Merancang Kehidupan (Siri 3)

Jumlah Hits : 358
Norhayati Paradi

Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Motivasi Pagi, Agama dan Peradaban, Dimensi, Dinamika dan banyak lagi.

HIDUP bukan semata satu anugerah, tetapi sebuah ketetapan amanah yang datang daripada Pencipta seluruh alam kerana manusia bukan minta di hidupkan tetapi manusia dihidupkan oleh pencipta dengan tujuan. Amanah utama yang digalas oleh manusia adalah menjadi hamba Allah yang baik dan menjadi khalifah yang memberi kebaikan pada orang lain.

Menerusi kesihatan kita mencari ilmu, dengan ilmu jalan menuju iman dan dengan iman kita akan memperbaiki hubungan. Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu indah di IKIMfm menitipkan nasihat dalam merialisasikan perancangan yang sesuai dengan prinsip hidup orang mukmin yang muhsinin (orang-orang yang berbuat kebaikan) iaitu hari ini lebih baik daripada semalam dan semestinya esok lebih elok daripada hari ini.

Selain menekankan kepentingan mental, fizikal dan spiritual sebagai modal merangka perancangan masa depan aspek hubungan usah di sampingkan. Saat iman terjaga secara tidak langsung amanah dapat di pikul sesempurnanya. Kemudian, tatkala amanah dijalankan dengan ikhlas, cekap, efektif, efisyen serta berkesan, maka akan terhasil keamanan: pada diri, persekitaran sekaligus kehidupan.

Iman akan menjadi inspirasi dan aspirasi waktu perasaan buntu, fikiran beku dan jiwa sebu. Lumrah kehidupan menongkah arah kemahuan. Setiap yang diingin tidak berlaku seperti dijangka tetapi pada yang dipandang dingin pula tanpa disangka menjadi. Usah putus asa kerana iman akan menyemarak kembali harapan. Harapan tidak akan terpadam selagi punya iman. Maka, tanam kejap-kejap iman di hati agar impian tersimpul mati.

Sesungguhnya segala kesukaran akan terangkat dengan bantuan Allah SWT. Dalam hidup, bukan soal tenaga, kudrat dan kepandaian individu yang menjayakan hidupnya namun, segalanya bergantung kepada pertolongan yang Maha Esa. Hadapi kehidupan dengan keyakinan (iman) kerana ia jalan menggamit bantuanNya. Di samping itu, iman ini juga adalah sumber semangat ketika jiwa dilanda malas dan letih dengan kehidupan.

Tatkala iman kepada Allah tinggi, natijahnya hubungan sesama manusia juga akan meningkat. Hubungan baik manusia dengan Allah melalui iman akan menyuburkan hubungan baik dengan manusia menerusi ukhuwah dan persaudaraan. Justeru, iman itu berkadar terus dengan kasih sayang dan persaudaraan. Semakin akrab hubungan manusia dengan Allah, semakin intim hubungan manusia sesama manusia yang lain.

Hubungan sesama ahli keluarga adalah asas kepada hubungan sesama manusia. Ia di ikuti hubungan dengan saudara-mara kemudian sabahat-sahabat dan akhirnya dengan masyarakat keseluruhannya termasuk yang berada di alam maya. Perhubungan adalah asas kepada komunikasi. Islam dan Rasulullah SAW juga sangat menitikberatkan hal komunikasi. Rasulullah SAW sendiri telah mengaplikasikan teknik ini ketika berdepan dengan orang Arab Quraisy yang sangat menentang perjuangan dan dakwah Baginda sehingga ditemukan dengan kejayaan. Rasulullah merupakan pakar dalam komunikasi lisan dengan menggunakan kaedah ringkas, padat dan tepat dengan nada yang sesuai dengan situasi serta bahasa tubuh baginda yang sangat memikat asbab keikhlasannya.

Jika mendambakan ketenagnan dalam kehidupan maka telitilah dalam perhubungan. Menurut kajian 80 peratus masalah dalam perkahwinan, kepimpinan malah pengurusan adalah disebabkan kegagalan dalam berkomunikasi. Kajian oleh Prof. Thomas Berry dari Harvard Business School menyatakan bahawa terdapat tiga faktor kejayaan manusia. Pertama ilmu, kedua kemahiran dan ketiga sikap. Hasil daripada kajiannya mendapati hanya 7 peratus berkaitan ilmu dan kemahiran manakala 93 peratus adalah ditentukan oleh sikap.

Kayu ukur kejayaan dalam komunikasi adalah sikap. Malah sikap mampu membuat seseorang suka malah benci kepada seseorang yang lain. Tunjang kepada  sikap adalah nilai kepercayaan orang lain pada diri. Dalam hidup, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Bagi tujuan itu, perlu kepada sangkaan baik kepada orang lain.

Tips menjaga hubungan adalah dengan menghargai orang lain. Fitrah manusia ingin di hargai. Penghargaan tidak selalu di ukur dengan nilai ringgit yang di beri tetapi kata-kata yang di kongsi. Rasulullah SAW contoh terbaik yang sentiasa menghargai para sahabat Baginda sehingga para sahabat menerima gelaran-gelaran tertentu yang melambangkan sikap-sikap mereka. Rasulullah mendidik umatnya untuk meraikan setiap golongan dalam masyarakat. Mulia dan raikan golongan atasan serta santuni dan kasihi golongan bawahan. Paling mudah, mulakan dengan senyum dan salam sebagai pemecah ego diri.

Saat zaman kasih sayang tercatu ini, latih diri untuk mencambah kasih sayang. Usah mudah menghukum secara umum semua manusia.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 Januari 2017

2017-01-25

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  PETA LAMAN PROGRAM
  Profil Penyampai Dunia Ekonomi
  Program Tafsir Al-Quran
  Interaktif Islam Itu Indah
  Galeri Topik Jumaat
  Info  
  Hubungi Kami INTERAKTIF
    Radio Dalam Talian
    Facebook
    Twitter
    SMS
    Undian Carta IKIM
  GALERI HUBUNGI KAMI
  Foto Konti
  Audio Peta
  Video Maklumbalas
   
  INFO  
  Frekuensi  
  Waktu Solat  
  IKIMfm  

LANGGAN BULETIN KAMI