Min Masjid Ila Masjid

JALAN mendekatkan diri pada Allah dalam meraih redhaNya itu pelbagai. Mungkin dengan cara mennyayangi kekasihNya SAW atau menerusi kecintaan mengunjungi rumahNya menjadi asbab jatuh cinta padaNya sekaligus jatuh tenang pada hati yang duka. Bak tradisi orang soleh, seawal enam bulan menjelang Ramadan telah bersungguh memohon agar Allah sampaikan mereka untuk ketemu dengan bulan yang amat di rindui iaitu Ramadan. Setelah berlalunya ia, ditinggalkan dengan lelehan airmata dengan doa yang acapkali di lafaz kala mencari malam lailatulqadar sehingga enam bulan meninggalkan Ramadan. Orang soleh ini hidupnya seolah-olah hanya Ramadan kerana terlalu besar ketentuan yang Allah bawa bersama dengan Ramadan itu.

Justeru, semangat menghayati dan menghargai kesempatan dan keberkatan itu perlu dipupuk dalam masyarakat Islam hari ini. Bersempena bulan Rejab yang baru menjelma, sekurang-kurangnya ambil kesempatan mencerap kehebatan peristiwa Isra’ Mi’raj sebagai permulaan perjalanan mengenal diri dan Pencipta. Saat Rejab hadir dengan kemasyhuran peristiwa Isra’ dan Mi’raj, maka Usrah Nurani yang menampilkan al-Fadhil Ustaz Zul Ramli M. Razali selaku naqib beserta rakan usrah di konti iaitu Mudir Tahfiz D Itqan; Ustaz Mohd Nasir Tambi  serta vokalis, Saudara Afee Utopia mengambil kesempatan untuk mengupas kaitan peristiwa yang penuh keajaiban tersebut dengan keajaiban binaan yang bernama masjid dengan tajuk “Min Masjid ila Masjid” yang membawa maksud “Dari Masjid ke Masjid”.

Allah berfirman mafhumnya : “Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Isra, ayat 1).Sebahagian ulama menyatakan bahawa permulaan ayat Allah menekankan bahawa peristiwa ini adalah sebuah keajaiban menerusi keagunganNya yang menjalankan hambanya di malam hari yang menjadikan masjid sebagai penandanya, dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa. Tambahan pula, setahun selepas peristiwa yang menguji keimanan itu Rasulullah SAW setelah bermalam tiga hari di Gua Tsur sebelum mencatat satu lagi perjalanan hebat dari Mekah ke Madinah. Di musim panas yang pendek malamnya tetapi panjang siangnya itu menyaksikan satu perjalanan yang sukar sehingga tiba di Quba. Rasulullah berada di situ selama empat hari empat malam dan dengan spontan Rasulullah SAW mengajak sahabat untuk membina masjid.

Saat baginda di beri peluang mendirikan daulah dan sebuah tamadun, maka Allah SWT memberi ilham yang telah tercatat sejarah terbinanya masjid pertama di bumi Quba’ sebagai tanda Islam telah hadir di tempat itu. Firman Allah yang bermaksud : “…sesungguhnya masjid (Quba\’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” (Surah At-Taubah, ayat 108).

Pada ketika Rasulullah SAW dan para sahabat bergerak lagi di hari Jumaat selepas terbinanya Masjid Quba’, terbina satu lagi masjid yang dinamakan sebagai Masjid Jum’at; terletak 900 meter utara Masjid Quba\’ dan 6 kilometer dari Masjid Nabawi. Sejurus dibina, Rasulullah SAW melaksanakan solat Jumaat di situ. Tidak lama selepas itu, Rasulullah SAW serta rombongan sampai ke Madinah dan saat unta di lepaskan talinya sehingga pergi ke satu tempat mengeringkan tamar. Lantas Rasulullah SAW bertanyakan tentang pemilik tanah tersebut yang akhirnya mencatatkan satu lagi sejarah berdirinya sebuah masjid yang bernama Masjid An-Nabawi.

Setiap masjid yang di bina tidak memerlukan masa yang lama untuk mendapat keputusan daripada Rasulullah dan persetujuan para sahabat serta masyarakat setempat. Atas semangat ‘minal masjid ilal masjid’ maka terdiri masjid-masjid tersebut sebagai mercu kehadiran Islam di bumi tersebut. Itulah antara keajaiban Isra’ dan Mi’raj yang di tunjukkan oleh Rasulullah SAW lantaran keajaiban rasa yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada baginda. Sesungguhnya, keajaiban itu ada pada masjid-masjid yang di bangunkan. Bukan sekadar sewaktu era Rasulullah dan para sahabat tetapi sehingga hari ini begitu banyak keajaiban terkandung pada bangunan atau binaan yang bernama masjid.

Justeru, penting untuk mempelajari ibrah sesuatu peristiwa dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Menerusi didikan Rasulullah SAW itu, maka hargailah masjid dengan mengimarahkannya melalui pelbagai aktiviti dan bukan sekadar solat berjamaah sahaja. Jadikan masjid pusat pembangunan ummah yang meraikan seluruh golongan umat baginda Nabi SAW untuk cinta dan sayang kepada masjid sehingga menatijahkan pautan hati mereka pada masjid; objek yang membawa hati dekat kepada Allah SWT.

Sesungguhnya, mereka itu salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat naungan atau perlindungan Allah SWT di hari Kiamat kelak sepertimana hadis yang  riwayatkan oleh  Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya : “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah  pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. . Pemimpin yang adil, seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah, seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana Allah juga, seorang lelaki yang di ajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah’, seseorang yang bersedekah dengan menyembuyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 April 2016
\"2016-04-15\"
Scroll to Top