukmin itu hendaklah memegang tiga paksi yang diajarkan oleh agama iaitu menjadi khalifah yang taat akan perintah Allah, mengamalkan ajaran Islam sebagai cara hidup, akhlak yang baik sebagai pakaian yang akan menentukan corak tindakan diri. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia” justeru akhlak yang baik adalah senjata mukmin untuk menjadi manusia yang penuh nilai manusiawi yang tinggi dalam membina keperibadian yang tinggi.

Dalam proses perjalanan hidup di dunia yang hanya persinggahan sebelum menuju ke kampung akhirat yang kekal abadi, seseorang mukmin hendaklah sentiasa berusaha untuk mempersiapkan dirinya dengan perkara-perkara yang akan meningkatkan amal timbangannya di akhirat kelak. Oleh itu, berdampinglah dengan orang-orang soleh yang boleh menjadi pembimbing untuk sentiasa dekat dengan Allah taala. Selain itu lazimi juga selawat ke atas Nabi SAW agar dengan cara demikian boleh mendidik hati untuk terus mengingati apa yang diajar oleh baginda Rasulullah SAW. Dengan cara demikian boleh mencegah seseorang mukmin dari terjerumus dari perbuatan yang boleh menyesatkan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 3 Januari 2018
Scroll to Top