Merawat Hati Dengan Qiamullail

Allah SWT menjadikan waktu siang dan malam adalah dengan sebab dan kepentingan masing-masing. Bahkan Allah SWT menjadikan malam dengan kelebihan dan keistimewaan bagi seseorang mukmin untuk lebih mendekatkan diri mereka dengan Allah taala.

Menerusi rancangan Islam itu Indah, al-Fadhil Ustaz Firdaus Subhi berkata seorang ulama tabi’i iaitu Ibrahim Ibn Qawas dalam satu nukilannya menyebut ‘satu daripada lima perkara bagi seseorang mukmin merawat hati mereka adalah melalui qiamullail’. Begitu juga bagi ulama-ulama salaf kebanyakan mereka menghidupkan bumi ini dengan waktu malam kerana pada waktu malamlah digunakan untuk beribadah, bermunajat dan berbicara dengan Allah SWT.

Bahkan pada waktu malam itu sendiri ada detik-detik tertentu adalah waktu yang mustajab untuk berdoa dan meminta daripada Allah SWT. Begitu juga terdapat pada malam-malam tertentu yang mustajab untuk seseorang mukmin mengharapkan doa-doa serta permintaan yang sekian banyak untuk diperkenan olehNya. Menurut Imam as-syafie, antara malam-malam yang mustajab adalah pada malam hari raya Aidilfitri, malam hari raya Aidiladha, malam awal bulan Rejab, malam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban) dan pada malam Jumaat.

Hakikatnya malam adalah waktu paling mudah untuk berbicara dengan Allah SWT, perkara ini dijelaskan dalam al-Quran menerusi surah as-Sajadah ayat 16 yang bermaksud “Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka”.

Ayat al-Quran ini menjelaskan bahawa bagi seseorang mukmin yang mengharap redha dan belas ehsan Allah SWT, waktu malam tidak digunakan untuk berehat tetapi diperuntukkan untuk bermunajat kepada Allah SWT dalam keadaan merasa takut atas segala kekurangan amal serta dosa-dosa yang dilakukan. Justeru, pada waktu malam adalah saat untuk mengharap pengampunan daripada Allah SWT.

Salah satu kaedah untuk merawat hati adalah dengan amalan-amalan yang boleh menghidupkan waktu malam iaitu dengan berqiamullail. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “lazimkan dirimu melaksanakan ibadah qiamullai, kerana sesungguhnya berqiamullai adalah amalam biasa dan tradisi yang telah dihidupkan oleh orang-orang yang terdahulu daripada kamu”(Hadis Riwayat Tirmizi). Ertinya amalan qiamulali telah dibawa oleh para ulama dan orang-orang soleh yang perlu dituruti kerana ianya amalan yang akan meninggikan darjat seseorang manusia di sisi Allah SWT.

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya bangun dan bermunajat pada waktu malam adalah amalan untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT, kerana waktu itu Allah bersama hambaNya untuk mendengar rintihan setiap hamba. Bahkan Allah SWT berkata “Barangsiapa yang meminta kepadaKu akan Kuperkenankan, barangsiapa yang memohon kepadaKu akan Aku makbulkan permintaannnya dan barangsiapa yang mengharapkan pengampunan dariKu akan aku ampunkan dosa-dosanya”

Begitu banyak sekali kelebihan dan keistimewaan amalan ibadah qiamullai kerana ia membuka pintu kerahmatan dan keredhaan Allah SWT terhadap hambanya yang bangkit di waktu malam untuk bertahajjut, berdoa, berzikir dan apa juga amalan-amalan yang akan mendekatkan diri seseorang hamba kepada penciptaNya. Rasulullah SAW menyatakan dalam hadis baginda yang ertinya bahawa dengan qiamulalil pada waktu malam boleh mencegah seseorang mukmin daripada melakukan dosa di siang hari kerana dengan tangisan, rintihan, bicara-bicara dengan Allah SWT pada malamnya akan memandu seseorang mukmin pada siang harinya. Sesungguhnya qiamullail juga boleh menghindar seseorang mukmin dari penyakit-penyakit hati atau penyakit yang melibatkan tekanan perasaan kerana qiamullail akan menguatkan dalaman pada diri seseorang mukmin.

Sesungguhnya begitu banyak amalan ibadah pada waktu malam yang perlu dilaksanakan dan diamalkan dalam usaha memperoleh maqam yang tinggi hasil daripada ibadah tersebut. Oleh kerana amalan qiamullail itu besar manfaatnya, maka kekuatan dari dalam jiwa perlu lebih kental untuk bangkit di malam hari bagi melaksanakan ibadah qiamullail yang merupakan nilai ketaatan kepada Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 Februari 2018
\"\"
Scroll to Top