Misi Kemanusiaan Syria

web-jordan

IRBID, Jordan – Kembara Rohani dan Misi Kemanusiaan Syria 2013 bersama Muslim Care dan Bank Mualamat (M) Berhad berakhir 20 Oktober lalu. Selama 5 hari, tiga belas orang delegasi termasuk salah seorang penyampai IKIMfm, Dj Syafiq Zulakifli mengikuti kembara ini.

Perjalanan kembara ini bermula sejak 16 Oktober lagi ini, turut disertai oleh Yang Berbahagia Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri selaku pengisi slot Makarimal Akhlak yang disiarkan di IKIMfm pada setiap hari Isnin jam 9.15 malam.

Selain daripada itu, Tuan Haji Mat Arifin Ismail selaku Presiden Muslimcare, Tuan Haji Zakaria, Tuan Haji Zulkifli Wahijan dan aktivis Muslimcare Ustaz Mohamad Nazmi Abdul Karim turut bersama-sama menyertai misi ini.

Ditemui wartawan IKIMfm sejurus selepas kembara berakhir, Syafiq yang ditemui di pejabat radio IKIMfm berkongsi cerita dan pengalaman sepanjang kembara di bumi Jordan tersebut.

”Pengalaman selama lima hari tidak sama dengan pengalaman selama lebih 9 hari sewaktu berkunjung ke bumi Gaza akhir tahun lalu. Ini adalah satu pengalaman luar biasa,” katanya sewaktu menceritakan detik-detik cemas sewaktu ditahan selama 8 jam di dalam tahanan imigresen Israel.

Beliau turut berkongsi pengalaman sewaktu berkunjung ke Kem Pelarian Syria (Zaatari) yang terletak di Mafraq, Jordan. Katanya, bermula hari pertama lagi kumpulan misi telah menghadapi kesukaran untuk masuk ke Kem Zaatari di Mafraq yang menghimpunkan ribuan pelarian Syria di bumi Jordan.

”Kami tidak dibenarkan masuk ke dalam kem tersebut dan kamera kami dirampas. Salah seorang peserta misi dirampas memory cardkamera dan tiada lagi gambar yang dapat dirakam. Walaubagaimanapun kamera tersebut akhirnya dipulangkan dan memory card diambil begitu sahaja. Saya masih ingat lagi sewaktu kenderaan yang kami naiki diserang oleh kanak-kanak pelarian Syria. Mereka mengharapkan bantuan tetapi kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana terpaksa meninggalkan kem pelarian tersebut selepas tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa Jordan.”

Beliau yang menyertai Kembara Rohani dan Misi Kemanusiaan Syria ini juga turut melahirkan kenangan sewaktu menemui pelarian Syria yang berada di Mafraq dan Irbid.

”Alhamdulillah seramai 120 orang penerima sumbangan yang berada di Jamiyyah Khairiyyah Islamiyah Mafraq dan 70 keluarga menerima sumbangan yang diberikan di Rabitoh Ahlul Huron, Irbid. Saya melihat sendiri senyuman manis mereka terubat apabila bekalan yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia dapat diberikan kepada mereka.”

Selain daripada itu, misi kemanusiaan Syria bertumpu kepada pembinaan kilang roti di Syria. Dr Yahya Al-Maktabi wakil daripada NGO Abrar Syam yang hadir ke Irbid Jordan menerima RM200,000 sumbangan yang dibawa oleh Muslimcare dan Bank Muamalat (M) Bhd.

Pada akhir pertemuan, Dj Syafiq juga tidak ketinggalan mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengurusan IKIM terutamanya Dr Nik Roskiman Abdul Samad, Pengarah Pusat Media dan Datuk Nik Mustapha Nik Hassan yang memberikan kebenaran menyertai misi ini.

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my